MAJLIS MERAIKAN KEJAYAAN SK SERI PERMAI TERSENARAI ANTARA 10 SEKOLAH TERBAIK DUNIA DALAM PERTANDINGAN WORLD BEST SCHOOL PRIZES (WBSP)
TEKS UCAPAN YANG AMAT BERHORMAT TUAN CHOW KON YEOW KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS MERAIKAN KEJAYAAN SK SERI PERMAI TERSENARAI ANTARA 10 SEKOLAH TERBAIK DUNIA DALAM
PERTANDINGAN WORLD BEST SCHOOL PRIZES (WBSP)
24 JUN 2023
KOMPLEKS KOKURIKULUM SEKOLAH KEBANGSAAN SERI PERMAI PULAU PINANG
Salam Sejahtera dan Selamat Petang. Salam Madani
Setinggi-tinggi kesyukuran kerana kita dapat berkumpul dalam majlis ini untuk bersama-sama meraikan kejayaan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai yang tersenarai antara 10 sekolah terbaik dunia dalam pertandingan World Best School Prizes (WBSP).
Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak SK Seri Permai kerana mengundang saya ke majlis yang amat bermakna ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,
World Best School Prizes (WBSP) merupakan anugerah yang dilancarkan oleh organisasi peringkat global, T4 Education dengan kerjasama LeapEd, Yayasan Hasanah, Templeton World Charity Foundation Accenture dan American Express. SK Seri Permai telah menyertai pertandingan ini secara berperingkat sejak Januari 2023 sehingga berjaya tersenarai antara lima sekolah terbaik di Malaysia bagi mewakili negara ke peringkat dunia melalui Kategori Inovasi.
Inovasi yang dibawa adalah Smart n Easy Table Table 2.0 (SnET 2.0) iaitu implimentasi dan solusi bagi menangani isu beg berat murid sekolah di Malaysia dan juga dunia. Kini, SK Seri Permai berjaya terpilih sebagai 10 sekolah terbaik di dunia dalam pertandingan World Best School Prizes.
Justeru, mengambil kesempatan ini, saya ingin menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada Tuan Guru Besar Encik Mohamad Sabarullah bin Shaik Ismail, barisan penolong kanan, jawatankuasa kerja dan seluruh warga sekolah ini yang bekerja keras dan bertungkus lumus menjayakan projek Smart n Easy Table 2.0 sehingga terpilih sebagai 10 sekolah terbaik dunia meskipun terhambat dengan tugasan-tugasan yang lain.
Jelas kejayaan yang dicapai oleh SK Seri Permai telah dapat mengharumkan nama negara kita Malaysia dan Pulau Pinang khususnya pada peringkat antarabangsa. Ini selaras dengan slogan yang telah saya ilhamkan iaitu ‘LovePENANG’ di bawah gagasan Visi Penang2030 yang mana seluruh rakyat Pulau Pinang diseru agar terus menyuntik rasa cintai negeri ini dengan sepenuh hati demi mengharumkan nama Pulau Pinang dalam pelbagai semua bidang yang diceburi.
Hadirin sekalian,
Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga sentiasa cakna dan mengorak langkah proaktif dari segi pendidikan serta pembangunan modal insan terutama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Bagi melaksanakan usaha tersebut, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM2.18 juta bagi pembangunan modal insan merangkumi sesi latihan amali di pusat-pusat STEM seperti Tech Dome Penang, Penang Science Cluster dan Penang Math Platform, khas untuk pelajar sekolah rendah dan juga menengah di negeri ini. Sebagai makluman semua, seramai 2,072 pelajar telah menyertai program-program latihan ini bagi tempoh Januari hingga Jun tahun lalu.
Kerajaan Negeri umumnya akan meneruskan inisiatif-inisiatif ini demi kepentingan pembekalan modal insan kepada pembangunan sosial ekonomi negeri ini secara menyeluruh bagi merealisasikan Visi Penang2030 iaitu sebagai Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Malah, Kerajaan Negeri juga mensasarkan 20,000 peserta menjelang tahun 2030 bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan STEM kepada anak-anak muda kita di negeri ini.
Saudara dan saudari sekalian,
Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri tidak pernah sesekali mengabaikan keperluan pembangunan pendidikan di negeri ini sejajar dengan perkembangan teknologi. Berlandaskan faktor tersebut, sehingga Mei tahun lalu, sebanyak empat buah perpustakaan digital telah ditubuhkan membabitkan tiga daerah di negeri ini. Malah, rangkaian Pusat Tuisyen Rakyat khas kepada keluarga memerlukan telah diperluaskan sekurang-kurangnya sebuah pusat di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN), dan sejak 2018 sehingga Mei 2022, ia telah berjaya memanfaatkan 3,508 pelajar. Komitmen pelaksanaan program berkaitan turut berterusan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 yang mana para pelajar didedahkan dengan kelas tuisyen secara dalam talian atau e-tuisyen.
Sebelum mengakhiri ucapan saya, sekali lagi doa saya semoga SK Seri Permai terus cemerlang dan berusaha untuk disenaraikan sebagai tiga sekolah terbaik dunia, dan seterusnya diumumkan sebagai Sekolah Terbaik Dunia dalam pertandingan World Best School Prizes.
Semoga inovasi Smart n Easy Table 2.0 dapat dikongsi serta dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat dalam negara dan juga dunia. Sekian, terima kasih.