MAJLIS PERASMIAN MINGGU PERUSAHAAN MIKRO, KECIL & SEDERHANA (PMKS) ZON UTARA 2023  

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN MINGGU PERUSAHAAN MIKRO, KECIL & SEDERHANA (PMKS) ZON UTARA 2023

 

3 Jun 2023 (3.00 pm)

SP Arena, Seberang Jaya

Selamat Petang, Salam Sejahtera, Salam Penang2023 dan Salam Malaysia Madani.

Pertama sekali, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SME Corp Malaysia atas komitmen dan jalinan kerjasama dengan Kerajaan Negeri melalui Pejabat Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, YB Dato’ Abdul Halim Hussain bagi menjayakan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS) Zon Utara 2023 ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya amat berbesar hati dan gembira atas pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi pertama bagi penganjuran program selama tiga (3) hari bermula semalam, 2 Jun sehingga 4 Jun 2023, yang diadakan bersempena Minggu Usahawan Negara (MUN) 2023.

Saya juga amat berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran Timbalan Menteri Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Senator Saraswathy Kandasamy, yang sudi meluangkan masa bersama-sama kita pada petang ini.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN 2003), sesungguhnya penganjuran bersama Minggu Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS) 2023 Peringkat Zon Utara antara KUSKOP dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ini adalah kolaborasi strategik dan manifestasi khususnya dalam aspek membudayakan nilai keusahawanan dalam kalangan rakyat.

Di peringkat negeri, kita juga mempunyai pelbagai dasar dan inisiatif bagi menyokong tujuan dan aspirasi yang sama. Antaranya adalah dengan melancarkan kempen “Keusahawanan Satu Budaya” (K1B) pada 1 Ogos 2022 yang bermatlamat melahirkan “Sebuah Keluarga Seorang Usahawan”.

Sehingga kini, K1B telah mencatatkan seramai 70,000 orang usahawan yang telah berdaftar dan kita mensasarkan menjelang tahun 2030, seramai 100,000 usahawan PMKS bakal dilahirkan di Pulau Pinang melalui inisiatif ini.

Selain itu, sejak tahun 2018, Kerajaan Negeri melalui MMK Pembangunan Usahawan juga telah melaksanakan program pemantapan digital, di mana seramai 3,000 usahawan telah berjaya dilatih untuk mengikuti kursus perniagaan atas talian bagi memasarkan produk mereka di atas platform e-dagang.

Program kerjasama pintar Kerajaan Negeri dengan platform e-dagang Shopee, Foodpanda, Grab, PG Mall dan Airasia Grocer juga amat membantu dan telah memberi manfaat kepada seramai 42,935 usahawan PMKS negeri ini. Kerjasama pintar itu telah mencatatkan pertumbuhan nilai dagangan kasar (GMV) sebanyak RM150 juta pada tahun 2020.

Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri telah melaksanakan Program Usahawan Mikro Go Digital pada 2021. Sebanyak 350 unit peranti komputer bernilai RM352,000.00 telah disumbangkan kepada usahawan mikro.

Usaha ini dilihat akan memberi manfaat jangka panjang kepada usahawan PMKS untuk menguasai ilmu digital dan komuniti ‘knowledge economy’, sekaligus membuka peluang lebih besar kepada mereka dalam meningkatkan jualan dan menguasai pasaran.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Mengimbau pandemik COVID-19, usahawanlah antara kumpulan yang paling terkesan. Selain bantuan ‘one off’,  Kerajaan Negeri turut menyediakan bantuan Skim Pinjaman PEKA yang merupakan skim pinjaman tanpa faedah berjumlah RM45 juta dan telah memberi manfaat kepada 2,170 para usahawan yang disalurkan secara berperingkat.

Ini adalah antara usaha dan inisiatif berterusan Kerajaan Negeri, selari dengan Visi Penang 2030, iaitu untuk menaiktaraf ekonomi rakyat dengan meningkatkan pendapatan isi rumah melalui bidang keusahawanan.

Aspirasi ini bukan angan-angan, sebaliknya ia merupakan hala tuju dan panduan bersama yang perlu dipacu sesuai dengan peranan Pulau Pinang sebagai antara destinasi pelaburan unggul di negara ini, di mana Pulau Pinang terus mendapat keyakinan para pelabur dengan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) sebanyak RM126.7 bilion dari tahun 2018 sehingga 2022.

Suka saya nyatakan di sini bahawa Industri Kecil dan Sederhana (IKS) adalah antara penyumbang kepada pertumbuhan pelaburan sekaligus memain peranan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Kepada semua usahawan dan bakal usahawan yang hadir pada hari ini, rebutlah peluang yang disediakan sepanjang Minggu PMKS 2023 ini untuk mendapatkan seberapa banyak informasi dari perkhidmatan padanan perniagaan, peluang memasarkan produk dan perkhidmatan serta maklumat mengenai bantuan yang ditawarkan pelbagai agensi pembangunan keusahawanan.

Saya percaya dengan ilmu dan pendedahan yang baru mampu membantu meningkatkan lagi perniagaan yang sedang atau bakal dijalankan. Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus menyokong dan menyediakan bantuan dan persekitaran yang kondusif untuk membantu para usahawan PMKS.

Kerajaan Negeri berhasrat membawa produk PMKS ke peringkat antarabangsa, justeru pengaplikasian teknologi digital amat penting dikuasai oleh usahawan. Kerajaan Negeri akan terus menjadi tulang belakang kepada para usahawan di negeri ini dan sangat mengalu-alukan para peniaga dari negeri-negeri di wilayah utara seperti negeri Perlis, Kedah dan Perak sebagai sebuah masyarakat Malaysia Madani.

Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak agensi peringkat persekutuan, negeri dan rakan strategik yang membantu menjayakan program pada hari ini.

Dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Minggu Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) 2023 Peringkat Zon Utara.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang