MAJLIS PENYERAHAN LESEN MEMANDU DI BAWAH PROGRAM MYLESEN B2

TEKS UCAPAN YAB TUAN CHOW KON YEOW,

KETUA MENTERI ‘CARETAKER’ PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN LESEN MEMANDU DI BAWAH PROGRAM MYLESEN B2

 

8 JULAI 2023, SABTU

PUSAT LATIHAN MEMANDU BALIK PULAU

 

Terima kasih saudara/i Pengacara Majlis,

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua ke Majlis Penyerahan Lesen Memandu di bawah Program MyLesen B2 yang mana program pada pagi ini adalah salah satu inisiatif kerajaan yang menawarkan bantuan untuk memperoleh lesen motosikal kelas B2 kepada golongan B40.

Saya dalam pada itu juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat Anthony Loke yang sudah tiga (3) kali berkunjung ke Pulau Pinang pada tahun ini dengan membawa berita-berita baik khas untuk rakyat di negeri ini.

Dan hari ini, kehadiran beliau dalam majlis ini adalah untuk bersama-sama meraikan para penerima bantuan di bawah Program MyLesen B2 dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mana kos bagi mengambil kelas dan ujian lesen ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Belanjawan Madani 2023.

Bagi fasa pertama program ini, saya difahamkan bahawa terdapat seramai 293 individu terlibat yang mana mereka merupakan penerima bantuan pembasmian kemiskinan melalui Program Bantuan e-Kasih, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan lain-lain bentuk bantuan lagi. Manakala, fasa kedua, suka untuk saya nyatakan di sini bahawa penyerahan akan dilaksanakan dalam masa terdekat melibatkan daerah-daerah di Seberang Perai.

Hadirin sekalian,

Berdasarkan Laporan Perangkaan Kemalangan Jalan Raya Malaysia tahun 2021, kes kemalangan bagi kumpulan umur 16 hingga 20 tahun mencatatkan angka kedua tertinggi iaitu 7,131 kes berbanding lain-lain kumpulan umur. Baik Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan, perkara ini adalah perlu dipandang serius. Justeru, saya amat mengalu-alukan pelbagai inisiatif serta program seperti ini diteruskan bukan sahaja di Pulau Pinang malahan seluruh negara.

Isu keselamatan jalan raya di Pulau Pinang begitu dekat di hati saya, apatah lagi saya pernah dilantik sebagai Exco yang bertanggungjawab terhadap pengurusan lalu lintas sebelum ini. Justeru, saya percaya bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk mencari penyelesaian bersama-sama Kementerian Pengangkutan serta agensi-agensi berkaitan agar rakyat sentiasa beringat ketika di jalan raya, bukan sahaja keselamatan diri sendiri malah pengguna jalan raya lain juga.

Di Pulau Pinang, pelbagai infrastruktur dan kemudahan dibangunkan supaya dapat memberikan manfaat serta keselesaan kepada pengguna jalan raya khasnya penduduk Pulau Pinang yang kini mencecah 1.7 juta orang. Maka, melalui Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri kini, ia diyakini dapat memberi impak serta penyelesaian terhadap masalah lalu lintas di samping meningkatkan ketercapaian dan kesejahteraan pengguna jalan raya.

Selain itu, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dengan fungsi ‘video analytics’ juga ditambah bagi meningkatkan tahap keselamatan awam di negeri ini. Tidak hanya pemandu dan penunggang motosikal sahaja, kebajikan pejalan kaki serta penunggang basikal turut diberikan perhatian baik dari segi advokasi mahupun penyediaan infrastruktur berkaitan.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Sayang sekali sekiranya segala usaha Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan pelbagai infrastruktur yang terbaik kepada pengguna jalan raya menjadi sia-sia sekiranya masih ada pengguna yang mengambil mudah serta tidak menghiraukan peraturan dan undang-undang jalan raya.

Setiap hari kita dikejutkan dengan kes-kes kemalangan melibatkan anak muda, dan ada antaranya membawa maut. Sudah pasti, sebagai seorang pemimpin dan seorang bapa, saya berasa amat sedih dengan apa yang berlaku kerana kehilangan generasi muda yang berpotensi menjadi pewaris kepada kepimpinan negara pada masa hadapan.

Oleh itu, tindakan komprehensif dan usaha keras berterusan yang telah diambil oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam menangani isu penunggang motosikal di negeri ini termasuk meningkatkan pemantauan serta penguatkuasaan, menganjurkan program-program advokasi dan kesedaran bersama-sama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) misalnya, mengadakan ceramah-ceramah keselamatan jalan raya di sekolah serta tempat kerja, kempen kesedaran awam serta peringatan berterusan melalui saluran media sosial adalah amatlah dihargai.

Saya menaruh harapan agar usaha ini diteruskan dengan sokongan daripada semua institut memandu untuk sentiasa mengingatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati dan mengikut undang-undang yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sekali gus menjadikan persekitaran jalan raya di negeri ini khasnya, sentiasa kondusif dan selamat untuk semua.

Selain itu, ribuan terima kasih saya zahirkan kepada JPJ Malaysia khususnya JPJ Negeri Pulau Pinang atas usaha berterusan dalam membenteras lumba haram di negeri ini. Saya dimaklumkan pelbagai pendekatan dan strategi telah dirangka dan dilaksanakan oleh JPJ Negeri Pulau Pinang bersama-sama dengan pihak PDRM dan lain-lain agensi bagi memastikan kegiatan lumba haram dapat dihapuskan di Pulau Pinang.

Saudara dan saudari sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan, saya percaya bahawa dengan adanya program bantuan seumpama ini, ia mampu memudahkan pergerakan sama ada ke sekolah, pasar, ke tempat kerja atau pada masa yang sama membantu keluarga menjana pendapatan melalui perkhidmatan penghantaran p-hailing yang menjadi sebahagian nadi industri gig yang kian meningkat kini.

Sekali lagi, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Berhormat Anthony Loke, Dato’ KSU Kementerian Pengangkutan, Ketua Pengarah JPJ serta semua jentera JPJ pada peringkat Persekutuan dan negeri yang telah menganjurkan program ini. Semoga jalinan dan hubungan baik ini diteruskan agar limpahan manfaat dapat dirasai oleh seluruh penduduk negeri Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang