PROGRAM GOTONG-ROYONG MEGA PERANGI AEDES & PELANCARAN ONE HOUR MALAYSIA CLEAN UP PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA PROGRAM GOTONG-ROYONG MEGA PERANGI AEDES & PELANCARAN ONE HOUR MALAYSIA CLEAN UP PERINGKAT
NEGERI PULAU PINANG
24 JUN 2023 | TAMAN SRI RAMBAI
Terima kasih diucapkan kepada saudara/i pengacara majlis.
Yang Berhormat Dr. Hajah Norlela binti Ariffin
Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan
Yang Berhormat Puan Chong Eng
Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang
Yang Berhormat Tuan Sim Chee Keong
Timbalan Menteri Kewangan II merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam
Yang Berhormat barisan ADUN dan Ahli Parlimen bagi Daerah Seberang Perai Tengah
Yang Berusaha Tuan Kamarul Haizal Bin Koderat
Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah
Yang Berusaha Dr. Noraishah binti Jaafar
Pegawai Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah
Ketua-ketua jabatan dari agensi-agensi kerajaan dan Majlis Bandaraya Seberang Perai Tengah (MBSP)
Pemimpin-pemimpin komuniti, barisan sukarelawan MyCHAMPION, COMBI serta juga wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat.
Selamat pagi, Salam Penang 2030, Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan kerana kita dapat bertemu dan berkumpul bagi memeriahkan Sambutan Hari Denggi Peringkat ASEAN dan Program Gotong-royong Mega Perangi Aedes Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2023.
Mengambil kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Sri Rambai yang telah bergabung tenaga bagi merealisasikan program kita pada pagi ini.
Setinggi-tinggi penghargaan juga buat penduduk setempat, MBSP serta agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang turut bertungkus-lumus bagi menjayakan program gotong-royong ini.
Hadirin yang dihormati,
Aktiviti pembersihan persekitaran seperti yang diadakan pada hari ini merupakan strategi penting dalam usaha membendung penyakit demam denggi. Sebagai makluman semua, negeri Pulau Pinang menghadapi peningkatan mendadak kes demam denggi pada tahun ini dan situasi tersebut adalah agak membimbangkan.
Bermula dari bulan Januari sehingga 17 Jun tahun ini, jumlah kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan di negeri ini adalah sebanyak 4,799 kes berbanding 282 kes bagi tempoh sama tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 1,602 peratus bersamaan dengan 4,517 kes.
Pada tahun ini juga iaitu pada tempoh sama, dilaporkan terdapat enam (6) kematian berbanding tiada kematian pada tahun sebelumnya iaitu peningkatan sebanyak 600 peratus.
Sehingga 17 Jun 2023, terdapat 42 wabak demam denggi aktif iaitu 33 wabak di daerah SPT, tujuh (7) di daerah Timur Laut dan masing-masing satu (1) wabak di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS).
Pada tahun ini sahaja, lokaliti Taman Sri Rambai telah merekodkan kejadian wabak demam denggi sebanyak 10 kali dengan jumlah kes membabitkan seramai 73 mangsa. Hasil tinjauan Pejabat Kesihatan Daerah SPT mendapati bahawa punca utama pembiakan nyamuk Aedes di Taman Sri Rambai adalah disebabkan pengumpulan barang-barang terpakai dalam kawasan rumah yang menjadi punca takungan air serta tempat pembiakan nyamuk Aedes seperti tong cat, baldi dan tempat simpanan air.
Selain itu, pelapik pasu bunga serta saliran longkang yang terganggu mengakibatkan takungan air yang seterusnya menyumbang kepada pembiakan nyamuk Aedes dan penularan demam denggi dalam kalangan penduduk.
Justeru, tindakan proaktif dan bersepadu iaitu gotong-royong secara besar-besaran adalah perlu dilaksanakan pada kadar segera dengan melibatkan penduduk setempat, ketua komuniti, pasukan COMBI dan agensi-agensi kerajaan dan NGO bagi memastikan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes dilakukan secara menyeluruh.
Tidak dinafikaan bahawa usaha tersebut perlu dilakukan secara berterusan dan setiap pihak terutamanya penduduk serta anggota masyarakat memainkan peranan yang amat penting. Justeru, ayuh kita lakukannya!
Warga Pulau Pinang yang dikasihi,
Sering kali kita mendengar tentang penyakit demam denggi yang menyerang tanpa mengenal usia serta jantina sehingga boleh menyebabkan kematian. Transmisi penyakit ini berlaku apabila nyamuk Aedes betina yang telah dijangkiti memindahkan virus jangkitan kepada individu lain melalui gigitan. Oleh itu, adalah amat penting bagi kita mengambil langkah menghapuskan segala medium berpotensi yang boleh membantu pembiakan vektor pembawa penyakit berkaitan.
Kita tidak seharusnya alpa akan tanggungjawab kita dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Bekas-bekas yang boleh menakung air atau sampah hendaklah dibuang ke tempat yang betul atau dikitar semula agar ia tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Tahap penjagaan alam sekitar dan keprihatinan masyarakat mempunyai perkaitan yang rapat dengan risiko kejadian demam denggi.
Oleh itu, peruntukan masa sekurang-kurangnya 10 minit pada setiap minggu bagi memastikan kediaman masing-masing dan persekitaran bebas dari pembiakan nyamuk Aedes.
Ketahuilah bahawa perebakan wabak ini tidak dapat ditangani oleh pihak Kementerian mahupun jabatan kesihatan sahaja, sebaliknya juga dengan kerjasama penuh terutamanya daripada masyarakat setempat, agensi-agensi kerajaan, swasta serta NGO adalah amat penting dalam menjayakan misi kita dalam membanteras demam denggi.
Bersempena Sambutan Hari Denggi ASEAN, Program Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes dan Pelancaran One Hour Malaysia Clean Up ini diharap akan menjadi salah satu inisiatif utama oleh semua pihak dalam meningkatkan lagi kesedaran dan penyertaan semua golongan masyarakat untuk mewujudkan suatu persekitaran yang bersih, sihat serta bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes.
Sebelum mengakhiri ucapan saya ini, sekali lagi, saya ingin mengucapkan sekalung penghargaan kepada semua yang hadir dalam program gotong-royong ini. Semoga program seumpama ini akan diteruskan lagi pada masa yang akan datang demi kesejahteraan semua.
Dengan ini, sukacitanya saya merasmikan Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes dan Pelancaran One Hour Malaysia Clean Up sempena Sambutan Hari Denggi ASEAN Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2023.
Sekian, terima kasih.