SESI LIBAT URUS KAJIAN SEPARUH PENGGAL RANCANGAN MALAYSIA KEDUA BELAS (SLU KSP RMK-12)  

 UCAPAN YAB TUAN CHOW KON YEOW

KETUA MENTERI PULAU PINANG

PADA SESI LIBAT URUS KAJIAN SEPARUH PENGGAL

RANCANGAN MALAYSIA KEDUA BELAS

(SLU KSP RMK-12)

 

22 JULAI 2023 (SABTU)

OLIVE TREE HOTEL PENANG

Yang Berhormat Tuan Mohd Rafizi bin Ramli

Menteri Ekonomi

 

Yang Berhormat Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang

 

Yang Berhormat Prof. Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang

 

Yang Berbahagia Dato’ Nor Azmie bin Diron

Ketua Setiausaha, Kementerian Ekonomi

 

Yang Berhormat Dato’ Mohd. Sayuthi bin Bakar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

 

Yang Berhormat Puan Zabidah binti Safar

Pegawai Kewangan Negeri

 

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Mantan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri

Barisan delegasi Kementerian Ekonomi;

Ketua-Ketua Jabatan/Agensi Negeri dan Persekutuan;

Wakil-Wakil Persatuan, Akademik, Pemain Industri,

Ketua Masyarakat; dan

Yang Berbahagia Dato’-Dato’/Tuan-Tuan/Puan-Puan, para hadirin yang saya hormati sekalian.

  1. Selamat Pagi, Salam Sejahtera, Salam Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara dan Salam Malaysia MADANI.
  1. Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat berbesar hati dan mengalu-alukan kehadiran Yang Berhormat Tuan Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi serta barisan delegasi dari Kementerian Ekonomi ke Negeri Pulau Pinang bagi menjayakan SESI LIBAT URUS KAJIAN SEPARUH PENGGAL RANCANGAN MALAYSIA KEDUA BELAS (SLU KSP RMK-12).
  1. Sesungguhnya, negeri Pulau Pinang sentiasa menitikberatkan jalinan kerjasama yang baik antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan terutamanya dalam usaha menjayakan pelaksanaan dan mencapai sasaran dalam pembangunan ekonomi berlandaskan strategi serta dasar yang telah digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dari tahun 2021 sehingga 2025.
  2. Saya dimaklumkan bahawa sesi ini merupakan suatu platform bagi mengenal pasti segala isu dan cabaran yang dihadapi dalam memacu prestasi ekonomi berdasarkan RMKe-12, di samping mewujudkan sebuah wadah perbincangan khusus bagi mendapatkan cadangan penambahbaikan terhadap agenda pembangunan di peringkat negeri dengan sasaran kepada Ketua-Ketua Jabatan peringkat Persekutuan dan Negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, pemain industri dan ketua masyarakat. Justeru, platform ini sewajarnya dimanfaatkan serta dijadikan ruang serta peluang untuk berbincang, mengajukan soalan dan saling bertukar pandangan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan.
  1. Umum mengetahui bahawa Pulau Pinang mempunyai jaringan perhubungan yang mampan, kaya dengan budaya, seni dan warisan serta diperkukuhkan dengan dasar-dasar kerajaan yang mesra rakyat dan perniagaan. Dalam pada itu, selaras dengan Visi Penang2030, Kerajaan Negeri sentiasa memastikan agar rakyat Pulau Pinang tidak terkecuali untuk menikmati hasil pembangunan serta peningkatan taraf hidup yang lebih baik dan manusiawi.
  1. Pada 27 Jun 2023, pihak Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengeluarkan Nota Eksekutif mengenai Statistik Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Tahun 2022 bagi negeri-negeri di seluruh negara dan direkodkan bahawa negeri Pulau Pinang bertumbuh melebihi pertumbuhan nasional dan telah mengatasi kesemua negeri. Ekonomi Pulau Pinang bertumbuh sebanyak 13.1 peratus pada tahun 2022 berbanding 6.9 peratus pada tahun sebelumnya dengan nilai KDNK sebanyak RM112.1 bilion. Seperti lazimnya, sektor pembuatan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang tertinggi dan mencatatkan peningkatan bagi tahun 2022 iaitu 15.9 peratus berbanding tahun sebelumnya sebanyak 12.4 peratus.
  1. Sebagai makluman Yang Berhormat, Visi Penang2030 sudah lima (5) tahun dilancarkan dan kini mencatatkan pencapaian sebanyak 47 peratus, yang mana telah merekodkan pelaksanaan sebanyak 210 projek dan program sepanjang tempoh tersebut. Sebagai tambahan, selain memperjuangkan tadbir urus berintegriti, kebajikan rakyat, kelengkapan infrastruktur dan pembentukan sebuah rantaian ekosistem yang sempurna, Pulau Pinang kian menerajui teknologi pendigitalan dan inisiatif smart city berlandaskan pembangunan modal insan dengan matlamat menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang terus cemerlang dan gemilang dari segenap sudut.
  1. Bak kata pepatah, ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, Kerajaan Negeri kini bersedia dan sedang berusaha bagi memperkasakan pembangunan serta pencapaian Negeri Pulau Pinang menerusi tujuh (7) bidang keutamaan yang bakal diberikan perhatian untuk tempoh lima (5) tahun akan datang, antaranya adalah peluang pekerjaan, pembangunan jaringan ekosistem, ketersambungan jaringan pengangkutan, penambahbaikan aliran trafik, strategi mengatasi isu perubahan iklim, pembekalan air dan pembangunan komuniti termasuk belia, wanita serta warga emas. Oleh itu, sesi libat urus seperti hari ini adalah amat bertepatan dalam memastikan setiap gerak kerja berada di landasan yang tepat bagi mencapai objektif yang disasarkan.
  1. Secara ringkasnya, tujuh (7) bidang keutamaan berkaitan adalah merangkumi pendekatan Kerajaan Negeri untuk terus memberikan keutamaan kepada penjanaan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan elektrikal dan elektronik (E&E), Integrated Circuit (IC) Design, teknologi perubatan, Digital District dan ekonomi baharu; pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), yang mana projek keutamaan adalah Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas; merealisasikan projek ‘Silicon Island’, Penang South Island (PSI); menambah baik aliran trafik dan menyediakan inisiatif mobiliti pengangkutan awam, di samping berusaha mendapatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan Lebuh Raya Bertingkat atau Juru – Sungai Dua Expressway.
  1. Selanjutnya adalah mengambil pendekatan untuk mengatasi isu perubahan iklim menerusi projek-projek tebatan banjir, projek bandar rendah karbon dan penyediaan kemudahan seperti stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV); pelaksanaan Pelan Kontingensi Air 2030 menerusi Projek Air Perak – Pulau Pinang dan yang pasti adalah untuk turut memperkasakan rakyat serta memberikan tumpuan kepada pembangunan komuniti, belia, wanita dan warga emas.
  1. Pada 12 Jun 2023, Kerajaan Negeri telah melancarkan Penang Strategy for Economic Ecosystem Development atau ‘Penang SEED’ iaitu sebuah garis panduan dalam perancangan pembangunan ekonomi dalam tempoh lima (5) tahun yang mensasarkan pencapaian dinamik, kesaksamaan, prospek kerjaya berkualiti dan pengekalan kesejahteraan selaras dengan gagasan Visi Penang2030. Menerusi ‘Penang SEED’ juga, jangkaan pertumbuhan trajektori semasa sebanyak 3.5 peratus bakal dikekalkan pada setiap tahun dari tempoh 2023 hingga 2028. Malah, garis panduan berkaitan turut menjangkakan pencapaian pertumbuhan tahunan sehinga 5.8 peratus dengan menarik lebih RM10.0 bilion pelaburan pembuatan dan pasaran pekerjaan dianggarkan berkembang sebanyak 1.4 peratus dalam tempoh yang sama
  1. Saya ingin menekankan bahawa hala tuju Kerajaan Negeri melalui Visi Penang2030 adalah selari dengan hasrat yang diketengahkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). Pelaksanaan sesi libat urus atau perbincangan sebegini amatlah baik bagi memastikan agenda pembangunan negeri dan negara dapat diselaraskan dengan seoptimum mungkin. Malah, ia juga menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi dalam memastikan dasar-dasar dan perancangan kerajaan dibuat dengan teliti menerusi penglibatan menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan termasuklah di peringkat Kerajaan Negeri. Saya amat mengharapkan agar pendekatan dan kerjasama sebegini dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang.
  1. Dengan ini, mewakili seluruh jentera pentadbiran di negeri ini, saya berharap agar sesi yang dirancang pada hari ini berjalan lancar, dapat membuahkan hasil yang diharapkan dan mengukuhkan lagi jalinan kerjasama antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kementerian Ekonomi. Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan sokongan daripada semua pihak agar pembangunan sektor-sektor ekonomi Negeri Pulau Pinang dapat diperkasa dan direkayasa secara seimbang dalam memastikan pengagihan ekonomi yang bersifat adil, holistik dan inklusif.
  1. Sebagai penutup kata, saya ingin berterima kasih atas kelulusan sebanyak 75 buah projek baharu daripada 126 projek yang dimohon dengan peruntukan berjumlah 14 juta yang telah diberikan terhadap permohonan peruntukan di bawah Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP3 RMKe-12) baru-baru ini, dan memohon agar pihak Kementerian Ekonomi dapat memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap projek-projek pembangunan keutamaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah diketengahkan.
  1. Sekali lagi, bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian Yang Berhormat Tuan Rafizi Ramli dan barisan delegasi Kementerian Ekonomi meluangkan masa bagi Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMKe-12 Negeri Pulau Pinang. Saya percaya, menerusi sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, banyak lagi peluang dan potensi pembangunan yang boleh dimanfaatkan. Dalam pada itu, saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Pulau Pinang yang telah bertungkus-lumus menyelaras penganjuran sesi libat urus pada hari ini.
  1. Sebelum mengakhiri ucapan saya ini, serangkap pantun saya tujukan kepada Yang Berhormat Tuan Rafizi Ramli dan semua –

Pohon angsana jangan ditebang;

Takut menimpa pohon pulasan;

Ekonomi membangun politik berkembang;

Penang maju jadi wawasan.

  1. Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang