MAJLIS PERASMIAN PESTA DURIAN BUKIT MERTAJAM 2023
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PESTA DURIAN BUKIT MERTAJAM 2023
24 JUN 2023 (SABTU)
MYDIN BUKIT MERTAJAM
Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak
Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang
YBhg. Dato’ Azhar bin Haji Arshad
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)
Para Jemputan
Rakan- Rakan Media
Tuan- Tuan dan Puan-Puan yang dikasihi sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Pada petang yang berbahagia ini, saya amat berbesar hati dan gembira untuk menerima jemputan ke Majlis Perasmian Pesta Durian Bukit Mertajam 2023 ini.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang telah menggerakkan acara yang julung kali diadakan ini, dengan usaha sama Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Sebelum meneruskan ucapan ringkas ini, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun atas kesudian melapangkan masa untuk bersama-sama memeriahkan acara pada petang ini.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Apabila tibanya musim durian, Pulau Pinang sentiasa menjadi destinasi tumpuan terutamanya di kawasan Balik Pulau sehingga menyebabkan kesesakan di kawasan tersebut. Faktor persekitaran termasuk ekosistem yang seimbang seperti angin laut sebagai baja semula jadi dikatakan antara faktor yang menyokong kualiti dan mempengaruhi rasa buah ini.
Bagi rata-rata penggemar durian yang arif tentang perincian buah ini, durian Balik Pulau dikenali dengan keunikan dan rasa yang tersendiri berbanding durian dari tempat lain, menjadikan durian Balik Pulau antara durian yang paling dicari oleh penggemar buahan eksotik tersebut.
Namun, masih ramai yang tidak tahu yang sebenarnya durian Seberang Perai juga mempunyai keunikan dan populariti yang tidak kurang hebatnya yang berpotensi untuk diketengahkan di pasaran, seperti durian baka duri hitam atau dikenali sebagai orchee yang didaftarkan di Nibong Tebal.
Dan istimewa bagi penganjuran pesta durian ini, penganjur telah membawa durian Tokup Top D220 atau nama saintifiknya durio zibethinus keluaran Cherok Tokun untuk diketengahkan dan akan menjadi tumpuan utama di sini.
Kita berharap dengan pengenalan ini, ia akan membuka lembaran baharu bukan sahaja kepada pemilik dusun ini, tetapi juga dalam usaha mempromosikan Cherok Tokun sebagai lokasi baharu kepada penggemar durian.
Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada MBSP, FAMA dan Jabatan Pertanian Negeri dalam usaha menjayakan program ini.
Diharapkan penganjuran program sedemikian dapat diteruskan pada masa-masa akan datang, dengan lebih banyak varieti durian di kawasan Seberang Perai dapat diperkenalkan kepada umum.
Sekian, terima kasih.