MALAYSIA MADANI WALK 2023

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

BERSEMPENA PENGANJURAN MALAYSIA MADANI WALK 2023

 

2 JULAI 2023, AHAD | 7:20 PAGI | GELANGGANG BOLA KERANJANG, TAMAN SUNWAY TUNAS

______________________________________________

 

Yang Berhormat Sim Tze Tzin

Ahli Parlimen Bayan Baru

YBhg. Dato' Ir. A. Rajendran

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

YBrs. Encik Teh Kim Chuan

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Tengah Utara

Tuan-tuan, Puan-puan dan rakan-rakan media sekalian,

Selamat pagi, Salam sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan sekalung penghargaan kepada pihak penganjur kerana menjemput saya ke majlis pembukaan trek basikal dan juga acara ‘Madani Walk’ mengelilingi Taman Sunway Tunas pada pagi ini.

Tahniah diucapkan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Tengah Utara, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sunway Tunas dan Persatuan Penduduk Sunway Tunas. Tidak dilupakan, Pejabat Ahli Parlimen Bayan Baru, Yang Berhormat Sim; Pusat Khidmat Rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak; Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Komuniti (JPWK) Batu Uban serta JPWK Pantak Jerejak atas komitmen tidak berbelah bahagi dalam menjayakan acara komuniti ini.

Malah, satu tepukan gemuruh juga diberikan kepada kira-kira 500 peserta yang berada di sini bagi bersama-sama menjayakan majlis yang penuh bermakna terutamanya kepada komuniti setempat yang mana hasil kerjasama semua, kita berjaya mewujudkan sebuah lagi lokasi rekreasi untuk kegunaan semua di sini.

Hadirin sekalian,

Sejajar dengan Visi Penang2030 iaitu ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, Kerajaan Negeri hari ini akan terus komited berhubung usaha menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Serentak itu, Kerajaan Negeri juga akan terus memastikan hubungan sesama masyarakat serta penduduk setempat terus kekal muhibah dan harmoni demi kesejahteraan pembangunan sosial ekonomi Pulau Pinang.

Bertitik-tolak kepada hasrat ini, adalah diharapkan penduduk lokal terutama sekitar Bayan Baru memanfaatkan kemudahan bersama iaitu trek berbasikal dan pejalan kaki sepanjang 4.2 kilometer (km) yang diwujudkan demi kemudahan semua penduduk di sini demi meningkatkan lagi kualiti hidup penduduk lokal secara keseluruhan.

Saudara dan saudari sekalian,

Saya tidak ingin berucap panjang, sebagai penutup kata, syabas kepada pihak penganjur serta semua pihak yang menjayakan penganjuran dan projek rekreasi ini.

Dalam pada itu, saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penduduk Bayan Baru yang memberi sokongan padu kepada saya dan juga barisan kepimpinan saya dalam tempoh lima tahun ini.

Saya menyeru supaya semua di sini dapat bersama-sama saya meneruskan usaha dalam menjayakan gagasan Visi Penang2030 demi pembangunan Pulau Pinang yang lebih cemerlang dan masa depan anak cucu kita yang lebih gemilang.

Kita Boleh Kita Penang. Kita Penang Kita Boleh!

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang