MAJLIS PENYERAHAN INSENTIF SKIMAS KEPADA PEMENANG KEJOHANAN SUKAN ASIA & SUKAN PARA ASIA 2022 DI HANGZHOU, CHINA
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG YAB TUAN CHOW CHON YEOW SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN INSENTIF SKIMAS KEPADA PEMENANG KEJOHANAN SUKAN ASIA & SUKAN PARA ASIA 2022 DI HANGZHOU, CHINA
7 NOVEMBER 2023 | 11.15 PAGI
BILIK GERAKAN, ARAS 28, KOMTAR
__________________________________________
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua pihak yang hadir pada hari yang berbahagia ini. Seperti yang sedia maklum, kontinjen Malaysia telah berjaya mengharumkan nama negara di Kejohanan Sukan Asia Hangzhou 2022 yang juga dikenali sebagai 19th Asian Games Hangzhou 2022 dan Sukan Para Asia ke-4 yang telah berlangsung di Hangzhou, China.
Saya difahamkan bahawa temasya kali ini merupakan edisi ke-19 kejohanan terbesar di peringkat Asia dan penganjuran kali yang ke-3 di Republik China selepas edisi Beijing pada tahun 1990 dan Guangzhou (2010) dari 23 September sehingga 8 Oktober lalu.
Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya mengucapkan tahniah kepada barisan atlet negara amnya dan negeri Pulau Pinang khususnya yang telah mengharumkan nama tanah air yang tercinta ini. Meraikan kejayaan ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan sukacitanya ingin menyampaikan sumbangan penghargaan menerusi Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS) kepada barisan atlet yang diraikan ini.
Sebagai makluman, SKIMAS telah diwujudkan sejak tahun 2014 khas kepada atlet-atlet yang berjaya merangkul pingat emas, perak dan gangsa di persada antarabangsa. Sumbangan tersebut adalah sebagai tanda penghargaan atas kerja keras serta komitmen barisan atlet sehingga berjaya mencapai kejayaan, dan adalah diharapkan semangat tersebut terus menjadi pemangkin untuk mereka terus berentap dengan lebih cemerlang kelak.
Saudara dan saudari sekalian,
Pada temasya Sukan Asia Hangzhou, kontinjen Malaysia telah berjaya memenangi enam (6) pingat emas, pingat perak (8) dan gangsa (18) dengan kedudukan ke-14 daripada 20 negara yang mengambil bahagian. Syabas saya ucapkan.
Secara keseluruhan, seramai 14 atlet kelahiran negeri Pulau Pinang telah mewakili kontinjen negara pada kejohanan berkaitan dan daripada jumlah tersebut, lapan (8) atlet telah berjaya menyumbang enam (6) pingat kepada kontinjen negara meliputi acara Karate-Kumite, Sepak Takraw Regu Lelaki atau Regu Lelaki Berpasukan, Olahraga Wanita, Berbasikal (Trek) Wanita Berpasukan dan 3-meter Papan Anjal Seirama.
Dalam pada itu, dalam kejohanan Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, kontinjen Malaysia telah diletakkan sasaran untuk membawa pulang 35 pingat tanpa mengkhususkan sebarang warna daripada temasya Sukan Para Asia edisi ke-4 berkaitan. Amat membanggakan, barisan atlet para negara sekali lagi membuktikan kehebatan mereka apabila terus mengekalkan rentak cemerlang mengharumkan nama negara apabila mudah melepasi sasaran 35 pingat yang ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
Daripada jumlah berkaitan, dua (2) atlet para dari Pulau Pinang berjaya menyumbang satu (1) pingat perak dan lima (5) pingat gangsa melalui acara Para Berbasikal dan Para Renang. Syabas!
Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,
SKIMAS yang bakal disampaikan pada hari ini adalah berdasarkan nilai-nilai berkaitan:-
(i) pingat emas berjumlah RM24,000 untuk acara individu;
(ii) pingat perak berjumlah RM12,000 dibahagikan untuk pasukan kurang daripada lima (5) atlet; dan
(iii) pingat gangsa berjumlah RM6,000 dibahagikan untuk setiap atlet bagi pasukan kurang daripada 5 atlet.
Berikut merupakan senarai atlet berserta insentif SKIMAS yang diterima:-
NAMA |
|
|
PINGAT |
ACARA |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
JUMLAH (RM) |
Muhammad Arif Afifudin bin Ab. Malik |
Emas |
Karate-Kumite |
24,000 |
|||||||||||||
Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican |
Perak |
Sepak Takraw |
4,800 |
|||||||||||||
Muhammad Azlan Alias |
Perak |
Sepak Takraw |
4,800 |
|||||||||||||
Muhammad Zaim Bin Razali |
Perak |
Sepak Takraw |
2,400 |
|||||||||||||
Muhammad Syahir Mohd Rosdi |
Perak |
Sepak Takraw |
4,800 |
|||||||||||||
Zainatul Husniah Zulkifli |
Gangsa |
Olahraga |
1,500 |
|||||||||||||
Nurul Aliana Syafika Azizan |
Gangsa |
Berbasikal |
2,000 |
|||||||||||||
Ooi Tze Liang |
Gangsa |
3m Papan Anjal |
3,000 |
|||||||||||||
Zy Lee Kher |
Gangsa |
Para Renang |
12,000 |
|||||||||||||
Nur Azlia Syafinaz Mohd. Zais |
Gangsa |
Para Berbasikal |
30,000 |
|||||||||||||
JUMLAH (RM) |
89,300.00 |
Umumnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menitikberatkan pembangunan modal insan daripada pelbagai aspek termasuk aspek pembangunan sahsiah, akademik dan sukan demi membangunkan sebuah komuniti yang berilmu, bertamadun dan serba boleh. Oleh kerana itu, dalam aspek pembangunan sukan, Kerajaan Negeri juga sedang giat menambahbaik dan membina baru kemudahan asas sukan, seperti kompleks sukan dan gelanggang futsal, bola keranjang, sepak takraw dan sebagainya.
Malah, seperti yang tertera dalam Manifesto Perpaduan 2023, Kerajaan Negeri komited dalam usaha mewujudkan Akademi e-sports di setiap daerah serta mewujudkan Gimnasium Rakyat dan Pusat Belia di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) supaya lebih ramai anak-anak muda dan belia di negeri ini mempunyai akses kepada kemudahan-kemudahan asas bersukan.
Hadiri sekalian, tidak dapat dinafikan, ahli keluarga yang mengamalkan budaya sihat dan bersukan secara tidak langsung dapat mempengaruhi anak-anak muda yang berpontesi dalam sessuatu sukan untuk berjinak-jinak dalam sukan berprestasi tinggi.
Seperti ibu bapa dan waris yang turut berada di sini dan sedang menunggu di ruangan lobi, terima kasih saya ucapkan kerana usaha Tuan-tuan dan Puan-puan yang menyokong anak-anak dalam menyerlahkan potensi mereka dalam bidang sukan ini. Saya yakin terlalu banyak masa, keringat dan wang ringgit telah dicurahkan untuk anak-anak sampai ke tahap ini, namun pengorbanan anda semua tidak sia-sia. Terima kasih kerana melahirkan anak-anak dan pewaris negara yang berkualiti.
Sebagai penutup kata, saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan atlet negeri Pulau Pinang di atas kecemerlangan dan perjuangan kalian yang mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Saya berharap semoga kejayaan yang dicipta kali ini dapat menjadi pembakar semangat untuk meneruskan usaha berbakti kepada negara dan bangsa.
Sekian, terima kasih.