MAJLIS PERASMIAN SEMINAR KESELAMATAN KEBAKARAN  PERINGKAT JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA (JBPM) NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2023

   UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN SEMINAR KESELAMATAN KEBAKARAN 

PERINGKAT JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA (JBPM)

NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2023

27 JULAI 2023 (KHAMIS)

BUTTERWORTH ARENA

 

 

Yang Amat Setia Dato’ Edwin Galan Teruki

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)

 

Yang Setia Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Saadon bin Moktar

Pengarah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pulau Pinang

 

Para Jemputan

Barisan Panel Penceramah

Para Peserta Seminar  

 

Rakan-Rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dikasihi sekalian

 

Selamat Petang, Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Pertama sekali saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pulau Pinang atas jemputan sempena Majlis Perasmian Seminar Keselamatan Kebakaran Tahun 2023 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang telah diatur pada hari yang berbahagia ini.

Pada hari ini, saya dimaklumkan seramai 850 peserta seminar dalam kalangan pemilik premis, arkitek, konsultan, kontraktor, serta lain-lain agensi terlibat berkaitan fire safety di seluruh negeri Pulau Pinang, dengan melibatkan pembentangan enam (6) kertas kerja merangkumi topik-topik relevan dan penting yang berkaitan dalam isu ini.

Tahniah dan syabas kepada JBPM Negeri Pulau Pinang dan para peserta yang telah menjayakan seminar ini.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Seiring dengan aspirasi Kerajaan Negeri yang memfokuskan kepada keseimbangan persekitaran yang selamat dan berdaya huni, sinergi dan kolaborasi yang terbentuk melalui penganjuran seminar ini membuktikan kesungguhan dan keseriusan tanpa kompromi kita bersama dalam aspek keselamatan kebakaran ini.

Oleh yang demikian, saya berharap seminar ini dapat memberi ruang dan peluang kepada semua peserta untuk meneroka ilmu dan teknologi baharu serta ruang-ruang  penambahbaikan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan  dasar keselamatan kebakaran diberikan perhatian sewajarnya.

Selari dengan peredaran zaman, penambahbaikan yang berterusan dan metamorfosis ini dilihat sangat perlu dan ia perlu dirancang dan dilaksanakan secara holistik bukan secara superficial atau pun partial, dengan mengambilkira akan aspek teknologi, sumber manusia dan keupayaan.

Namun kita perlu akui, metamorfosis ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ia tidak akan datang bergolek dengan sekelip mata. Metamorfosis memerlukan penglibatan semua pihak yang mengendalikan hal ehwal keselamatan kebakaran di premis masing-masing.

Saya amat mengharapkan komitmen dan kerjasama yang terjalin pada hari ini akan berterusan dalam usaha pengurusan keselamatan kebakaran yang semakin mencabar. Langkah proaktif perlu dilakukan dalam berdepan dengan sebarang kemungkinan yang mengganggu-gugat dan mengancam keselamatan dan nyawa masyarakat.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Usaha mempertingkatkan tahap keselamatan kebakaran terutama di premis yang menjadi tumpuan orang awam atau mempunyai pekerja yang ramai dalam satu masa perlu dilakukan dengan menggunakan pendekatan bersepadu iaitu teknologi dan tenaga manusia bagi memaksimumkan tahap keselamatan kebakaran dari sebarang kemerbahayaan yang tidak dijangka.

Bagi menambahbaik aspek teknologi, saya amat menggalakkan pemilik-pemilik memasang pepasangan keselamatan kebakaran seperti yang dinyatakan dalam kehendak-kehendak Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 dalam usaha menjaga keselamatan awam.

Walaupun demikian, saya amat memahami kos penyediaan peralatan yang bercirikan teknologi adalah mahal, namun ianya amat penting dan wajib dipatuhi dan saya mengambil pendekatan bahawa ianya sebagai pelaburan jangka panjang dan seterusnya dapat mengurangkan risiko kebakaran.

Bagi aspek sumber manusia, saya berharap setiap pemilik tidak culas dan wajib menubuhkan Organisasi Keselamatan Kebakaran yang terdiri daripada kalangan pekerja. Usaha ini mampu mempersiapsiagakan satu pasukan khas yang menjaga keselamatan kebakaran dan mampu bertindak di peringkat awal kebakaran, dan sudah tentunya dengan penglibatan dan sokongan daripada JBPM.

Saya percaya seminar ini memberikan platform bagi para pakar dan profesional dalam bidang keselamatan kebakaran untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman, dan terkini mengenai teknik-teknik terbaik yang boleh digunakan untuk mencegah kebakaran dan menangani situasi kecemasan dengan cekap.

Sebagaimana aspirasi Visi Penang2030 yang bermatlamat untuk menjadikan negeri ini sebagai destinasi yang selamat dan berdaya huni, Kerajaan Negeri serius dan menyokong penuh segala bentuk penambahbaikan peraturan, dan memperkasakan kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam bidang keselamatan kebakaran.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada JBPM Negeri Pulau Pinang dan semua yang terlibat dalam menjayakan seminar ini.

Saya yakin seminar ini akan memberikan manfaat yang besar kepada semua peserta dan membawa perubahan positif dalam upaya kita menjaga keselamatan kebakaran di Pulau Pinang.

Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Seminar Keselamatan Kebakaran Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pulau Pinang Tahun 2023.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang