MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2023

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI

KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2023

 

2 MEI 2023

SETIA SPICE CONVENTION CENTRE

_____________________________________________

 

Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang

Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd Nor

 

Yang Amat Berbahagia Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas

 

YB Lim Guan Eng

ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan; dan

Yang Berbahagia Puan Betty Chew Gek Cheng

YB Dato’ Law Choo Kiang

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri; dan

Yang Berbahagia Datin Teoh Hooi Tuang

YB Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang; dan

Yang Berbahagia Datin Mohaini binti Mohd. Saffar

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

 

YB Dato' Mohd Sayuthi bin Bakar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang; dan

Yang Berbahagia Datin Zuraida binti Dahari

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri dan Dato’ Seri-Dato’ Seri

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Rakyat

Yang Berbahagia Konsul-Konsul Jeneral dan Konsul-Konsul Kehormat

Yang Berbahagia Dato’-Dato’ dan Datin-Datin

Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan

Rakan-Rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.

Selamat Petang, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

 

Terlebih dahulu, marilah kita sama-sama menzahirkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk bertemu di sini pada Majlis Sambutan Aidilfitri 2023 Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Saya berasa amat berbesar hati dan gembira kerana dapat meraikan lebaran ini bersama-sama warga kerja Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta seluruh rakyat jelata yang hadir pada hari ini.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang selaku jawatankuasa penganjur yang telah memastikan kelancaran Majlis Sambutan Aidilfitri Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2023 pada petang yang berbahagia ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya amat mengalu-alukan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd. Nor, para tetamu dan dif-dif jemputan lain atas kesudian melapangkan masa untuk memeriahkan majlis ini.

Tahun 2023 merupakan tahun kedua Kerajaan Negeri Pulau Pinang meraikan majlis sambutan Aidilfitri dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan Toh Puan. Sesungguhnya, kesudian Tuan Yang Terutama Tun bersama-sama Toh Puan ke majlis ini adalah amat bermakna, bukan sahaja menambah seri malahan memberikan signifikasi yang cukup besar, ibarat payung perpaduan kepada seluruh rakyat Pulau Pinang tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.

Tuan Yang Terutama Tun, Toh Puan dan hadirin yang dihormati sekalian,

 

Dalam kegirangan kita merayakan Syawal tahun ini, suka saya ingatkan bahawa wabak COVID-19 masih lagi berada di sekeliling kita. Oleh itu, saya ingin menyeru agar semua rakyat negeri Pulau Pinang untuk sentiasa berhati-hati dan menjaga kesihatan diri demi kesejahteraan dan keselamatan diri serta keluarga tercinta.

Pastinya, fokus Kerajaan Negeri adalah untuk memulihkan ekonomi agar rakyat dapat kembali hidup selesa dan berkualiti yang seterusnya mendorong kepada pembangunan negeri yang lebih cemerlang ke arah merealisasikan gagasan Visi Penang2030 iaitu ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara secara menyeluruh. Kerajaan Negeri akan terus mengambil inisiatif bertindak dan merencana agenda pemulihan agar aspek pembangunan negeri dilaksanakan dengan baik dan mampan serta tidak hanya tercakup dengan angka-angka pertumbuhan pelaburan semata-mata.

Sebagai antara negeri pembuatan utama dalam negara, iklim pelaburan di Pulau Pinang kekal teguh yang mana asas perindustrian yang kukuh menjadi faktor penarik terhadap aliran masuk pelaburan yang berterusan dan berkualiti. Hasil kejayaan bersama ini terbukti apabila bagi bulan Januari sehingga Disember tahun 2022, Pulau Pinang mencatatkan RM13.7 bilion pelaburan pembuatan diluluskan melibatkan aliran masuk 135 projek dan dijangka menjana lebih 15,000 peluang pekerjaan baharu di negeri ini.

Malahan, hasil usaha sama Kerajaan Negeri dan juga sokongan padu secara berterusan daripada seluruh rakyat Pulau Pinang, pelbagai sektor termasuk pelancongan, keusahawanan, sosial ekonomi, pemerkasaan komuniti, pendidikan, perumahan, keselamatan makanan dan pembangunan belia serta sukan turut memperlihatkan prospek positif. Dalam pada itu juga, Kerajaan Negeri turut komited meneruskan program-program kebajikan yang membawa manfaat kepada rakyat pelbagai peringkat umur di negeri ini tanpa mengabaikan mana-mana golongan.

Komitmen ini lazimnya menjadi pegangan barisan kepimpinan saya bahawa kita sama-sama menikmati hasil serta manfaat yang diperoleh termasuk projek-projek infrastruktur yang telah dilaksanakan demi keselesaan rakyat Pulau Pinang secara menyeluruh. Terbaru adalah Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pulau Pinang atau Penang South Islands(PSI) yang telah memperoleh kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) pusat di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Kita kini komited meneruskan proses memohon kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) daripada JAS Negeri Pulau Pinang sebelum memulakan kerja-kerja tambakan.

Umumnya PSI adalah amat penting dalam memacu pembangunan berterusan negeri Pulau Pinang. Kajian menganggarkan bahawa projek berkenaan akan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM2.2 trilion, menarik pelaburan asing bernilai lebih RM70 bilion serta dengan jumlah pendapatan keseluruhan kepada negara berjumlah RM226.5 bilion. Pada masa sama, ia juga dijangka mewujudkan 460,000 peluang pekerjaan dalam jangka masa 30 tahun.

Tuan Yang Terutama Tun, Toh Puan dan hadirin yang dihormati sekalian,

 

Dalam memastikan momentum ini dikekalkan bagi tahun 2023, jalinan kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, sektor swasta mahupun kerajaan tempatan bakal dilipatgandakan dan membentuk kerjasama pasukan bagi mencapai objektif iaitu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat demi kemakmuran negeri Pulau Pinang, dan saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri komited untuk menggalas mandat rakyat dan membawa kesejahteraan ekonomi negara bagi menjayakan agenda Pembangunan Madani.

Malah, mengambil kesempatan ini juga, saya ingin menegaskan bahawa perpaduan merupakan aset terpenting buat negeri Pulau Pinang khasnya dan negara tercinta kita Malaysia untuk menyatupadukan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan keturunan. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh tanpa perpaduan, tidak mungkin keharmonian dapat dinikmati.

Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin menzahirkan rasa terima kasih sekali lagi kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan atas kehadiran ke majlis ini, yang mana ia telah menyerikan lagi majlis pada hari ini. Terima kasih juga atas segala khidmat nasihat dan sokongan yang telah diberikan kepada kepimpinan Kerajaan Negeri yang dianggap sebagai nasihat serta panduan untuk mentadbir negeri ini dengan lebih baik.

Akhir kata, syabas serta sekalung penghargaan sekali lagi kepada jawatankuasa penganjur dan semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

Sekian, terima kasih.

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI ANJURAN MPKK LEBUH PASAR

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI

ANJURAN MPKK LEBUH PASAR

5 MEI 2023

DEWAN BELIA, LEBUH ACHEH

 

 

YB Lim Hui Ying

Ahli Parlimen Tanjong merangkap Timbalan Menteri Pendidikan

 

YB Teh Lai Heng

ADUN Komtar

 

YB Daniel Gooi

ADUN Pengkalan Kota

Encik Shafiz bin Rahim Raja

Pengerusi MPKK Lebuh Pasar dan seluruh jawatankuasa MPKK Lebuh Pasar

Para Jemputan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dikasihi sekalian

Salam Sejahtera.

NOTA PERCAKAPAN:

- Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MPKK Lebuh Pasar di bawah kepimpinan Pengerusi, Saudara Shafiz atas penganjuran Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada malam yang berbahagia ini.

- Terima kasih atas jemputan ini, dan sudah tentunya saya dan rakan-rakan berbesar hati untuk turut serta bagi memeriahkan majlis ini.

- Masih belum terlambat rasanya untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang hadir.

- Saya percaya sambutan pada tahun ini diraikan dalam suasana yang meriah terutama dengan acara tradisi rumah terbuka dan aktiviti kunjung-mengunjungi yang masih subur dalam kalangan masyarakat hari ini.

- Semoga acara tradisi di bulan Syawal ini menjadi medan untuk kita semua meyuburkan hubungan dan jalinan yang sedia terjalin, sambil menikmati juadah yang disediakan.

- Ini juga membuka peluang kepada masyarakat berbilang kaum dapat berkongsi keceriaan dan kegembiraan, di samping berkongsi budaya, makanan dan lain-lain.

- Saya yakin dengan amalan ini ia akan dapat menjadi satu pelaburan yang memberikan impak yang besar sekaligus menyumbang kepada keharmonian negeri yang kita cintai ini.

- Semoga komitmen yang padu daripada semua pihak tanpa mengira sentimen ini akan dapat menjadi penggerak bagi mempercepatkan kejayaan secara bersama sekaligus merealisasikan aspirasi dan matlamat menjadi negeri yang maju dan progresif.

- Akhir kata, terima kasih sekali lagi kepada MPKK Lebuh Pasar dan semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.

- Suka untuk saya ingatkan dalam kita bergembira, jangan sesekali mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan serta sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa yang tidak menentu kebelakangan ini.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

Sekian, terima kasih

MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI PERBADANAN PEMBANGUNAN PULAU PINANG (PDC) TAHUN 2023

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,                                    

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI

PERBADANAN PEMBANGUNAN PULAU PINANG (PDC) TAHUN 2023

 

16 MEI 2023 (SELASA)

ATRIUM, PEJABAT PDC

Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang

Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Seri Utama Khadijah binti Mohd Nor

YABhg. Puan Tan Lean Kee

Penaung PUSPANITA Cawangan Negeri Pulau Pinang

YB. Dato’ Ir. Hi Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri I

YB. Prof. Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri II

Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB. Puan Roslinda Binti Mohd Shafie

Penasihat Undang-undang Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

YBhg. Dato’ Aziz bin Bakar

Ketua Pegawai Eksekutif PDC

YBhg. Ketua-Ketua Jabatan

Dif-dif Kehormat

Warga PDC

Rakan-Rakan Media

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Tengah Hari dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) atas jemputan sempena Majlis Hari Raya Aidilfitri yang diatur pada hari yang berbahagia ini.

Sudah tentunya, majlis pada hari ini menjadi lebih istimewa dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd.Nor yang sudi melapangkan masa untuk turut serta dan menyerikan lagi majlis ini.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang hadir, terutamanya kepada seluruh warga kerja PDC. Semoga semangat dan pengertian bulan bermakna ini akan terus disemai, meskipun kita berbaki lagi beberapa hari sebelum mengakhiri bulan Syawal.

Tuan Yang Terutama Tun, Toh Puan dan hadirin yang dikasihi sekalian,

Sebagai agensi pembangunan utama bagi negeri ini, Kerajaan Negeri gembira atas sikap cakna dan tindakan proaktif pasukan PDC dalam meneroka peluang baru dn menangani cabaran masa depan ketika krisis ekonomi dan kesihatan melanda sepanjang tiga (3) tahun yang lepas.

Sejak ditubuhkan pada sekitar tahun 1969, PDC terus memainkan peranan yang penting dan sentiasa berusaha untuk memacu dan meningkatkan kualiti sosio ekonomi negeri ini demi kepentingan rakyat dan negeri ini, selaras dengan Visi Penang2030 yang dirangka bagi mencapai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Sepanjang suku pertama tahun 2023, melalui Pelan Strategik PDC 2019-2023, pelbagai strategi dan inisiatif di mana fokus utama adalah lebih kepada projek-projek yang dapat menjana pulangan terbaik dan mampan kepada PDC telah mula dilaksanakan seperti:-

  1. Pembangunan Taman Perindustrian Baru

Kemajuan dalam bidang perindustrian di Pulau Pinang secara langsung telah menarik minat yang tinggi daripada syarikat antarabangsa dan pelabur tempatan untuk melabur di negeri kita. PDC selaku peneraju utama pembangunan kawasan perindustrian di Pulau Pinang sehingga kini telah membangunkan sembilan (9) kawasan perindustrian dengan sentiasa memastikan tanah perindustrian yang berkualiti tinggi dapat disediakan untuk meningkatkan ekonomi negeri di samping dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Sehubungan dengan itu, dengan peningkatan permintaan untuk tanah perindustrian, PDC pada tahun ini telah mula membangunkan dua (2) kawasan perindustrian yang baru di daerah Seberang Perai Selatan iaitu Bandar Cassia Technology Park dan Batu Kawan Industrial Park 3 yang berkonsepkan ‘Integrated Industrial Park’dengan jumlah keluasan bersih seluas 673 ekar bagi memenuhi permintaan dari pelabur industri yang semakin meningkat.

Pelancaran bagi dua projek ini akan diadakan dalam masa terdekat dan semestinya akan menarik minat pelabur tempatan dan antarabangsa untuk mengembangkan operasi perniagaan mereka. Konsep pembangunan taman perindustrian baru oleh PDC adalah selari dengan arah tuju Kerajaan Negeri iaitu berkonsepkan ‘Managed Industrial Parkatau MIP’di mana penjenamaan semula taman-taman perindustrian baharu perlu dibangunkan bagi merancakkan iklim pelaburan di Negeri Pulau Pinang seperti pewujudan MIP yang sangat kondusif bagi pelabur dan pengilang.

Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam memacu ekonomi Negeri Pulau Pinang dengan menjadikan negeri ini sebagai destinasi utama pilihan pelabur bagi aktiviti-aktiviti perkhidmatan perniagaan global, Research & Development dan ICT,  maka PDC kini dalam fasa pembangunan projek GBS By The Sea, iaitu projek GBS ketiga PDC selepas GBS@Mayang dan GBS@Mahsuri di mana syarikat semikonduktor, AMD Global Services (M) Sdn. Bhd juga akan menjadi salah satu penyewa yang terbesar dengan menyewa hampir 70% ruang lantai bangunan tersebut yang dijangka siap sepenuhnya pada 2024 dan sekaligus membuktikan keyakinan berterusan daripada pelabur di Pulau Pinang dan kepada PDC.

  1. Projek Rumah Pekerja

Bagi memastikan aspek keperluan pelabur industri dan keselamatan penduduk setempat sentiasa diteliti dan dipelihara, PDC telah mengambil langkah proaktif untuk membangunkan Projek Rumah Pekerja di mana PDC melalui program ‘Request for Proposal’ dan ‘Build and Lease’ akan mewujudkan penempatan berpusat yang lengkap dengan pelbagai kemudahan asas seperti peruncitan, klinik, sistem keselamatan dan sistem pengangkutan bagi mengawal pergerakan dan memberi keselesaan kepada pekerja.

Projek pembinaan rumah pekerja ini akan tertumpu di kawasan perindustrian baru PDC iaitu di daerah Seberang Perai Selatan. Sebuah projek sedang dalam pembangunan yang dapat menampung 9,420 pekerja di Penang Science Park Utara (PSPN) dan sebanyak tiga (3) lagi projek masih dalam proses memuktamadkan bersama penender yang berjaya bagi pelaksanaan projek rumah pekerja yang dicadangkan.

  1. Tebus Guna Tanah

PDC juga kini sedang giat memulakan proses untuk memperoleh kelulusan bagi pembangunan tebus guna tanah secara berfasa melalui Request For Proposal (RFP) bermula dari Jambatan Pertama sehingga ke Jambatan Kedua untuk tujuan pembangunan bercampur yang akan merangkumi bangunan pejabat, pusat konvensyen, komersil, hotel dan pusat R&D sekaligus menjadi pemangkin perniagaan baru dan mewujudkan tarikan moden di peringkat tempatan & antarabangsa.

  1. Perniagaan Dalam Industri Solar

Seperti yang diketahui umum, penjanaan tenaga hijau secara mampan menggunakan tenaga solar dan ‘waste to energy’ semakin meluas di Malaysia sama ada secara domestik atau komersial. Oleh itu, dalam usaha mencapai permintaan dan peluang perniagaan yang baru, PDC melalui anak syarikat barunya iaitu Solar Voltech Sdn Bhd ditubuhkan bagi menerajui dalam industri ‘green energy’ dan ‘waste management’. Bagi fasa permulaan, beberapa projek solar yang berpotensi telah dikenalpasti iaitu dengan menumpukan kepada projek pembangunan PDC seperti Motorola Innoplex, SME Bayan Lepas (Plot 105), SME Centre Batu Kawan, GBS@One Mahsuri, GBS@Mayang, PDC Gallery dan KOMTAR.

Dengan Pelan Strategik PDC yang telah digariskan ini, saya yakin dan percaya projek-projek yang telah dirancang ini mampu memberikan pulangan pendapatan yang lebih baik kepada PDC dalam tempoh jangka masa panjang.

Diharapkan juga dengan perancangan teliti dan kerjasama erat yang diberikan oleh agensi-agensi kerajaan yang lain dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan dan perkembangan ekonomi serta seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan penduduk di Pulau Pinang.

Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin menzahirkan rasa terima kasih sekali lagi kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan atas kehadiran yang julung kalinya di pejabat PDC, Bayan Baru ini. Semoga dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan akan memberikan keyakinan dan impak positif kepada warga kerja PDC untuk terus tekun, dedikasi dan komited dalam melaksanakan tanggungjawab penting ini.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada jawatankuasa dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Majlis Hari Raya Aidilfitri PDC ini. Semoga kita dapat bersua kembali pada majlis-majlis keraian yang akan datang.  

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang