“PENANG HOKKIEN: OUR LANGUAGE, OUR HERITAGE”

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN FORUM WARISAN PULAU PINANG

“PENANG HOKKIEN: OUR LANGUAGE, OUR HERITAGE”

 

5 JULAI 2023

DEWAN BANDARAN, GEORGE TOWN

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Caretaker Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang

 

YB Yeoh Soon Hin

Caretaker Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif

 

YB Teh Lai Heng

Mantan ADUN Komtar

 

YB Daniel Gooi Zi Sen

Mantan ADUN Pengkalan Kota

 

Yang Berusaha Encik Rosli bin Haji Nor

Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang

 

Barisan Ahli Majlis Warisan Negeri Pulau Pinang

Para Penceramah Jemputan

Rakan-Rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dikasihi sekalian

Selamat Pagi, Salam Sejahtera & Salam Malaysia Madani.

Pertama sekali saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE) dan Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang yang telah mengaturkan Forum Warisan Pulau Pinang bertajuk “Penang Hokkien: Our Language, Our Heritage” pada hari yang berbahagia ini.

Sesungguhnya saya gembira untuk turut serta dalam acara ini, sebagai menyatakan sokongan kepada inisiatif berterusan yang diambil melalui penganjuran forum sedemikian dengan pelbagai topik berbeza, di mana penganjuran kali ini memberikan fokus kepada usaha-usaha memartabatkan dialek atau Bahasa Hokkien Pulau Pinang yang merupakan antara warisan berharga di negeri ini.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Menurut kajian UNESCO dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), satu bahasa di dunia lenyap pada setiap 14 hari. Pakar turut menjangkakan separuh daripada hampir 7,000 bahasa yang masih ada di dunia ini akan ikut pupus menjelang kurun yang akan datang.

Istilah pupus yang digunakan adalah merujuk kepada bahasa atau dialek itu tidak lagi ditutur dan difahami oleh mana-mana orang. Dan direkodkan juga, hampir 600 bahasa yang diketahui telah pupus dan hilang selamanya.

Kepupusan ini lebih cepat jika bahasa atau dialek berkenaan tidak mempunyai tulisan, dan realitinya kepupusan ini kebanyakan berlaku di negara-negara Asia dan Afrika.

Justeru, usaha-usaha pemuliharaan bahasa dilihat amat penting dalam menjaga dan melestarikan aset warisan ini dengan bijak dan sistematik. Dokumentasi secara digital dilihat sebagai langkah terbaik, dan sehingga kini, terdapat kira-kira 6,912 national databases direkodkan di seluruh dunia bagi tujuan pemeliharaan dan pemuliharaan bahasa ini.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Sejak lama dahulu, Bahasa Hokkien dituturkan oleh majoriti rakyat di Pulau Pinang dari pelbagai kaum dan suku, menjadikan ianya sebagai bahasa perhubungan selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.  

Namun, peredaran masa telah mengancam kedudukan dan penggunaan bahasa ini terutama di kalangan generasi muda. Kejayaan memperkukuhkan Bahasa Mandarin meninggalkan kesan yang buruk ke atas bahasa-bahasa Cina yang lain, dan Bahasa Hokkien Pulau Pinang tidak terkecuali.

Dan hari ini, kita bersyukur kerana keprihatinan dan gerak kerja untuk menyelamatkan bahasa ini masih wujud dan kita percaya dengan platform yang ada ia sedikit sebanyak dapat membantu dan membuka ruang untuk bahasa ini disuburkan kembali, sekaligus memastikan sejarah serta budaya warisan ini tidak lenyap dan terus terpelihara.

Di kesempatan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk ahli akademik, aktivis warisan dan orang perseorangan yang terus memperjuangkan kelestarian Bahasa Hokkien agar ia tidak terus ditelan zaman.

Dan bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada Encik Timothy Tye yang merupakan seorang aktivis yang mencipta kandungan (content creator) dan youtuber atas komitmen dan dedikasi cemerlang yang diberikan dalam menyelamatkan bahasa ini dengan mengambil langkah mewujudkan bahan pengajaran secara percuma, termasuklah menghasilkan kamus digital Penang Hokkien dan siri video di saluran youtube.

Sesungguhnya Kerajaan Negeri amat menghargai usaha ini dan berharap kemajuan ini mampu membawa Bahasa Hokkien Pulau Pinang ke suatu tahap dan pencapaian yang lebih membanggakan khusus bagi negeri Pulau Pinang yang merupakan pemilik dan penutur kepada dialek bahasa ini.

Pulau Pinang terbentuk dalam suasana kemajmukan, dan keunikan inilah yang telah membawa warisan dan budaya negeri ini dalam kelas yang tersendiri. Justeru, kita berharap PETACE dan Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang dapat terus memainkan peranan penting dalam menarik penyertaan dan penglibatan masyarakat ke arah usaha memartabatkan  aset berharga negeri ini.

Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan  secara berterusan kepada usaha memartabatkan dialek Hokkien Pulau Pinang, sehingga ia telah dicadang untuk didaftarkan sebagai warisan negeri di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011. 

Ini bagi memastikan supaya sesuatu warisan budaya tidak hanya akan dipulihara secara pewartaan tetapi juga tetap menjadi amalan rakyat setiap hari. Hanya apabila ianya diamalkan sebagai budaya rakyat, sesuatu warisan itu akan terpelihara untuk selama-lamanya menjadi jati diri rakyat Pulau Pinang.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada PETACE adan Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang serta semua yang terlibat dalam menjayakan Forum Warisan Pulau Pinang ini.

Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Forum Warisan “Penang Hokkien: Our Language, Our Heritage” dan melancarkan Penang Hokkien Dictionary & Learn Penang Hokkien Youtube Channel karya Encik Timothy Tye.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang