MAJLIS PERASMIAN GELANGGANG SERBAGUNA TERBUKA BERBUMBUNG DESA MAWAR
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
BERSEMPENA
MAJLIS PERASMIAN GELANGGANG SERBAGUNA
TERBUKA BERBUMBUNG DESA MAWAR
1 JULAI 2023 (SABTU) | 3 PETANG
_______________________________________
Terima kasih saudara pengacara majlis.
Yang Berhormat Ramkarpal Singh
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) merangkap Ahli Parlimen Bukit Gelugor
Yang Berbahagia Joseph Ng Soon Siang
mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam
Ahli-Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
Ketua-ketua jabatan, barisan pegawai dan kakitangan MBPP
Rakan-rakan media; Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Yang Berbahagia Joseph Ng Soon Siang dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana sudi menjemput saya merasmikan gelanggang serbaguna terbuka berbumbung Desa Mawar. Air Itam pada petang ini.
Sekalung penghargaan juga kepada semua pihak yang turut meluangkan masa untuk bersama-sama menyaksikan pembukaan rasmi gelanggang ini yang mana ia secara tidak langsung bakal memanfaatkan penduduk lokal di sini.
Sebagai perkongsian bersama, ini merupakan kali keempat saya menjejakkan kaki ke Taman Kejiranan Desa Mawar dan pada kali ini, ia adalah amat istimewa yang mana gelanggang serbaguna ini telah dilengkapi dengan bumbung. Terima kasih atas komitmen semua pihak dalam merealisasikan pelaksanaan projek ini.
Hadirin sekalian,
Sebagai Kerajaan Negeri yang berjiwa rakyat, saya dan barisan kepimpinan saya mempunyai tanggungjawab yang penting, bukan hanya tertumpu kepada sektor pelaburan negeri, sebaliknya, kami juga memegang amanat dalam memastikan percambahan sosial ekonomi secara menyeluruh dan seimbang kepada Pulau Pinang serta rakyatnya.
Adalah menjadi komitmen kami untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk yang berbilang kaum serta pelbagai peringkat umur melalui program-program kebajikan dan ekonomi, di samping menambah baik kepelbagaian kemudahan awam pada peringkat komuniti.
Memegang prinsip sebagai kerajaan berjiwa rakyat selaras dengan gagasan Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, Yang Berbahagia Joseph selaku ADUN kawasan telah mengetengahkan hasrat penduduk lokal berhubung pembinaan gelanggang ini.
Susulan itu, ketika berlangsungnya Siri Jelajah LovePENANG ke Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam pada bulan September 2022, saya telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM300,000 bagi tujuan menaik taraf bumbung gelanggang ini demi kemudahan penduduk setempat.
Justeru, hasil komitmen semua pihak, gelanggang serbaguna ini berjaya disiapkan dalam tempoh kira-kira enam bulan dengan jumlah kos keseluruhan RM242,000. Syabas kepada semua!
Saudara dan saudari sekalian,
Sebelum mengakhiri ucapan pada hari ini, saya tekankan bahawa Kerajaan Negeri akan terus komited melaksanakan segala perancangan berhubung pembangunan dan penyelenggaraan landskap yang lebih selesa bagi menyediakan persekitaran hidup lebih berkualiti, bersih, hijau dan selamat ke arah mencapai pembangunan sosial yang sihat kepada komuniti setempat.
Walaupun Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini berfungsi sebagai ‘kerajaan sementara’ (caretaker government), saya berharap segala usaha dalam menyediakan kemudahan yang boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, jantina serta kemampuan fizikal dapat diteruskan sebagaimana dirancang.
Dalam pada itu, terima kasih dan tahniah sekali lagi kepada semua yang hadir pada petang ini, dan diharapkan saya dan juga barisan kepimpinan saya terus diberi peluang untuk bersama-sama merealisasikan sasaran Visi Penang 2030 bagi membuktikan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa depan.
Sekian, terima kasih.