MAJLIS ANUGERAH KHIDMAT SETIA PBAPP 2023

UCAPAN

YAB TUAN CHOW KON YEOW

KETUA MENTERI PULAU PINANG MERANGKAP

PENGERUSI PBA HOLDINGS BERHAD DAN PERBADANAN BEKALAN AIR PULAU PINANG SDN. BHD. (PBAPP) BERSEMPENA

MAJLIS ANUGERAH KHIDMAT SETIA PBAPP 2023

THE WEMBLEY GILES HOTEL

 

 29 NOVEMBER 2023 (RABU) ; 8.00 MALAM

______________________________________

  

Terima kasih saudari/saudara pengerusi majlis,

YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Timbalan Pengerusi Kumpukan Syarikat PBA

YB Tuan Jagdeep Singh Deo

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Syarikat PBA

YB Dato’ Haji Rosli bin Isa

Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap 

Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Syarikat PBA

YB Dato’ Zabidah binti Safar

Pegawai Kewangan Negeri merangkap

Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Syarikat PBA

Ahli-ahli Lembaga Pengarah PBAHB dan PBAPP

Yang Berusaha Ir. Pathmanathan K

Ketua Pegawai Eksekutif PBAHB dan PBAPP

Ketua-ketua Divisyen dan Ketua-ketua Jabatan PBAHB dan PBAPP

Tuan-tuan dan Puan-puan penerima anugerah yang diraikan

Rakan-rakan media, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Salam sejahtera Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak PBAPP kerana menjemput saya hadir ke Majlis Anugerah Khidmat Setia PBAPP yang begitu bermakna ini. 

Kita berada di sini untuk meraikan dan memberikan pengiktirafan kepada 10 kakitangan PBAPP yang hadir pada majlis ini untuk menerima anugerah atas komitmen menjalankan kewajipan serta perkhidmatan di bawah syarikat ini. Saya difahamkan bahawa empat (4) penerima tidak dapat hadir kerana ada yang telah bersara dan sebab yang tidak dapat dielakkan. Namun, saya mewakili pihak PBAPP sentiasa menghargai segala pengorbanan dan khidmat anda semua. Terima kasih saya ucapkan. 

Hadirin sekalian, 

Barisan penerima anugerah bagi Kategori 25 dan 30 tahun pada malam ini ternyata telah memulakan perkhidmatan mereka sebelum PBAPP dikorporatkan lagi, iaitu pada zaman Pihak Berkuasa Air atau PBA. Insan-insan ini secara tidak langsung telah menabur bakti kepada seluruh warga Pulau Pinang dalam membantu menjamin bekalan air yang berterusan. Ini juga bermakna PBAPP akan menyambut jubli perak 25 tahun pengkorporatannya pada tahun hadapan, iaitu pada tahun 2024. 

Dengan kesetiaan berkhidmat selama berpuluh-puluh tahun ini, saya yakin anda telah menyaksikan banyak perubahan sepanjang 24 tahun lalu, di PBAPP khasnya, dan di Pulau Pinang amnya.

Sebagai syarikat operator air negeri Pulau Pinang, PBAPP telah menjadi lebih proaktif, profesional, inovatif dan berorientasikan hasil atau “result oriented” selama ini. Walau bagaimanapun, satu perkara tidak berubah iaitu PBAPP pada asasnya merupakan sebuah syarikat khidmat awam yang bertanggungjawab mengawal selia satu keperluan asas yang sangat penting iaitu bekalan air. 

Kita perlu ingat bahawa seluruh isi rumah dan perusahaan di Pulau Pinang memerlukan air setiap hari sebagai keperluan hidup serta menjalankan operasi perniagaan secara harian. Oleh itu, rakyat Pulau Pinang bergantung kepada PBAPP untuk membekalkan air secara berterusan pada setiap masa, 24 jam Tikus (7) hari seminggu. Ia tentunya tanggungjawab dan amanah yang berat untuk dipikul oleh warga PBAPP. Oleh itu, terima kasih saya ucapkan.

Tidak lupa ketika krisis air yang melanda negeri pada tahun ini apabila berhadapan dengan impak insiden penurunan mendadak paras air Sungai Muda, saya melihat sendiri warga PBAPP bertungkus-lumus bagi memastikan bekalan air tetap disalurkan kepada rakyat dan pada masa sama, saya difahamkan PBAPP tetap melayani setiap maklum balas dengan sabar serta professional. Seterusnya, pada bulan September lalu, insiden air bah di Baling, Kedah sekali lagi menyebabkan kekeruhan air yang tinggi, sekaligus memaksa Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua untuk mengurangkan pengeluaran air terawat kepada pengguna-pengguna air di Pulau Pinang sebanyak 30 peratus, daripada purata 1,019 MLD kepada 715 MLD pada jam 9.00 pagi, 29 September 2023. 

Tuan-Tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian, 

Sebagai Pengerusi PBAPP, saya juga amat gembira dan berbangga melihat PBAPP berjaya merangkul banyak pengiktirafan dan anugerah dalam peringkat negeri, kebangsaan malah antarabangsa sejak tahun 1999 di samping masih mampu memberikan dividen kepada pemegang-pemegang saham secara tahunan iaitu selama 22 tahun berturut-turut. 

Adalah jelas bahawa matlamat utama PBAPP adalah untuk memastikan perkhidmatan bekalan air yang berterusan di Pulau Pinang, tanpa pencatuan air dan dengan tarif yang munasabah. Saya berharap agar ianya akan terus menjadi KPI paling kritikal untuk PBAPP pada masa akan datang. Oleh itu, bagi pihak rakyat Pulau Pinang, saya ingin mengambil kesempatan pada malam ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua warga PBAPP atas komitmen mereka untuk khidmat awam yang baik, terutama kakitangan yang telah setia kepada PBAPP serta Pulau Pinang selama berpuluh-puluh tahun.

Justeru, malam ini kita memberi pengiktirafan kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk komitmen itu. Saya berharap anda semua akan terus memberikan khidmat murni anda untuk negeri Pulau Pinang sebaik mungkin. Selamat maju jaya untuk masa depan anda semua. PBAPP harus terus memberi keutamaan kepada rakyat dan khidmat awam yang terbaik.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin merakamkan terima kasih saya kepada anda semua di sini untuk perkhidmatan yang sangat mulia, membekalkan keperluan asas manusia dan sentiasa setia berkhidmat dengan baik kepada PBAPP dan Pulau Pinang amnya. 

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang