MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2023

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI

KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2023

 

2 MEI 2023

SETIA SPICE CONVENTION CENTRE

_____________________________________________

 

Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang

Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd Nor

 

Yang Amat Berbahagia Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas

 

YB Lim Guan Eng

ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan; dan

Yang Berbahagia Puan Betty Chew Gek Cheng

YB Dato’ Law Choo Kiang

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri; dan

Yang Berbahagia Datin Teoh Hooi Tuang

YB Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang; dan

Yang Berbahagia Datin Mohaini binti Mohd. Saffar

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

 

YB Dato' Mohd Sayuthi bin Bakar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang; dan

Yang Berbahagia Datin Zuraida binti Dahari

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri dan Dato’ Seri-Dato’ Seri

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Rakyat

Yang Berbahagia Konsul-Konsul Jeneral dan Konsul-Konsul Kehormat

Yang Berbahagia Dato’-Dato’ dan Datin-Datin

Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan

Rakan-Rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.

Selamat Petang, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

 

Terlebih dahulu, marilah kita sama-sama menzahirkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk bertemu di sini pada Majlis Sambutan Aidilfitri 2023 Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Saya berasa amat berbesar hati dan gembira kerana dapat meraikan lebaran ini bersama-sama warga kerja Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta seluruh rakyat jelata yang hadir pada hari ini.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang selaku jawatankuasa penganjur yang telah memastikan kelancaran Majlis Sambutan Aidilfitri Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2023 pada petang yang berbahagia ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya amat mengalu-alukan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd. Nor, para tetamu dan dif-dif jemputan lain atas kesudian melapangkan masa untuk memeriahkan majlis ini.

Tahun 2023 merupakan tahun kedua Kerajaan Negeri Pulau Pinang meraikan majlis sambutan Aidilfitri dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan Toh Puan. Sesungguhnya, kesudian Tuan Yang Terutama Tun bersama-sama Toh Puan ke majlis ini adalah amat bermakna, bukan sahaja menambah seri malahan memberikan signifikasi yang cukup besar, ibarat payung perpaduan kepada seluruh rakyat Pulau Pinang tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.

Tuan Yang Terutama Tun, Toh Puan dan hadirin yang dihormati sekalian,

 

Dalam kegirangan kita merayakan Syawal tahun ini, suka saya ingatkan bahawa wabak COVID-19 masih lagi berada di sekeliling kita. Oleh itu, saya ingin menyeru agar semua rakyat negeri Pulau Pinang untuk sentiasa berhati-hati dan menjaga kesihatan diri demi kesejahteraan dan keselamatan diri serta keluarga tercinta.

Pastinya, fokus Kerajaan Negeri adalah untuk memulihkan ekonomi agar rakyat dapat kembali hidup selesa dan berkualiti yang seterusnya mendorong kepada pembangunan negeri yang lebih cemerlang ke arah merealisasikan gagasan Visi Penang2030 iaitu ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara secara menyeluruh. Kerajaan Negeri akan terus mengambil inisiatif bertindak dan merencana agenda pemulihan agar aspek pembangunan negeri dilaksanakan dengan baik dan mampan serta tidak hanya tercakup dengan angka-angka pertumbuhan pelaburan semata-mata.

Sebagai antara negeri pembuatan utama dalam negara, iklim pelaburan di Pulau Pinang kekal teguh yang mana asas perindustrian yang kukuh menjadi faktor penarik terhadap aliran masuk pelaburan yang berterusan dan berkualiti. Hasil kejayaan bersama ini terbukti apabila bagi bulan Januari sehingga Disember tahun 2022, Pulau Pinang mencatatkan RM13.7 bilion pelaburan pembuatan diluluskan melibatkan aliran masuk 135 projek dan dijangka menjana lebih 15,000 peluang pekerjaan baharu di negeri ini.

Malahan, hasil usaha sama Kerajaan Negeri dan juga sokongan padu secara berterusan daripada seluruh rakyat Pulau Pinang, pelbagai sektor termasuk pelancongan, keusahawanan, sosial ekonomi, pemerkasaan komuniti, pendidikan, perumahan, keselamatan makanan dan pembangunan belia serta sukan turut memperlihatkan prospek positif. Dalam pada itu juga, Kerajaan Negeri turut komited meneruskan program-program kebajikan yang membawa manfaat kepada rakyat pelbagai peringkat umur di negeri ini tanpa mengabaikan mana-mana golongan.

Komitmen ini lazimnya menjadi pegangan barisan kepimpinan saya bahawa kita sama-sama menikmati hasil serta manfaat yang diperoleh termasuk projek-projek infrastruktur yang telah dilaksanakan demi keselesaan rakyat Pulau Pinang secara menyeluruh. Terbaru adalah Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pulau Pinang atau Penang South Islands (PSI) yang telah memperoleh kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) pusat di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Kita kini komited meneruskan proses memohon kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) daripada JAS Negeri Pulau Pinang sebelum memulakan kerja-kerja tambakan.

Umumnya PSI adalah amat penting dalam memacu pembangunan berterusan negeri Pulau Pinang. Kajian menganggarkan bahawa projek berkenaan akan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM2.2 trilion, menarik pelaburan asing bernilai lebih RM70 bilion serta dengan jumlah pendapatan keseluruhan kepada negara berjumlah RM226.5 bilion. Pada masa sama, ia juga dijangka mewujudkan 460,000 peluang pekerjaan dalam jangka masa 30 tahun.

Tuan Yang Terutama Tun, Toh Puan dan hadirin yang dihormati sekalian,

 

Dalam memastikan momentum ini dikekalkan bagi tahun 2023, jalinan kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, sektor swasta mahupun kerajaan tempatan bakal dilipatgandakan dan membentuk kerjasama pasukan bagi mencapai objektif iaitu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat demi kemakmuran negeri Pulau Pinang, dan saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri komited untuk menggalas mandat rakyat dan membawa kesejahteraan ekonomi negara bagi menjayakan agenda Pembangunan Madani.

Malah, mengambil kesempatan ini juga, saya ingin menegaskan bahawa perpaduan merupakan aset terpenting buat negeri Pulau Pinang khasnya dan negara tercinta kita Malaysia untuk menyatupadukan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan keturunan. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh tanpa perpaduan, tidak mungkin keharmonian dapat dinikmati.

Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin menzahirkan rasa terima kasih sekali lagi kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan atas kehadiran ke majlis ini, yang mana ia telah menyerikan lagi majlis pada hari ini. Terima kasih juga atas segala khidmat nasihat dan sokongan yang telah diberikan kepada kepimpinan Kerajaan Negeri yang dianggap sebagai nasihat serta panduan untuk mentadbir negeri ini dengan lebih baik.

Akhir kata, syabas serta sekalung penghargaan sekali lagi kepada jawatankuasa penganjur dan semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

Sekian, terima kasih.

AIDILFITRI

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang