MAJLIS MENANDATANGANI SURAT PERJANJIAN PROJEK AGRO TOURISM PAYA TERUBONG ANTARA PERBADANAN PEMBANGUNAN PULAU PINANG DAN KAT RESOURCES SDN. BHD.

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

PADA MAJLIS MENANDATANGANI SURAT PERJANJIAN PROJEK AGRO TOURISM PAYA TERUBONG ANTARA PERBADANAN PEMBANGUNAN PULAU PINANG DAN KAT RESOURCES SDN. BHD.

14 SEPTEMBER 2023 (KHAMIS) ; 12.00 TENGAH HARI ; BILIK GERAKAN, TINGKAT 28, KOMTAR

 

YANG BERHORMAT TUAN FAHMI BIN ZAINOL

Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi

YANG BERHORMAT DATO’ SERI SUNDARAJOO A/L SOMU                

Exco Perumahan dan Alam Sekitar

YANG BERBAHAGIA DATO’ AZIZ BIN BAKAR

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC)

TUAN NORAZIZI BIN ADINAN (TBC)

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang

ENCIK TEOH KOK AUN

Ketua Pegawai Ekekutif Kat Resources Sdn. Bhd.

 

 

Rakan-rakan media dan para hadirin yang dihormati sekalian,

 

 

Selamat tengah hari, salam sejahtera dan salam Malaysia Madani kepada semua.

Terlebih dahulu, sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang dapat berada di sini untuk menjayakan Majlis Menandatangani Surat Perjanjian Pajakan bagi Projek Agro Tourism Paya Terubong antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Kat Resources Sdn. Bhd. pada hari yang berbahagia ini.

Dengan termeterainya perjanjian ini, ia menandakan permulaan kerjasama strategik yang bakal memanfaatkan dua pihak dalam memantapkan lagi percambahan serta pembangunan sektor pertanian dan agro pelancongan negeri Pulau Pinang, yang mana kepakaran kedua-dua pihak bakal meningkatkan lagi keterjaminan rantaian makanan di negeri ini secara lebih menyeluruh.

Hadirin sekalian,

Sebelum saya mengulas dengan lebih lanjut, sebagaimana dinyatakan oleh Dato’ Aziz dan Encik Teoh, inisiatif utama perjanjian ini adalah untuk membangunkan sektor agro pelancongan di atas sebidang tanah berbukit dekat Paya Terubong.

Lokasi tersebut sebelum ini terdedah kepada pencerobohan oleh aktiviti-aktiviti pertanian sekitar. Justeru, menerusi perjanjian pada hari ini, akan adanya pembangunan secara bersistematik dan terancang yang bukan hanya bakal membawa faedah kepada sektor pertanian dalam negeri, malah juga pelancongan secara keseluruhan. Ini kerana, selain tanah yang sesuai untuk bercucuk tanam, pemandangan daripada sudut berkaitan juga adalah amat memukau.

Malah, pendekatan yang diambil juga adalah selari dengan Visi Penang2030 yang digagaskan sejak tahun 2018 iaitu ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Ia termaktub dalam salah satu inisiatif strategik iaitu untuk memoden dan mempelbagaikan pertanian mampan dengan penumpuan diberikan kepada sektor agrikultur dan seterusnya mentransformasikan sektor pertanian sejajar dengan perkembangan teknologi moden yang mampan serta mempunyai nilai tambah.

Serentak itu, sebagaimana Belanjawan tahun 2023 yang dibentangkan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperuntukkan sejumlah RM6.92 juta untuk Jabatan Pertanian Negeri; RM2.63 juta untuk pembayaran bantuan sekali bayar atau ‘one-off’ masing-masing berjumlah RM500 kepada 5,262 pesawah, dan juga peruntukan RM4.5 juta untuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang. Semua peruntukan ini adalah bertujuan mempercepatkan kemajuan industri pertanian dan seterusnya melakarkan hala tuju baharu yang lebih mampan.  

Sebagai tambahan, Tema 10 Manifesto 2023 baru-baru ini turut memberi penekanan khas terhadap bantuan sara hidup kepada pesawah, pekebun sayur dan juga bantuan pukat kepada para nelayan di negeri ini. Malah, pendapatan golongan petani dan nelayan juga akan dipelbagaikan menerusi aktiviti agrikultur moden, padi berhasilan tinggi, pelancongan agro serta pelancongan sungai yang akan kita usahakan secara bersama.

Saudara dan saudari sekalian,


Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga berhasrat untuk menggerakkan sektor pertanian negeri ini ke arah teknologi aplikasi digitalisasi, yang mana difahamkan bahawa Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi telah menghantar kertas kerja kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memohon peruntukan melaksanakan inisiatif pendigitalan bernilai RM2.6 juta.

Melalui inisiatif pendigitalan ini, nescaya pelbagai manfaat dapat dikecapi antaranya memudahkan urusan pelesenan, pemantauan, produktiviti dan pemasaran komoditi pertanian yang sistematik sekali gus membuka jalan ke arah kemajuan agroteknologi. Diharap dengan inisiatif pendigitalan ia mampu mencambahkan manfaat serampang dua mata dengan turut mampu memupuk minat dalam kalangan belia untuk menceburi sektor pertanian.

Sebagai penutup kata, sekali lagi, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan ucapan tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan serta merealisasikan projek agro pelancongan Paya Terubong ini, yang bakal membuka lembaran baru dalam sektor agro pelancongan di negeri Pulau Pinang secara keseluruhan.

Sekian, terima kasih.

 

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang