PROGRAM RAMAH MESRA YAB PERDANA MENTERI BERSAMA-SAMA MASYARAKAT INDIA NEGERI PULAU PINANG
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA PROGRAM RAMAH MESRA
YAB PERDANA MENTERI BERSAMA-SAMA MASYARAKAT INDIA NEGERI PULAU PINANG
16 JULAI 2023
SP ARENA
Selamat Petang, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas kesudian melapangkan masa ke Program Ramah Mesra Bersama-sama Masyarakat India Negeri Pulau Pinang yang telah diatur pada petang yang berbahagia ini.
Bermula daripada tsunami politik yang berlaku pada tahun 2008, diikuti dengan kejayaan turut dicapai pada pilihan raya pada tahun 2013 dan 2018, kepimpinan Kerajaan Negeri amat menghargai sokongan padu yang diberikan oleh masyarakat berketurunan India Pulau Pinang yang menjadi antara penyumbang besar kepada peralihan kuasa ini.
Bersama dengan gabungan masyarakat berbilang kaum yang ada di negeri ini, Pulau Pinang telah membuktikan kebersamaan tersebut yang menjadi kekuatan dan keutuhan kita bersama dalam mendepani cabaran-cabaran mendatang.
Kini selama lebih 15 tahun, kita bersyukur perbezaan antara satu sama lain tidak langsung menjadi penghalang, sebaliknya diraikan dalam suasana yang penuh harmoni serta semangat perpaduan yang utuh.
YAB Perdana Menteri dan hadirin yang dikasihi sekalian,
Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengimbas kembali antara pencapaian Kerajaan Negeri untuk masyarakat India khususnya, di Pulau Pinang sejak 15 tahun lepas secara amnya, dan secara spesifik sepanjang lima (5) tahun lepas.
Pulau Pinang adalah negeri pertama di Malaysia, yang mula menyediakan peruntukan untuk sekolah-sekolah Tamil dalam Bajet Tahunan Kerajaan Negeri setiap tahun bermula pada tahun 2009.
Kesemua 28 sekolah Tamil di Pulau Pinang memperoleh peruntukan ini yang disalurkan terus ke akaun PIBG untuk pelbagai kegunaan, bermula dari penyelenggaran infrastruktur kepada pemerkasaan serta pembangunan akademik. Lebih RM25 juta telah disalurkan kepada sekolah-sekolah Tamil di Pulau Pinang sehingga kini.
Malah, hasil daripada penyediaan peruntukan ini juga, saya dimaklumkan bahawa kesemua 28 sekolah Tamil di negeri Pulau Pinang telah mencatatkan jumlah kemasukan pelajar yang memuaskan, tanpa masalah Sekolah Kurang Murid (SKM).
Pada masa sama, saya juga diberitahu bahawa kesemua sekolah Tamil di Pulau Pinang mempunyai Kelas Pintar Abad Ke-21 (21st Century Smart Class Rooms), iaitu sekurang-kurangnya sebuah di setiap sekolah.
Apa yang turut membanggakan adalah pencapaian sekolah-sekolah Tamil dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga memperoleh pengiktirafan hasil daripada pertandingan-pertandingan sains peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa. Saya berasa gembira malah juga syukur kerana sumbangan Kerajaan Negeri telah berjaya mengubah wajah sekolah-sekolah Tamil yang bertapak di Pulau Pinang secara keseluruhan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Walaupun pendidikan bukanlah bidang kuasa Kerajaan Negeri, namum, kita tetap meneruskan penyaluran peruntukan ini tanpa mengira latar belakang agama dan juga bangsa. Kami di Pulau Pinang tidak pernah menolak tanggungjawab terhadap pembangunan pendidikan serta modal insan anak-anak kita yang bakal memacu negeri ini ke persada dunia.
Di sini, saya tegaskan bahawa Kerajaan Negeri juga senantiasa komited untuk menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi oleh sekolah-sekolah Tamil di Pulau Pinang. Bermula dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Azad di Jalan Kebun Bunga, sehingga Sekolah Tamil Rajajee di Ayer Itam, yang baru-baru ini memperoleh tanah bernilai RM29 juta, Kerajaan Negeri tidak pernah menolak tanggungjawab yang diamanatkan kepada kami sejak tahun 2008.
SJKT Azad, SJKT Batu Kawan, SJKT Ladang Valdor, SJKT Subramaniya Bharathee, SJKT Rajaji adalah antara sekolah Tamil yang telah mendapat tanah daripada pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang, malah Kerajaan Negeri juga telah menyediakan tanah untuk Sekolah Tamil ke-29 Pulau Pinang di Taman Bagan, Bagan Dalam.
Dengan ini, saya berharap dengan adanya Kerajaan Perpaduan di Putrajaya, urusan untuk memindahkan Sekolah Tamil dari Kedah ke Pulau Pinang, lalu menjadikannya Sekolah Tamil ke-29 di negeri ini akan diselaraskan dengan sempurna.
YAB Perdana Menteri dan hadirin yang dikasihi sekalian,
Saya juga dengan bangga boleh menyatakan bahawa kebebasan beragama di Malaysia terjamin dengan adanya Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan Negeri selaras dengan Perlembagaan Persekutuan telah memastikan kebebasan beragama semua rakyat, termasuk masyarakat India di Pulau Pinang.
Sejak tahun 2008, tiada sebuah pun tokong atau kuil yang telah dirobohkan oleh mana-mana pihak di negeri ini. Malah, Pulau Pinang juga merupakan satu-satunya negeri yang menubuhkan Lembaga Wakaf Hindu (HEB) dalam negeri ini. Pencapaian HEB Pulau Pinang telah menjadi titik tolak bagi mengatasi masalah-masalah berkaitan masyarakat Hindu ataupun institusi kuil dan keagamaan Hindu di negeri ini.
Sebelum tahun 2008, HEB negeri Pulau Pinang hanya beroperasi sebagai sebuah badan pentadbiran tanpa sebarang program signifikan. Tetapi, sejak tahun 2010, HEB telah muncul sebagai badan utama untuk masyarakat India di Pulau Pinang. Malah, sebelum tahun 2008, pihak berkaitan hanya menerima peruntukan berjumlah RM200,000 daripada Kerajaan Negeri untuk penganjuran Thaipusam. Namun, selepas 2010, Kerajaan Negeri telah menyediakan geran khas kepada bernilai RM2 juta pada setiap tahun.
Ini merupakan antara kejayaan yang telah kita kecapi bersama demi pembangunan berterusan masyarakat berketurunan India di negeri ini. Justeru, saya berharap sokongan serta kepercayaan yang diberikan akan kekal utuh bagi membolehkan mandat ini diteruskan sekaligus memastikan percambahan sosial masyarakat India terus dibela dan dimartabatkan.
Sekian, terima kasih.