MAJLIS PERASMIAN KEJOHANAN OLAHRAGA TAHUNAN KALI KE-32

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN

KEJOHANAN OLAHRAGA TAHUNAN KALI KE-32

22 JULAI 2023 | SMK PRAI

 

Yang Berusaha Tuan Haji Suhaimi bin Abdullah

Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah

 

Yang Berusaha Dr Gwee Sai Ling

Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC)

 

Yang Berusaha Puan Vijayaletchumi a/p Vairavan

Pengetua, SMK Prai

 

Barisan Guru-Guru Kanan

Yang Berusaha Puan Roshannisa binti Che Kassim

Yang Dipertua PIBG SMK Prai

 

Ahli-ahli Jawatankuasa PIBG SMK Prai

Para Guru dan warga kerja SMK Prai

Para Murid

Rakan-Rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dikasihi sekalian

Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Prai atas kesudian menjemput saya ke Majlis Perasmian Kejohanan Olahraga Tahunan Kali ke-32 pada pagi yang berbahagia ini.

Saya mewakili seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh barisan urus setia dan jawatankuasa pelaksana atas kesungguhan dan dedikasi dalam merealisasikan acara kejohanan olahraga tahunan ini.

Inilah medan untuk para murid mempamerkan kemampuan masing-masing. Kita percaya ia bukan sekadar satu pertandingan, tetapi sebaliknya merupakan medan untuk membina keyakinan diri serta suntikan semangat yang lebih baik kepada anak-anak pelajar ini.

Hadirin dan anak-anak yang dikasihi sekalian,

Kejohanan pada hari ini adalah wadah penting dalam memupuk budaya bersukan dalam kalangan anak-anak kita. Pendedahan sebegini tidak hanya terhenti dengan penganjuran kejohanan sahaja tetapi perlu berterusan supaya impaknya nanti dapat dikecapi dalam melahirkan atlet hebat dan berwibawa suatu hari nanti.

Di Pulau Pinang, pembangunan sukan adalah antara aspek yang diberikan perhatian dalam membangunkan negeri ini. Konsep dan pendekatan “Sukan Untuk Semua” atau “Sports For All” yang bersifat komprehensif dijadikan sebagai indikator bagi membudayakan sukan dalam kehidupan harian masyarakat di negeri ini.

Kita percaya pendekatan ini penting bagi menyediakan kemudahan-kemudahan sukan dan rekreasi yang kukuh dan mampan demi pertumbuhan masa hadapan negeri yang lebih berdaya tahan dan sihat.

Dengan penyediaan prasarana sukan dan rekreasi yang bermutu dan berteraskan kehendak rakyat, ia akan memacukan lagi sektor sukan berprestasi tinggi secara keseluruhannya.

Maka, anak-anak yang berada di hadapan saya pada hari ini merupakan permata yang perlu digilap agar bersinar dan membawa nama Pulau Pinang serta Malaysia ke persada sukan antarabangsa. Saya percaya ada dalam kalangan anak-anak yang menyertai kejohanan hari ini mempunyai bakat besar dalam bidang sukan.

Saya berharap pihak sekolah dan para ibu bapa dapat memberikan sokongan penuh kepada anak-anak yang bergiat cergas dalam aktiviti kokurikulum sebagai nilai tambah kepada kecemerlangan dalam bidang kurikulum.

Dengan adanya kerjasama dua hala ini, saya percaya momentum kecemerlangan ini mampu dikekalkan dan dipertingkatkan sekaligus mewujudkan ekosistem persekolahan yang seimbang dan lebih berdaya saing.

Saya tidak bercadang untuk bercakap lebih panjang, kepada yang menang, sekalung ucapan tahniah daripada saya, dan kepada yang tidak berjaya, jangan cepat berputus asa, tidak mengapa kerana kekalahan pada hari ini adalah titik permulaan ke arah kejayaan yang lebih cemerlang pada masa depan.

Teruslah bersukan untuk kesihatan dan kehidupan yang berkualiti, bersukanlah demi perpaduan, kesejahteraan serta keharmonian kita bersama.

Dengan ini, saya sukacitanya merasmikan acara Kejohahan Olahraga Tahunan Kali Ke-32 SMK Prai.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang