MAJLIS APRESIASI SUKARELAWAN BELIA PULAU PINANG 2023

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS APRESIASI SUKARELAWAN BELIA PULAU PINANG 2023

 

19 MEI 2023

HOTEL ST. GILES

YB Soon Lip Chee

Exco Belia dan Sukan

Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

Dr. Gwee Sai Ling

Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC)

Encik Mozakir bin Buyong Mokhtar

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang

Encik Ramlee bin Abu Bakar

Wakil Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang

Mohd Hafiz Ali bin Mohd Anuar

Pengarah Majlis Belia Negeri Pulau Pinang

Encik Faizul Afzan

Setiausaha Agung Majlis Belia Negeri Pulau Pinang

 

Puan Quah Yee Theng

Business Manager of BP Healthcare Group

Para Sukarelawan Belia Pulau Pinang

Rakan-Rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian

Salam Sejahtera, Salam Penang2030, dan Salam Malaysia Madani kepada semua.

Pertama kali saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) yang telah mengaturkan Majlis Apresiasi Sukarelawan Belia Pulau Pinang 2023 pada malam yang berbahagia ini.

Sesungguhnya majlis pada hari ini adalah sebagai tanda penghargaan daripada Kerajaan Negeri kepada seramai 159 Sukarelawan Belia Pulau Pinang yang telah melibatkan secara aktif dalam usaha-usaha pembangunan belia dan negeri ini.

Satu tepukan gemuran buat anda semua!

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited dalam membangunkan negeri dengan pendekatan yang holistik selari dengan gagasan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Kerjasama dan sokongan berterusan merupakan asas utama dalam mendukung dan mencapai keberhasilan yang dihasratkan. Justeru, penyertaan dan penglibatan segenap lapisan masyarakat adalah sangat diperlukan agar kita boleh memandu pembangunan dan kemajuan negeri secara seimbang dan harmoni.

Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) atas komitmen dan dedikasi berterusan dalam merealisasikan agenda pembangunan negeri secara kolektif, terutama melibatkan aspek pembangunan dan pemerkasaan belia yang berintegriti, berkebolehpasaran dan berdaya saing.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2012, PYDC giat merencanakan pelbagai program bermanfaat untuk para belia termasuklah inisiatif Sukarelawan Belia Pulau Pinang.

PYDC telah melakukan usaha mempromosikan platform Sukarelawan Belia Pulau Pinang tanpa henti dan juga telah menganjurkan pelbagai program dengan kerjasama pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sekolah, dan institusi pendidikan tinggi.

Dilancarkan pada tahun 2020, kita telah berjaya memperoleh pendaftaran melebihi 4,500 sukarelawan dan masih berkembang sehingga kini. Angka ini memberi saya keyakinan bahawa inisiatif sukarelawan berada dalam landasan yang betul dan sasaran untuk mencapai penyertaan 20,000 sukarelawan semestinya mampu dicapai dengan jayanya.

Pada tahun lepas sahaja, sebanyak 54 program telah dianjurkan untuk program sukarelawan dan setakat ini, pada tahun 2023, sebanyak 33 program telah dianjurkan untuk sukarelawan belia kita dan pelbagai lagi program akan dianjurkan dalam masa akan datang.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Saya berpeluang untuk menyaksikan sukarelawan belia kita beraksi dalam pelbagai program kemasyarakatan, termasuk program-program anjuran Kerajaan Negeri, dan secara peribadinya saya amat bangga akan prestasi cemerlang dan kemajuan program ini.

Sebagai belia, anda semua memiliki sebuah perjalanan yang sangat panjang dan tenaga yang sangat banyak. Melihat komitmen anda semua dalam menyalurkan tenaga tersebut ke arah aktiviti kesukarelawanan bersama komuniti, saya amat yakin anda boleh pergi jauh dan menjadi inspirasi untuk negeri dan belia kita semua.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Majlis Apresiasi Sukarelawan Belia Pulau Pinang ini merupakan satu usaha kecil sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada mereka yang telah memberikan komitmen yang sangat tinggi sepanjang keanggotaan mereka.

Justeru, sukacita dimaklumkan bahawa untuk majlis apresiasi ini, selain makan malam, PYDC buat pertama kalinya juga berbesar hati untuk menawarkan pakej kesihatan bernilai RM552 dan akan diberikan secara percuma kepada 88 sukarelawan yang telah mencapai kredit melebihi 15 jam.

Semoga dengan tawaran menarik ini dapat meningkatkan semangat dan kegigihan para sukarelawan untuk terus memberikan yang terbaik kepada komuniti dan negeri ini.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada PYDC dan semua pihak yang terlibat dalam  menjayakan inisiatif sukarelawan yang amat bermakna untuk pembangunan negeri Pulau Pinang.

Buat para sukarelawan, terima kasih sekali lagi untuk kerja keras dan bakti anda semua.

Semoga anda semua terus maju jaya dalam segala yang dilakukan dan terus menjadi inspirasi kepada kita semua. Penang Youth Volunteers, We Make A Difference!

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang