PERASMIAN PROJEK NAIK TARAF GERAI MAKAN, PASAR JALAN ANSON

UCAPAN PERASMIAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, Y.A.B. TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA PERASMIAN PROJEK NAIK TARAF GERAI MAKAN, PASAR JALAN ANSON

 

17 JULAI 2023 (ISNIN) I 1230 TENGAH HARI

KOMPLEKS MAKANAN PASAR JALAN ANSON

YB Saudari Lim Hui Ying

Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Tanjong

 

YB Saudara Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh,

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa,

 

YBhg. Saudara Teh Lai Heng

Mantan ADUN Komtar

 

YBhg. Dato' Ir. Rajendran a/l P. Anthony,

Datuk Bandar

 

Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Barisan Ahli Majlis-Ahli Majlis

Majlis Bandaraya Pulau Pinang

 

YBrs. Sr. Cheong Chee Hong,

Setiausaha Bandaraya,

Majlis Bandaraya Pulau Pinang

 

Ketua-Ketua Jabatan; para pegawai; Ahli Jawatankuasa Pasar Jalan Anson; rakan-rakan media,

Tuan-Tuan. Puan-Puan dan hadirin yang dihormati sekalian,

Salam Sejahtera, Salam Penang2030, Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan tahniah kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ekoran kejayaan penganjuran majlis perasmian yang sungguh bermakna pada hari ini.  Dalam pada itu, syabas juga diucapkan kepada jawatankuasa penganjur dan semua pihak yang telah bersama menyumbang tenaga dalam memastikan kelancaran program ini.

Kerajaan Negeri mempunyai tanggungjawab hakiki. Selain memakmurkan ekonomi negeri, Kerajaan Negeri hari ini berperanan penting dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat teramai.

Justeru, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) lazimnya ingin melihat warga peniaga dan pengunjung di Kompleks Gerai Makan Pasar Jalan Anson umpamanya merasai peranan hakiki Kerajaan Negeri dalam memperbaiki kemudahan dan tahap keselesaaan di sini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Bangunan Kompleks Gerai Makan Pasar Jalan Anson yang telah wujud sejak tahun 1948 telah dinaik taraf pada tahun 2020 dan siap sepenuhnya pada 29 Julai 2022, kini ia begitu cantik berseri dan paling penting adalah memberi keselesaan bukan hanya kepada para peniaga malah juga barisan pengunjung yang bertandang ke sini.  

Sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan yang ditubuhkan dengan kuasa mandat rakyat telah membawa pelbagai perubahan infrastruktur secara nyata yang boleh dirasai oleh rakyat Pulau Pinang tanpa mengira latar belakang.

Namun, sebagai Kerajaan Negeri, kita tidak boleh selesa dengan segala pencapaian pembangunan yang berjaya dicapai. Sebaliknya, kita perlu terus berusaha dengan lebih gigih, berpegang teguh berasaskan prinsip berjiwa rakyat serta amat peka dalam memastikan semua infrastruktur dan kemudahan awam berada di tahap terbaik dengan memastikan ianya dibaik pulih dan dinaik taraf demi keselesaan umum.

Malah, sejak tahun 2009, sebanyak 58 projek pembinaan, penaiktarafan dan pengubahsuaian telah dijalankan di 30 buah pasar awam, kompleks makanan, tapak penjaja oleh MBPP. Sebagai tambahan, MBPP juga telah merancang penaiktarafan tujuh (7) lagi projek membabitkan struktur-struktur berkaitan bagi tahun 2024.

Saudara dan saudari sekalian,

Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus mengiktiraf golongan penjaja sebagai sebahagian penyumbang penting dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri serta negara. Menerusi pengiktirafan itu, saya amat berharap bahawa golongan penjaja juga memainkan peranan lebih aktif untuk menaikkan taraf sosial ekonomi masing-masing secara lebih menyeluruh selaras dengan gagasa Visi Penang2023 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Serentak itu, saya juga berharap dan menyeru kepada semua penjaja supaya mengambil langkah-langkah proaktif dalam meningkatkan lagi tahap kebersihan dan keindahan gerai termasuk dalam menentukan kualiti produk bersesuaian dengan gelaran ‘destinasi syurga makanan’ kepada pengguna tempatan mahupun dalam kalangan pelancong.

Di Pulau Pinang ini, golongan penjaja harus bersyukur kerana Kerajaan Negeri dan MBPP amat prihatin terhadap nasib penjaja khasnya agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan yang begitu pesat dengan mengambil langkah-langkah untuk menempatkan para penjaja di tempat-tempat perniagaan yang lebih selesa dan teratur dengan kemudahan dan bekalan asas. 

Dengan usaha-usaha ini, saya berharap golongan penjaja dapat memberi segala kerjasama kepada pihak-pihak berkuasa khususnya MBPP demi menjaga serta mempertingkatkan lagi imej industri penjaja demi kepentingan bersama.

Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Kompleks Gerai Makan Pasar Jalan Anson, Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pautan berita

PASAR JALAN ANSON

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang