MAJLIS PECAH TANAH PEMBANGUNAN DEWAN SERBAGUNA & GELANGGANG FUTSAL JAWI

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH PEMBANGUNAN

DEWAN SERBAGUNA & GELANGGANG FUTSAL JAWI

 

22 JULAI 2023 ( SABTU )

JALAN NURI, TAMAN NURI, NIBONG TEBAL

___________________________________________

 

Yang Berusaha Saudara H’ng Mooi Lye

Mantan ADUN Jawi

 

Yang Berusaha Encik Mohd Balkish bin Othman

Penolong Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) (wakil Pegawai Daerah SPS)

 

Yang Berusaha Encik Koh Jia Weng

(wakil Pengarah Urusan Syarikat GSD Land ( M ) Sdn. Bhd., Dato’ Khor Chong Hai)

 

Ahli Majlis-Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Para Pemimpin Masyarakat

Rakan-Rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dikasihi sekalian

Selamat Petang dan Selamat Sejahtera.

Pertamanya, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Saudara H’ng Mooi Lye dan pasukan yang telah mengaturkan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Dewan Serbaguna dan Gelanggang Futsal Jawi pada petang yang berbahagia ini.

Terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan atas kesudian dan kelapangan masa untuk turut serta bagi bersama-sama memeriahkan acara ini.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Hari ini, kita membawa khabar gembira khusus kepada masyarakat di kawasan Teluk Ipil serta kejiranan yang berhampiran seperti di kawasan Nibong Tebal, Kampung Victoria dan Kalidonia.

Dengan penganjuran simbolik majlis pada hari ini, ia sekaligus mengakhiri penantian komuniti terutama golongan belia untuk mempunyai fasiliti tambahan yang dinanti-nantikan selama ini.

Tahniah dan syabas kepada mantan ADUN Jawi, Saudara H’ng Mooi Lye dan pasukan yang telah bertungkus-lumus bagi memastikan projek pembangunan infrastruktur ini dapat direalisasikan dengan jayanya.

Sudah tentunya di peringkat Kerajaan Negeri, kita menyokong penuh pembangunan seumpama ini, selaras dengan aspirasi Visi Penang2030 yang sentiasa memastikan kesejahteraan dan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat negeri ini.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Di atas tanah yang bersaiz 700 meter persegi, kita gembira projek pembangunan ini direalisasikan melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh Syarikat GSD Land (M) Sdn. Bhd. yang sudi membiayai kos pembinaan ini dengan anggaran sebanyak RM800,000.00.

Terima kasih sekali lagi kepada Syarikat GSD Land (M) Sdn. Bhd. atas kesudian membangunkan kemudahan awam ini.

Sesungguhnya Kerajaan Negeri amat berbesar hati dan mengalu-alukan kerjasama secara Public Private Partnership (PPP) sebagai salah satu bentuk sokongan berterusan dalam memastikan pembangunan dan kemajuan yang selari dengan keperluan semasa rakyat negeri ini.

Kita mengharapkan kontraktor yang terlibat dapat menyiapkan dewan dan gelanggang futsal ini dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Dengan siapnya dewan dan gelanggang ini kelak, golongan belia dapat memanfaatkan kemudahan ini dengan sebaiknya untuk aktiviti riadah yang lebih selesa dan selamat, serta menjadi platform untuk mengasah dan mencungkil bakat baharu dalam sukan ini.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada Saudara H’ng Mooi Lye, Syarikat GSD Land (M) Sdn. Bhd., para pemimpin komuniti dan semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ringkas tetapi amat bermakna ini.

Dengan ini, saya merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Dewan Serbaguna Dan Gelanggang Futsal Jawi.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang