MAJLIS PECAH TANAH DEWAN MPKK PERAI, TAMAN SENANGIN
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH DEWAN MPKK PERAI, TAMAN SENANGIN
20 JUN 2023
YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, merangkap ADUN Perai
Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Haji Arshad
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)
Yang Berusaha Encik Kamarul Haizal bin Koderat
Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (PDTSPT)
Encik David Marshel a/l Pakianathan
Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)
Encik Ilyas bin Md Desa
Penghulu Kawasan Perai
Encik S. Sri Sangar
Pengerusi MPKK Perai
Para Jemputan
Rakan-Rakan Media
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dikasihi sekalian
Selamat Pagi, Salam Sejahtera, Salam LovePENANG & Salam Malaysia Madani.
Pertamanya, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YB Profesor Dr. P. Ramasamy dan pasukan yang telah mengaturkan Majlis Pecah Tanah Dewan MPKK Perai, Taman Senangin pada pagi yang berbahagia ini.
Selaku Ahli Parlimen Batu Kawan, saya berasa gembira kerana akhirnya, Dewan MPKK Perai yang sudahpun berusia lebih 30 tahun dan merupakan antara dewan yang paling lama di DUN Perai ini akan dibaiki dan dibina ganti.
Dengan kos sebanyak RM2.0 juta, dewan usang ini akan dipulihkan semula di mana Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (PDTSPT) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang sebagai agensi bertanggungjawab telah memulakan kerja-kerja awalan dan kini sedang dalam proses memuktamadkan tender.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Selaras dengan aspirasi Visi Penang2030, Kerajaan Negeri komited dan peka terhadap keperluan masyarakat setempat khususnya dalam menjadikan dewan-dewan MPKK sebegini sebagai pusat tumpuan bagi aktiviti penduduk.
Kerajaan Negeri konsisten dalam aspek penyediaan kemudahan infrastruktur awam yang selasa, selamat dan komprehensif. Kita akan sentiasa memantau dari semasa ke semasa agar dewan-dewan ini dipastikan berada dalam keadaan baik serta sedia untuk digunakan bagi membolehkan pelbagai kegiatan dan aktiviti kemasyarakatan dapat dilaksanakan dengan penyertaan dan penglibatan masyarakat setempat.
Setelah siap dewan ini kelak, ia akan diuruskan oleh jawatankuasa MPKK Perai dan saya ingin menyeru kepada MPKK Perai supaya bertanggungjawab penuh ke atas dewan ini nanti bagi menganjurkan program-program yang membawa manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.
Inilah platform yang amat baik sekali, bersesuaian dengan peranan MPKK sebagai perantara bagi menyampaikan dasar dan polisi yang digubal di peringkat negeri untuk disampaikan kepada rakyat dengan jelas dan tepat.
Saya turut mempelawa penduduk-penduduk Taman Senangin untuk menggunakan dewan ini bagi menjalankan aktiviti-aktiviti keramaian dan riadah yang berfaedah seperti aktiviti senaman dan penganjuran kelas-kelas pengajaran informal yang boleh menimba ilmu kepada penduduk kawasan ini.
Diharapkan kedua-dua pihak baik dari jentera Kerajaan Negeri mahupun rakyat dapat memperolehi manfaat daripada pelaksanaan projek ini.
Akhir kata, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah sekali lagi kepada YB Prof. Dr. P. Ramasamy, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah, Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang, MPKK Perai serta semua yang terlibat atas inisiatif dan dedikasi yang telah diambil untuk memulihkan semula Dewan MPKK Perai, Taman Senangin.
Semoga segala proses berjalan lancar dan projek ini dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan, sekaligus memberikan landskap baharu khusus di kawasan Taman Senangin, Perai ini.
Sekian, terima kasih.