MAJLIS PERASMIAN HARI KELUARGA 2023 PERSATUAN MUSLIM BERSATU PULAU PINANG (PMB/UMA)
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
HARI KELUARGA 2023
PERSATUAN MUSLIM BERSATU PULAU PINANG (PMB/UMA)
23 JULAI 2023 | 12.00 PM
DEWAN BANGUNAN UMA
Yang Berusaha Encik Mohamed Yunus bin Haji Mohamed Yusoff
Pengerusi Persatuan Muslim Bersatu Pulau Pinang (UMA)
Barisan Ahli Jawatankuasa UMA
Para Jemputan
Rakan-Rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dikasihi sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Persatuan Muslim Bersatu (UMA) atas kesudian menjemput saya ke Majlis Perasmian Hari Keluarga 2023 pada hari ini.
Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Pengurusan yang telah menyusun dan merancang acara Hari Keluarga UMA 2023 dengan baik dan cukup meriah sekali.
Kekangan masa ekoran tuntutan kerja selalu menjadi faktor utama untuk kita berkumpul dan meluangkan masa bersama.
Sehubungan dengan itu, acara pada hari memberi ruang dan peluang kepada keluarga UMA daripada pelbagai peringkat umur untuk memanfaatkan platform tersedia bagi mengeratkan ukhwah dan silaturahim yang terjalin sejak generasi pertama lagi.
Inilah realiti hasil kesepaduan dan sokongan daripada semua. Tanpa kerjasama dan keprihatinan ini, nescaya usaha-usaha penyatuan di peringkat akar umbi amat sukar dilaksanakan, sekaligus membantutkan usaha-usaha mendidik ahli untuk memelihara budaya warisan turun-temurun ini.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan ahli keluarga UMA yang kini telah mencecah seramai 400 keahlian berdaftar atas sokongan padu kepada saya dan barisan kepimpinan negeri selama ini.
Saya berharap semoga kita terus bersatu-padu dan bekerjasama untuk memelihara dan mempertahankan keharmonian serta hubungan baik yang terjalin ini demi masa depan Pulau Pinang yang lebih baik akan datang.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Seperti yang semua ketahui, Pulau Pinang merupakan sebuah negeri yang unik dan kaya dengan pelbagai budaya dan adat resam yang wajar dibanggakan.
Dan untuk UMA sendiri, sebagai persatuan India Muslim yang pertama ditubuhkan di Pulau Pinang iaitu pada tahun 1929 dan antara persatuan yang terawal wujud di Malaysia, warisan sejarah, budaya dan susur galur yang unik adalah sesuatu harus dipertahankan.
Daripada pemerhatian saya, masyarakat India Muslim di Pulau Pinang berjaya mengekalkan warisan tradisinya sehingga sekarang, dan saya percaya UMA telah memainkan peranannya yang tersendiri untuk memastikan warisan tradisi yang telah berusia 94 tahun ini dikekalkan dan diteruskan ke generasi yang akan datang.
Saya difahamkan keunikan yang masih menjadi amalan dalam kalangan komuniti India Muslim ialah pengekalan nama keluarga. Melalui nama keluarga, setiap individu dalam masyarakatnya dapat dikenalpasti dan dikesan identiti waris atau sanak saudaranya.
Saya percaya pelbagai lagi amalan tradisi yang masih dipraktikkan oleh ahli UMA yang perlu ditonjolkan dan diangkat sebagai satu warisan yang kekal terpelihara untuk tatapan masyarakat umum.
Perkara ini boleh menjadi satu nilai tambah kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam usaha mengekalkan dan menonjolkan keunikan budaya tradisi komuniti masyarakat setempat khususnya di George Town sebagai Bandaraya Warisan yang boleh menjadi tarikan dan produk pelancongan di negeri ini.
Kerajaan Negeri sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan UMA dan semua badan bukan kerajaan (NGO) yang lain dalam usaha mengekalkan dan memartabatkan tradisi demi pemeliharaan identiti masyarakat di Pulau Pinang.
Akhir kata, dengan penuh besar hati saya merasmikan Majlis Hari Keluarga UMA 2023.
Sekian, terima kasih.