MAJLIS PERASMIAN PROGRAM KEMAHIRAN & KEUSAHAWANAN (KURSUS BARISTA) PARLIMEN BATU KAWAN 2023

 TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROGRAM KEMAHIRAN & KEUSAHAWANAN (KURSUS BARISTA)

PARLIMEN BATU KAWAN 2023

  

25 NOVEMBER 2023 (SABTU) : 9 PAGI

PUSAT KHIDMAT PARLIMEN BATU KAWAN

 

Terima kasih saudara/i pengerusi majlis,

YB Dato’ Seri Sundarajoo

EXCO Perumahan dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Perai

YB Goh Choon Aik

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tambun

Tuan Lau Keng Ee

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang

Tuan Ewe Chee Way

Pengarah Pejabat Ahli Parlimen Batu Kawan dan KADUN Padang Kota

Encik Mohamad Fakarudin

Pengerusi Kelab Pembangunan TVET & Usahawan Pulau Pinang

Rakan-rakan Media; Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat pagi, Salam sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

NOTA PERCAKAPAN:

>> Terlebih dahulu, saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua ke Majlis Perasmian Program Kemahiran & Keusahawan (Kursus Barista) yang dianjurkan pada pagi yang berbahagia ini.

>> Mengambil kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur, Pusat Khidmat Parlimen Batu Kawan dengan kerjasama Kelab Pembangunan TVET & Usahawan Pulau Pinang bagi mengaturkan program yang amat bermanfaat ini.

>> Program yang julung kali dianjurkan ini adalah bertujuan memperkasakan golongan berpendapatan rendah khususnya golongan belia serta ibu tunggal yang merupakan pemastautin di kawasan Parlimen Batu Kawan.

>> Selain itu, program ini juga diharap dapat memberikan pendedahan awal mengenai hala tuju kerjaya kepada golongan belia yang baru tamat persekolahan supaya mereka dapat menceburi sesuatu pekerjaan berdasarkan minat serta keupayaan masing-masing di samping dapat menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negeri. Pengetahuan serta kemahiran yang diperoleh melalui penyertaan dalam kursus-kursus yang disediakan ini boleh dimanfaatkan oleh para peserta untuk menjana pendapatan masing-masing.

Hadirin sekalian,

>> Saya dimaklumkan bahawa sebanyak empat (4) program ditawarkan secara keseluruhannya iaitu Kursus Barista yang dianjurkan pada hari ini; Kursus Teknologi Retort pada 10 Disember; Kursus Fotografi pada 16 Disember dan Program Keusahawanan Telekomunikasi yang mana syarikat redOne Network Sdn. Bhd. akan menghubungi pemohon yang dipilih dalam masa dua (2) minggu lagi.

>> Serentak itu, saya juga difahamkan bahawa jumlah penyertaan bagi Kursus Barista dan Program Keusahawanan Telekomunikasi adalah terhad kepada 30 peserta sahaja manakala bagi Kursus Teknologi Retort dan Kursus Fotografi (20 peserta).

>> Setiap peserta yang terpilih akan menerima bantuan peralatan sebagai kit permulaan untuk perniagaan seperti mesin barista, pengisar kopi, mesin retort, kamera digital, tripod, lampu studio serta light box berdasarkan jenis kursus yang dipilih oleh para peserta.

>> Peralatan-peralatan yang disediakan ini juga amat sesuai bagi membantu ibu tunggal khasnya memulakan perniagaan baru dari rumah tanpa memerlukan modal yang besar, di samping mengurus rumah tangga dan menjaga anak-anak yang masih kecil.

>> Sepertimana yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa MMK Luar Bandar telah memperuntukkan sebanyak RM50,000.00 bagi bantuan peralatan di setiap daerah dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM250,000.00 pada tahun ini. Program ini telah dan sedang dilaksanakan di bawah Program Peningkatan dan Pemulihan Ekonomi (Bantuan Peralatan) Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bertujuan untuk membantu peniaga kecil sepenuh masa termasuk golongan kurang mampu yang menjalankan perniagaan. Individu yang telah menjalankan perniagaan sekurang-kurangnya satu (1) tahun dan berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan adalah layak untuk mendapat bantuan peralatan dalam usaha mengembangkan lagi perniagaan sedia ada. Bantuan peralatan yang dimohon adalah bertujuan untuk mengembangkan perniagaan sedia ada agar ia mampu meningkatkan jumlah penghasilan atau produktiviti.

>> Bagi memperkasakan golongan belia yang merupakan tonggak masa depan negeri kita, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) telah membangunkan pelbagai program belia dan sukan di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa. Langkah ini adalah selaras dengan Dasar Belia untuk Masa Depan yang menekankan kepada pembangunan holistik belia daripada sudut pembangunan sosial, ekonomi dan diri. Sejajar dengan harapan ini, program Youth Entrepreneurship Challenge (YEC) yang telah diadakan sejak tahun 2020 telah berjaya melahirkan seramai 546 usahawan belia di negeri ini.


>> Tahniah kepada pihak penganjur atas inisiatif penganjuran ini yang mana ia merupakan salah satu elemen utama untuk memacu dan mempercepatkan pencapaian Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

>> Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang