MAJLIS PELANCARAN PERKHIDMATAN OPERASI FERI BAHARU PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PERKHIDMATAN OPERASI FERI BAHARU PULAU PINANG

 

17 OGOS 2023, KHAMIS

PANGKALAN RAJA TUN UDA (PRTU), GEORGE TOWN

Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan rasa syukur atas kesempatan yang diberikan kepada kita untuk sama-sama berkumpul bersempena Majlis Pelancaran Perkhidmatan Operasi Feri Baharu Pulau Pinang pada pagi yang berbahagia ini.

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutamanya Kerajaan Persekutuan, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Penang Port Sdn. Bhd. serta barisan jawatankuasa penganjur dalam merealisasikan majlis pada pagi ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak ke majlis ini yang mana kesudian Tun telah menyerikan lagi majlis yang bakal terukir di dalam sejarah negeri ini.

Malah, kepada sabahat saya, Saudara Loke selaku Menteri Pengangkutan yang sentiasa memberikan perhatian khas kepada pembangunan jaringan pengangkutan negeri Pulau Pinang, sekalung penghargaan daripada kami di Pulau Mutiara.

Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin yang dikasihi sekalian,

Kejayaan pelancaran perkhidmatan feri baharu Pulau Pinang pada hari ini adalah hasil kerjasama dan dedikasi daripada semua pihak yang mana selain menjadi ikon Pulau Pinang, perkhidmatan feri merupakan mod pengangkutan penting yang menghubungkan bahagian Seberang Perai dan pulau negeri ini.

Pada 7 Ogos lalu iaitu hari pertama pengoperasian feri ini, saya sendiri telah merasai pengalaman sebagai salah seorang penumpang pertama. Amat pantas, perjalanan dari Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Bagan Dalam, Butterworth hingga Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di Weld Quay hanya mengambil tempoh masa kira-kira 10 minit. Malah, tidak terasa pun yang feri sedang bergerak.

 

Ini membuktikan bahawa perkhidmatan feri di negeri ini telah memasuki satu revolusi baharu yang mana selain memendekkan tempoh perjalanan, feri yang memiliki kapasiti maksimum seramai 250 penumpang iaitu 150 bagi penjalan kaki dan motosikal (50) juga amat selesa selain dilengkapi kemudahan moden bagi memastikan keselamatan para penumpang.

Serentak itu, dalam memacu pembangunan negeri Pulau Pinang dalam tempoh lima tahun lagi, jaringan pengangkutan menjadi salah satu agenda Kerajaan Negeri selaras dengan gagasan Visi Penang2030 yang digariskan dalam merealisasikan Pulau Pinang sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Malah, revolusi ini juga adalah selari dengan Manifesto 2023 yang ditekankan di dalam pilihan raya baru-baru ini iaitu bermatlamat meningkatkan daya huni bagi menambah baik kualiti kehidupan rakyat Pulau Pinang secara menyeluruh. Sebagaimana ditekankan di dalam Manifesto Ke-12 bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah komited untuk menyediakan subsidi pengangkutan awam baharu kepada rakyat Malaysia yang mana kita akan memperhalusi mekanisme pelaksanaannya.

Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin yang dikasihi sekalian,

 

Tidak dinafikan, dengan penambahbaikan mod pengangkutan ini juga, ia secara tidak langsung telah meningkatkan lagi ketercapaian jaringan sistem pengangkutan awam di negeri ini melibatkan udara, darat dan juga air.

Pada aspek sektor pelancongan, ia juga amat berkait rapat yang mana selain perkhidmatan lebih selesa, jaringan serta tempoh masa perjalanan yang singkat bakal memainkan peranan lebih signifikan terutamanya dalam mempelbagai serta memperkenalkan dengan lebih meluas produk-produk tarikan yang terdapat di Seberang Perai khasnya.

Kepada komuniti lokal pula, ia pastinya membuka peluang pekerjaan dan juga peruncitan khasnya kepada golongan usahawan yang sekali gus mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi setempat.

Justeru, terbukti bahawa impak kepada revolusi perkhidmatan feri baharu di atas inisiatif khas yang dibawa oleh Kerajaan Persekutuan kepada negeri ini, ia bagaikan serampang tiga mata dengan suntikan kebaikan serta percambahan sektor-sektor pembangunan ekonomi penting bagi membolehkan Pulau Pinang terus unggul sebagai salah sebuah negeri yang mencatatkan kdar pertumbuhan tertinggi dan juga mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin yang dikasihi sekalian,

Berlandaskan semangat Malaysia Madani, saya bersyukur di atas perhatian yang diberikan kepada negeri Pulau Pinang. Bagi membolehkan kita terus unggul dan kekal sebagai sebuah negeri maju dan juga tumpuan pelabur, Pulau Pinang memerlukan perhatian berterusan daripada Kerajaan Persekutuan secara keseluruhan.

Saya percaya dan yakin kolaborasi sedia terjalin ini mampu dieratkan lagi terutamanya dalam merealisasikan pembinaan projek transit aliran ringan (LRT) dan ‘Silicon Island’ yang ditunggu-tunggu oleh seluruh lapisan rakyat negeri ini.

Sebagai penutup kata, saya sekali lagi ingin mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan ribuan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun atas kehadiran ke majlis ini. Terima kasih juga atas segala khidmat nasihat dan sokongan yang telah diberikan kepada barisan kepimpinan Kerajaan Negeri untuk mentadbir negeri ini dengan lebih baik sehingga kini.

Kepada Yang Berhormat Menteri, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Penang Port Sdn. Bhd. dan pihak-pihak berkepentingan, sekalung penghargaan di atas kejayaan dalam merealisasikan revolusi perkhidmatan feri baharu ini.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mencurahkan sepenuh sokongan secara berterusan terhadap visi dan dasar yang dirumus dalam mencipta lonjakan baharu kepada negara dan negeri Pulau Pinang khasnya.

Dengan ini, sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang