MAJLIS RUMAH TERBUKA HARI DEEPAVALI KADUN SERI DELIMA TAHUN 2023

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS RUMAH TERBUKA HARI DEEPAVALI KADUN SERI DELIMA TAHUN 2023

25 NOVEMBER 2023 (SABTU) | 7.30 MALAM 

TAMAN KEJIRANAN, JALAN BUNGA RAYA

 

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, izinkan saya untuk menzahirkan perasaan syukur kerana dapat berkumpul bagi meraikan sambutan perayaan Hari Deepavali bersama-sama saudara dan saudari di sini.

Mengambil peluang ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu MPKK Lengkok Bawah dan Pejabat KADUN Seri Delima kerana sudi menjemput saya untuk hadir pada program kali ini dan saya amat teruja untuk bersama-sama hadirin dan hadirat sekalian pada malam ini.

Sebagaimana semua sedia maklum, Deepavali pada asasnya disambut untuk meraikan kejayaan terhadap kebaikan menentang kejahatan. Secara tersirat, apabila kejahatan atau keburukan ditewaskan maka akan ada cahaya, itulah simboliknya perayaan Hari Deepavali di mana ianya sinonim dengan ‘Pesta Cahaya’ yang berwarna-warni dan ceria.

Pada malam yang mulia ini, saya menjadi saksi keharmonian penduduk Pulau Pinang yang terdiri daripada bangsa yang berbilang kaum, agama dan keturunan terutamanya di KADUN Seri Delima dan sudah semestinya kita bertuah kerana dapat bersama-sama berkongsi serta menikmati bersama kepelbagaian perayaan dengan saling menghormati dan toleransi.

Saya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, saya berasa amat bangga melihatkan suasana harmoni pada malam ini, yang sudah pastinya telah lama bersemi dalam kalangan masyarakat di negeri ini. Saya berharap agar keharmonian perpaduan ini terus dikekalkan dan ingin saya ingatkan jangan sesekali kita buka ruang untuk ekstrimisme perkauman untuk bertapak di Pulau Pinang khususnya dan di Malaysia amnya.

Selari dengan Visi Penang2030, segala aspek pembangunan yang bakal dilaksanakan tidak harus memencil mana-mana kaum atau masyarakat, begitu juga dengan kaum india di Pulau Pinang. Malah, harus diingatkan bahawa Pulau Pinang merupakan negeri yang pertama yang menyediakan peruntukan khas untuk sekolah-sekolah Tamil melalui bajet tahunan sejak tahun 2009.

Hadirin sekalian,

Saya juga dimaklumkan bahawa majlis pada malam ini bakal menyaksikan sumbangan kepada 120 penerima yang mana setiap daripada mereka akan menerima dua (2) sumbangan khas berupa pelbagai barangan keperluan harian.

Di sini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan buat para penyumbang iaitu pihak 99 Speedmart Sdn. Bhd. dan juga Tusidhis Spice Marketing Sdn. Bhd.. Saya berharap dengan sumbangan ini, ia dapat mengurangkan beban penerima di samping menceriakan lagi hari istimewa ini.

Sebagai penutup kata, semoga masyarakat berbilang bangsa di negeri ini sentiasa mengeratkan silaturahim dan persefahaman antara kita. Di sini, saya sudahi ucapan saya dengan serangkap pantun.

Sesekali jangan berpecah-belah,

Satu negeri bahkan negara,

Bersatu hati saling berhemah,

Hidup Bahagia, Pulau Pinang Sejahtera

Saya berharap belum terlambat untuk saya ucapkan Selamat Hari Deepavali. Deepavali Nal Valthukal!

Sekian, terima kasih.

DEEPAVALI

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang