MAJLIS PELANCARAN PROJEK RUMAH MAMPU MILIK (RMM) PERMATANG TINGGI, MENANDATANGANI PERJANJIAN PEMBANGUNAN BERSAMA ANTARA LEMBAGA PERUMAHAN NEGERI PULAU PINANG (LPNPP) DAN PTL PROPERTIES SDN. BHD. SERTA MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PERSEFAHAMAN PERKONGS
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PROJEK RUMAH MAMPU MILIK (RMM) PERMATANG TINGGI, MENANDATANGANI PERJANJIAN PEMBANGUNAN BERSAMA ANTARA LEMBAGA PERUMAHAN NEGERI PULAU PINANG (LPNPP) DAN PTL PROPERTIES SDN. BHD. SERTA MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PERSEFAHAMAN
PERKONGSIAN KEUNTUNGAN
ANTARA LPNPP DAN KERAJAAN NEGERI
26 Julai 2023
The Ship Campus, Batu Kawan
_________________________________
YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa
YB Puan Zabidah binti Safar
Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang
YB Puan Roslinda Binti Mohd Shafie
Penasihat Undang-Undang Negeri
Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Haji Arshad
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)
Yang Berusaha Puan Ainul Fadilah binti Samsudi
Pengurus Besar, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP)
Yang Berusaha Encik Tang Shu Yong
Pengarah, PTL Properties Sdn. Bhd.
Ketua-ketua Jabatan
Rakan-Rakan Media
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dikasihi sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir sempena Majlis Pelancaran Projek RMM Permatang Tinggi, Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama (Joint Development Agreement, JDA) dan Perjanjian Persefahaman Perkongsian Keuntungan pada pagi yang berbahagia ini.
Sesungguhnya majlis pada hari ini amat bermakna kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang umumnya dan bersejarah kepada Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) sejak penubuhannya pada tahun 2021.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Kerajaan Negeri melalui Lembaga Pengarah LPNPP telah meluluskan Rancangan Pelan Induk 2021-2025 yang mengandungi 14 projek perintis Rumah Mampu Milik Pulau Pinang (RMMPg) yang terdiri dari pemajuan rumah mampu milik (RMM) dan pembaharuan semula bandar (PSB) di mana keseluruhan projek ini akan menyediakan anggaran sebanyak 32,992 unit RMM yang terdiri daripada 4,066 unit RMM A, 8,326 unit RMM B dan 20,600 unit RMM C.
Sejak diberikan kepercayaan untuk menerajui tampuk pemerintahan negeri ini, Kerajaa Negeri kekal komited untuk memastikan agenda perumahan kepada rakyat negeri ini.
Kerajaan Negeri sentiasa dan akan terus memberi fokus yang menjurus kepada kesejahteraan dan peningkatan kualiti hidup rakyat. Justeru, penyediaan perumahan merupakan komponen penting dalam mewujudkan institusi keluarga yang sejahtera dan selamat turut telah diterjemahkan melalui penetapan sasaran di bawah Visi Penang2030.
Saya mengucapkan syabas kepada YB Jagdeep selaku Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa bersama pasukan LPNPP yang sentiasa berusaha sedaya upaya dan bekerja keras ke arah mencapai sasaran sebagaimana yang boleh diakses melalui Dashboard Penang 2030.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Usaha menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM) secukupnya bukan hanya kepada angka tetapi turut memberi penekanan kepada aspek kualiti dan persekitaran yang mempengaruhi daya huni komuniti.
Atas prinsip ini, pembinaan RMM turut digalakkan untuk memperolehi skor Qlassic dan Green Building Index (GBI) bagi menjamin kualiti produk yang dibekalkan serta memelihara alam sekitar.
Sebagaimana projek-projek pembangunan yang telah diusahakan, jadi besarlah harapan saya untuk melihat kemajuan yang sama terhadap projek RMM Permatang Tinggi ini juga dilengkapi dengan fasiliti yang setanding dengan kejiranan guarded & gated yang lain.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Projek RMM Permatang Tinggi atau sebelumnya dikenali sebagai Kampung Tongkang adalah projek atau produk pertama Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) di kawasan Seberang Perai dan projek RMM kedua dilaksanakan oleh LPNPP.
Seperti yang dinyatakan oleh saudara Jagdeep Singh Deo sebentar tadi, melalui projek ini LPNPP akan dapat menyumbang sebanyak RM1.5 juta kepada Kerajaan Negeri secara berperingkat iaitu 10 peratus dari nilai hak yang ditawarkan.
Ini adalah projek kedua di mana LPNPP akan menyumbangkan kepada hasil Kerajaan Negeri selepas projek pertama iaitu RMM Bukit Gedong atau dikenali sebagai The Millennia @ Bayan Lepas yang menyumbang sebanyak RM4.6 juta kepada Kerajaan Negeri.
Sesungguhnya ini merupakan prestasi yang amat memberangsangkan dan membanggakan. Walaupun LPNPP hanya mula beroperasi kurang dari tiga (3) tahun, tetapi LPNPP mulai memberi sumbangan kepada hasil Kerajaan Negeri.
Syabas diucapkan kepada LPNPP dan Saudara Jagdeep Singh Deo selaku Exco Perumahan atas kerja keras ini. Pastinya projek ini akan dijadikan perintis kepada projek-projek RMMPg yang lain.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Luas keseluruhan tapak ini adalah 25.54 ekar adalah milikan kekal (freehold) dan dirancang untuk pembinaan 704 unit Rumah Mampu Milik Jenis C3 (Rumah Bandaran/ Townhouse) 2 tingkat berkeluasan 950 kaki persegi (tingkat bawah) dan 1,132 kaki persegi (tingkat atas) dengan harga jualan RM250,000.00.
Proses pemberimilikan tanah kepada LPNPP juga telah selesai dan projek ini hanya akan melibatkan beberapa struktur. Projek ini dijangka akan mengambil masa selama lima (5) tahun dan anggaran penyiapan projek ini adalah pada suku ke-4 tahun 2028 (Q4 2028).
Mengambil kira kos pembinaan dan nilai tanah yang semakin meningkat namun dalam masa yang sama inginkan kepadatan yang sesuai, konsep rumah bandaran dipilih berbanding strata bertingkat tinggi.
Jika dinilai dari segi lokasi, kawasan sekitar ini telah mulai menghadapi pertumbuhan bandar seperti Alma, Bandar Tasek Mutiara dan Batu Kawan dan saya percaya ia akan menerima sambutan baik di sini.
Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya merakamkan ucapan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada LPNPP atas komitmen yang dicurahkan dalam menjayakan projek-projek yang dirancang.
Kerajaan Negeri dan warga Pulau Pinang menanam harapan yang besar untuk melihat projek pembangunan dan pembaharuan semula bandar ini berjaya dilaksanakan sebagaimana yang telah dirancang agar penempatan dengan pesekitaran yang lebih sempurna dan selesa, kemudahan sosial serta infrastruktur yang lebih kondusif dapat dinikmati penduduk.
Akhir kata, sukacita saya merasmikan Majlis Pelancaran Projek RMM Permatang Tinggi, Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama antara LPNPP dan PTL Properties Sdn. Bhd. serta Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Perkongsian Keuntungan antara LPNPP dan Kerajaan Negeri.
Sekian, terima kasih.