LAWATAN TEKNIKAL: PAKEJ 12A, LOJI RAWATAN AIR SUNGAI DUA

UCAPAN YAB TUAN CHOW KON YEOW

KETUA MENTERI PULAU PINANG

LAWATAN TEKNIKAL: PAKEJ 12A,

LOJI RAWATAN AIR SUNGAI DUA

13 MEI 2023

Terima kasih Pengerusi Majlis,

Yang Berusaha Ir. Pathmanathan K,

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP

Yang Berusaha En. Khitob bin Ahmad,

Pengarah Wilayah Utara, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

Ketua-ketua Divisyen dan Ketua-ketua Jabatan PBAPP dan PBAHB,

Rakan-rakan media,

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Salam sejahtera dan Salam Malaysia Madani,

Pertamanya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PBAPP kerana menjemput saya hari ini untuk meninjau kemajuan satu lagi projek pembangunan infrastruktur air yang penting untuk manfaat Pulau Pinang.

Izinkan saya untuk memulakan ucapan saya dengan menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PBAPP amat serius dalam komitmen kami untuk sentiasa memastikan perkhidmatan bekalan air yang baik untuk manfaat semua rakyat Pulau Pinang dan perniagaan di Pulau Pinang.

Malah, PBAPP merancang untuk melabur kira-kira RM1.185 bilion untuk melaksanakan projek bekalan air dalam tempoh 5 tahun akan datang.

Bajet RM1.185 bilion ini diperlukan untuk merealisasikan 8 projek yang disenaraikan di bawah Pelan Kontingensi Air PBAPP 2030 atau lebih dikenali sebagai WCP 2030.

Pada asalnya, PBAPP telah menyenaraikan 5 projek di bawah WCP 2030, dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM842 juta dengan ringkasan:

  1. Modul DAF baharu 10 juta liter sehari atau JLH, di Loji Rawatan Air Bukit Panchor, atau LRA Bukit Panchor, di Seberang Perai Selatan. Loji ini dijadualkan untuk pengoperasian pada tahun ini.
  1. Pakej 12A, 114 JLH LRA Sungai Dua yang akan kita tinjau hari ini. Pakej 12A dijadualkan untuk pengoperasian pada Januari 2024.
  1. Sebuah loji rawatan air baharu 114 JLH berhampiran Empangan Mengkuang yang akan diperbesarkan. LRA Empangan Mengkuang ini dijadualkan siap pada tahun 2025.
  1. LRA Sungai Kerian 114 JLH fasa 1 yang baharu di daerah SPS. Loji ini dijadualkan siap menjelang 2027 atau mungkin lebih awal.
  1. Skim Bekalan Air Sungai Perai 136 JLH, lengkap dengan pra-rawatan air Sungai Perai. Projek ini dijadualkan siap menjelang 2028.

Projek-projek ini akan mengoptimumkan dan meningkatkan jumlah kapasiti rawatan air PBAPP sebanyak 488 JLH.

Projek-projek itu juga akan membolehkan Pulau Pinang memanfaatkan 3 sumber air mentah tambahan baharu di tanah besar, iaitu Empangan Mengkuang, Sungai Kerian dan Sungai Perai.

Pada Mei 2023, PBAPP juga telah menambah 3 projek baharu dalam portfolio WCP 2030nya, dengan kos tambahan yang diunjurkan sebanyak RM343 juta iaitu:

  1. Pemasangan saluran paip agihan air 1800mm sepanjang 13km dari LRA Sungai Dua ke Butterworth di Seberang Perai menjelang 2024.
  1. Pemasangan saluran paip agihan air sepanjang 3.9 km 1800mm dari Kawasan Macallum ke Kompleks Kolam air dan Stesen Pam PBAPP Bukit Dumbar di Pulau Pinang menjelang 2024.
  1. LRA Sungai Muda 114 JLH di Sungai Muda untuk meningkatkan kapasiti rawatan air PBAPP sebanyak 114 MLD.

3 projek ini akan memudahkan dan mempertingkatkan pengepaman lebih banyak air terawat dari LRA Sungai Dua di Seberang Perai ke Pulau Pinang.

Walaupun sebahagian besar projek WCP 2030 terletak di Seberang Perai untuk memenuhi permintaan air di tanah besar, kita juga perlu membekalkan lebih banyak air terawat ke bahagian pulau untuk mengurangkan risiko kekurangan air terutamanya ketika musim kemarau.

Tahap pelaburan ini mencerminkan komitmen PBAPP dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan kelestarian bekalan air di seluruh Negeri Pulau Pinang sehingga tahun 2030.

Dengan ini, amat jelas kita memerlukan lebih banyak bekalan air terutamanya untuk mencapai aspirasi visi Penang2030 di mana kita juga mesti meminimumkan risiko krisis bekalan air sebelum pengoperasian Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak atau SPRWTS.

Melangkaui 2030, kita masih memerlukan SPRWTS, dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus berusaha memastikan pelaksanaannya untuk manfaat 1.74 juta penduduk di Pulau Pinang.

Buat masa ini, saya gembira untuk mengambil maklum bahawa PBAPP sedang merancang ke masa hadapan dan melaksanakan projek-projek ini untuk menangani unjuran permintaan air maksimum sebanyak 1,500 JLH di Pulau Pinang menjelang 2030 dan daripada sudut bekalan air, ini adalah margin keselamatan yang baik.

Justeru, saya ingin menggesa PBAPP untuk meneruskan usaha yang baik ini dan sila pastikan bahawa semua projek WCP 2030 disempurnakan seperti yang ditetapkan dan beroperasi seperti yang dijadualkan.

Sekian, terima kasih.

LOJI RAWATAN AIR SUNGAI DUA

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang