MAJLIS PERASMIAN ASTAKA HILLSIDE TANJUNG BUNGAH

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

YAB CHOW KON YEOW MAJLIS PERASMIAN ASTAKA HILLSIDE TANJUNG BUNGAH

29 NOVEMBER 2023 (RABU) | 6.30 PETANG

KOMPLEKS MUTIARA SELERA

 

YB. Dato' Dr. Mohamad bin Abdul Hamid

Timbalan Ketua Menteri I

YB. Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

Timbalan Ketua Menteri II

YB. Zairil Khir Johari

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga

Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Ahli-ahli Parlimen Negeri Pulau Pinang

YB Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

YBhg. Datin Bharathi A/P Suppiah

Pengurus Besar, Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI)

YBhg. Dato’ Ir. Rajendran A/L P. Anthony,

Datuk Bandar MBPP

Tuan Rosli Bin Halim

Pegawai Daerah, Daerah Timur Laut

Syarikat Perunding Veritas Architect

Syarikat Operator Splendid Arch Sdn. Bhd.

Peniaga-peniaga Astaka Hillside Tanjung Bungah

Rakan-rakan media; Tuan-tuan dan puan-puan serta para hadirin sekalian

Salam sejahtera, Salam perpaduan dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) kerana menjemput saya untuk merasmikan Majlis Perasmian Astaka Hillside Tanjung Bungah pada petang yang berbahagia ini.

Sepertimana yang sedia maklum, Astaka Hillside Tanjung Bungah yang asalnya dikenali sebagai Kompleks Mutiara Selera telah musnah akibat insiden kebakaran yang berlaku pada 7 November 2020. mengikut rekod jabatan pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), insiden itu secara tidak langsung telah menjejaskan 35 peniaga yang sedang berniaga ketika itu.

Justeru, pada 27 November 2021, saya bersama-sama YB Zairil Khir Johari telah menghadiri Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Semula Astaka Tanjong Bungah di sini, dan kini dua tahun kemudian, saya berada di sini semula untuk merasmikan bangunan Astaka Hillside Tanjung Bungah yang telah siap dibangunkan dengan sijil CCC pada 27 September 2023 di bawah pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Hadirin dan hadirat sekalian,

Pada awalnya, Kerajaan Negeri telah menganggarkan bahawa projek ini akan menelan kos sebanyak RM1 juta. Walau bagaimanapun, kini kos pembangunan semula astaka ini telah mencecah RM3.8 juta dengan beberapa komponen tambahan seperti tandas, surau, pejabat pengurusan dan lain-lain kemudahan yang mesra pengguna kepada rakyat Pulau Pinang serta pengunjung dari luar negeri dan juga negara.

Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Veritas Architect yang telah menyediakan reka bentuk yang lebih moden dan efisien dengan kemudahan 40 ruang gerai dan 200 tempat duduk serta bangunan mesra pengguna termasuk golongan kurang upaya (OKU).

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri melalui CMI dan dengan kerjasama pihak JKR telah menguruskan pembangunan semula dan melantik Syarikat Splendid Arch Sdn. Bhd. sebagai operator melalui proses perolehan secara Request for Proposal (RFP) untuk mengoperasikan astaka ini.

Operator telah disyaratkan untuk memberi keutamaan penawaran semula ruang gerai kepada 35 peniaga asal yang telah terjejas akibat daripada insiden kebakaran. Selepas beberapa siri perbincangan bersama-sama pihak peniaga asal serta operator, seramai 26 peniaga asal telah mengambil keputusan untuk tidak menerima tawaran ini disebabkan mereka telah menukar lokasi perniagaan serta faktor usia. Ekoran itu, pihak operator telah memberikan RM3,000 kepada setiap peniaga yang telah menolak tawaran ruang gerai sebagai sagu hati.

Manakala untuk peniaga asal yang telah menerima tawaran untuk berniaga di Astaka Hillside Tanjong Bungah, Kerajaan Negeri telah mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM2,000 kepada setiap peniaga untuk membantu memulakan perniagaan semula di sini. 

Pada kesempatan ini juga saya ingin memaklumkan bahawa astaka ini telah direka khas untuk mendapatkan pensijilan GreenRE dengan beberapa unsur serta elemen hijau yang telah dimasukkan dalam pembangunan bangunan ini seperti pengudaraan dan pencahayaan semula jadi. Malah, saya telah dimaklumkan bahawa CMI bersama Veritas Architect juga akan menyertai dan mengemukakan projek ini untuk beberapa anugerah seperti PAM Award

Para hadirin sekalian,

Pembangunan semula Astaka Hillside Tanjung Bungah adalah selaras dengan Visi Penang2023 iaitu di bawah Tema B3: mewujudkan pelbagai produk pelancongan berkualiti di bahagian pulau dan Seberang Perai.  Malah, projek ini juga sejajar dengan SGD Goals ke-8 yang mempunyai sasaran untuk menggalakkan pelancongan yang bermanfaat dan mampan.

Maka, saya gembira pembangunan semula Astaka Hillside Tanjung Bungah ini telah direalisasikan dengan jayanya, sekaligus memberikan sinar harapan baru kepada para peniaga yang terlibat untuk kembali semula bagi memulakan perniagaan dalam suasana lebih selesa dan bersemangat.

Dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Astaka Hillside Tanjung Bungah.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang