MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI PERBADANAN PEMBANGUNAN PULAU PINANG (PDC) TAHUN 2023

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,                                    

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI

PERBADANAN PEMBANGUNAN PULAU PINANG (PDC) TAHUN 2023

 

16 MEI 2023 (SELASA)

ATRIUM, PEJABAT PDC

Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang

Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Seri Utama Khadijah binti Mohd Nor

YABhg. Puan Tan Lean Kee

Penaung PUSPANITA Cawangan Negeri Pulau Pinang

YB. Dato’ Ir. Hi Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri I

YB. Prof. Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri II

Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB. Puan Roslinda Binti Mohd Shafie

Penasihat Undang-undang Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

YBhg. Dato’ Aziz bin Bakar

Ketua Pegawai Eksekutif PDC

YBhg. Ketua-Ketua Jabatan

Dif-dif Kehormat

Warga PDC

Rakan-Rakan Media

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Tengah Hari dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) atas jemputan sempena Majlis Hari Raya Aidilfitri yang diatur pada hari yang berbahagia ini.

Sudah tentunya, majlis pada hari ini menjadi lebih istimewa dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd.Nor yang sudi melapangkan masa untuk turut serta dan menyerikan lagi majlis ini.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang hadir, terutamanya kepada seluruh warga kerja PDC. Semoga semangat dan pengertian bulan bermakna ini akan terus disemai, meskipun kita berbaki lagi beberapa hari sebelum mengakhiri bulan Syawal.

Tuan Yang Terutama Tun, Toh Puan dan hadirin yang dikasihi sekalian,

Sebagai agensi pembangunan utama bagi negeri ini, Kerajaan Negeri gembira atas sikap cakna dan tindakan proaktif pasukan PDC dalam meneroka peluang baru dn menangani cabaran masa depan ketika krisis ekonomi dan kesihatan melanda sepanjang tiga (3) tahun yang lepas.

Sejak ditubuhkan pada sekitar tahun 1969, PDC terus memainkan peranan yang penting dan sentiasa berusaha untuk memacu dan meningkatkan kualiti sosio ekonomi negeri ini demi kepentingan rakyat dan negeri ini, selaras dengan Visi Penang2030 yang dirangka bagi mencapai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Sepanjang suku pertama tahun 2023, melalui Pelan Strategik PDC 2019-2023, pelbagai strategi dan inisiatif di mana fokus utama adalah lebih kepada projek-projek yang dapat menjana pulangan terbaik dan mampan kepada PDC telah mula dilaksanakan seperti:-

  1. Pembangunan Taman Perindustrian Baru

Kemajuan dalam bidang perindustrian di Pulau Pinang secara langsung telah menarik minat yang tinggi daripada syarikat antarabangsa dan pelabur tempatan untuk melabur di negeri kita. PDC selaku peneraju utama pembangunan kawasan perindustrian di Pulau Pinang sehingga kini telah membangunkan sembilan (9) kawasan perindustrian dengan sentiasa memastikan tanah perindustrian yang berkualiti tinggi dapat disediakan untuk meningkatkan ekonomi negeri di samping dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Sehubungan dengan itu, dengan peningkatan permintaan untuk tanah perindustrian, PDC pada tahun ini telah mula membangunkan dua (2) kawasan perindustrian yang baru di daerah Seberang Perai Selatan iaitu Bandar Cassia Technology Park dan Batu Kawan Industrial Park 3 yang berkonsepkan ‘Integrated Industrial Park’ dengan jumlah keluasan bersih seluas 673 ekar bagi memenuhi permintaan dari pelabur industri yang semakin meningkat.

Pelancaran bagi dua projek ini akan diadakan dalam masa terdekat dan semestinya akan menarik minat pelabur tempatan dan antarabangsa untuk mengembangkan operasi perniagaan mereka. Konsep pembangunan taman perindustrian baru oleh PDC adalah selari dengan arah tuju Kerajaan Negeri iaitu berkonsepkan ‘Managed Industrial Park atau MIP’ di mana penjenamaan semula taman-taman perindustrian baharu perlu dibangunkan bagi merancakkan iklim pelaburan di Negeri Pulau Pinang seperti pewujudan MIP yang sangat kondusif bagi pelabur dan pengilang.

Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam memacu ekonomi Negeri Pulau Pinang dengan menjadikan negeri ini sebagai destinasi utama pilihan pelabur bagi aktiviti-aktiviti perkhidmatan perniagaan global, Research & Development dan ICT,  maka PDC kini dalam fasa pembangunan projek GBS By The Sea, iaitu projek GBS ketiga PDC selepas GBS@Mayang dan GBS@Mahsuri di mana syarikat semikonduktor, AMD Global Services (M) Sdn. Bhd juga akan menjadi salah satu penyewa yang terbesar dengan menyewa hampir 70% ruang lantai bangunan tersebut yang dijangka siap sepenuhnya pada 2024 dan sekaligus membuktikan keyakinan berterusan daripada pelabur di Pulau Pinang dan kepada PDC.

  1. Projek Rumah Pekerja

Bagi memastikan aspek keperluan pelabur industri dan keselamatan penduduk setempat sentiasa diteliti dan dipelihara, PDC telah mengambil langkah proaktif untuk membangunkan Projek Rumah Pekerja di mana PDC melalui program ‘Request for Proposal’ dan ‘Build and Lease’ akan mewujudkan penempatan berpusat yang lengkap dengan pelbagai kemudahan asas seperti peruncitan, klinik, sistem keselamatan dan sistem pengangkutan bagi mengawal pergerakan dan memberi keselesaan kepada pekerja.

Projek pembinaan rumah pekerja ini akan tertumpu di kawasan perindustrian baru PDC iaitu di daerah Seberang Perai Selatan. Sebuah projek sedang dalam pembangunan yang dapat menampung 9,420 pekerja di Penang Science Park Utara (PSPN) dan sebanyak tiga (3) lagi projek masih dalam proses memuktamadkan bersama penender yang berjaya bagi pelaksanaan projek rumah pekerja yang dicadangkan.

  1. Tebus Guna Tanah

PDC juga kini sedang giat memulakan proses untuk memperoleh kelulusan bagi pembangunan tebus guna tanah secara berfasa melalui Request For Proposal (RFP) bermula dari Jambatan Pertama sehingga ke Jambatan Kedua untuk tujuan pembangunan bercampur yang akan merangkumi bangunan pejabat, pusat konvensyen, komersil, hotel dan pusat R&D sekaligus menjadi pemangkin perniagaan baru dan mewujudkan tarikan moden di peringkat tempatan & antarabangsa.

  1. Perniagaan Dalam Industri Solar

Seperti yang diketahui umum, penjanaan tenaga hijau secara mampan menggunakan tenaga solar dan ‘waste to energy’ semakin meluas di Malaysia sama ada secara domestik atau komersial. Oleh itu, dalam usaha mencapai permintaan dan peluang perniagaan yang baru, PDC melalui anak syarikat barunya iaitu Solar Voltech Sdn Bhd ditubuhkan bagi menerajui dalam industri ‘green energy’ dan ‘waste management’. Bagi fasa permulaan, beberapa projek solar yang berpotensi telah dikenalpasti iaitu dengan menumpukan kepada projek pembangunan PDC seperti Motorola Innoplex, SME Bayan Lepas (Plot 105), SME Centre Batu Kawan, GBS@One Mahsuri, GBS@Mayang, PDC Gallery dan KOMTAR.

Dengan Pelan Strategik PDC yang telah digariskan ini, saya yakin dan percaya projek-projek yang telah dirancang ini mampu memberikan pulangan pendapatan yang lebih baik kepada PDC dalam tempoh jangka masa panjang.

Diharapkan juga dengan perancangan teliti dan kerjasama erat yang diberikan oleh agensi-agensi kerajaan yang lain dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan dan perkembangan ekonomi serta seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan penduduk di Pulau Pinang.

Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin menzahirkan rasa terima kasih sekali lagi kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan atas kehadiran yang julung kalinya di pejabat PDC, Bayan Baru ini. Semoga dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan akan memberikan keyakinan dan impak positif kepada warga kerja PDC untuk terus tekun, dedikasi dan komited dalam melaksanakan tanggungjawab penting ini.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada jawatankuasa dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Majlis Hari Raya Aidilfitri PDC ini. Semoga kita dapat bersua kembali pada majlis-majlis keraian yang akan datang.  

Sekian, terima kasih.

AIDILFITRI

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang