SAMBUTAN HARI KRISMAS PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG 2023 “SEASON OF HOPE”

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA SAMBUTAN HARI KRISMAS PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG 2023
“SEASON OF HOPE”

9 DISEMBER 2023 (SABTU) | 5 PETANG

ARAS 5 THE TOP, KOMTAR


Yang Berhormat Puan Lim Siew Khim
EXCO Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Merangkap Pengerusi Penang Harmony Corporation (HARMONICO)

Yang Berhormat Tuan Haji Rashidi
EXCO Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar

Yang Berhormat Tuan Fahmi Bin Zainol
EXCO Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi

Yang Berbahagia Tan Sri Richard Koh
CEO & Founder of Only World Group (OWG)

Yang Berbahagia Dato’- Dato’ Seri dan Datin-Datin Seri

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen

Tuan Arokiadass Anthonysamy
Head of Department for The Inter-Religious and Ecumenical Department for the Diocese of Penang

Pastor Liew Yean Huat
Northern Region Representative of National Evangelical Christian Fellowship (NECF)

Pastor Shearn Sya
Northern Region Coordinator of Council of Churches of Malaysia

Puan Grace Teoh
General Manager of The Top Penang

Konsul-Konsul Jeneral dan Konsul-Konsul Kehormat

Yang Berbahagia Dato’- Dato’ dan Datin’- Datin

Ahli-ahli Lembaga Penang Harmony Corporation

Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri

Ahli-ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Ahli-ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai

Penaja-Penaja Majlis Sambutan Hari Natal Peringkat Negeri Pulau Pinang

Wakil Rumah-Rumah Ibadat

Wakil Rumah-Rumah Kebajikan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, marilah kita semua memanjatkan kesyukuran kerana diberikan kesempatan bagi kita berkumpul bersama-sama meraikan Sambutan Hari Krismas Peringkat Negeri Pulau Pinang 2023 pada hari yang berbahagia ini.
Seperti tahun lalu, saya amat berbesar hati kerana sekali lagi berpeluang merasmikan sambutan berkenaan pada tahun ini yang dianjurkan oleh Perbadanan Harmoni Pulau Pinang (HARMONICO), Christian Federation of Malaysia (CFM) Pulau Pinang dan The TOP Penang.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Walaupun Krismas adalah perayaan sempena mengingati kelahiran Yesus bagi penganut agama Kristian, saya percaya bahawa sambutan tersebut merupakan antara hari yang kita semua nanti-nantikan tanpa mengira bangsa dan agama kerana ia secara tidak langsung membawa maksud bahawa kita telah menghampiri permulaan tahun baharu.
Seperti perayaan-perayaan lain yang disambut di negara ini, Hari Krismas juga melambangkan salah satu perayaan untuk kita meraikan kepelbagaian agama dan budaya di Malaysia.
Penganut-penganut agama Kristian di negara ini terdiri daripada pelbagai etnik seperti Cina, India, Orang Asal dan sebagainya.
Maka, terdapat bermacam-macam cara bagi rakyat Malaysia menyambut Krismas seperti saling bertukar hadiah, menghiasi rumah dengan hiasan yang cantik dan terang, menziarahi keluarga dan jiran, menganjurkan rumah terbuka serta banyak lagi.

Sebagai negeri dengan masyarakat yang majmuk, penganjuran sambutan perayaan seperti ini pada setiap tahun telah menjadi keutamaan kepada Kerajaan Negeri untuk menghormati dan meraikan kepelbagaian agama di Pulau Pinang.
Usaha ini juga dilakukan demi mengekalkan toleransi dan semangat muhibah dalam kalangan rakyat seiring dengan konsep Malaysia Madani iaitu Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan yang bertunjangkan sikap saling hormat-menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban.

Oleh itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui HARMONICO telah menganjurkan pelbagai sambutan perayaan untuk meraikan kepelbagaian ini di samping menggalakkan persefahaman serta budaya saling menghormati.

Nilai bersatu padu dan toleransi dalam kalangan masyarakat merupakan salah satu faktor bagi sesebuah kerajaan menjalankan urus tadbir yang baik dan progresif. Maka dengan itu, suka saya berkongsi bahawa Pulau Pinang merupakan negeri kedua tertinggi dalam mencatatkan pelaburan yang diluluskan dari bulan Januari sehingga September 2023 yang berjumlah RM44.9 bilion, selepas Kuala Lumpur. Kejayaan ini adalah pencapaian bersama yang melambangkan bukan sahaja perpaduan kaum di negeri ini malah juga hubungan baik masyarakat dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ketahuilah bahawa pentadbiran ini akan senantiasa berusaha menarik pelabur tempatan dan asing untuk bertapak di negeri ini demi kesejahteraan rakyat menerusi peluang pekerjaan yang pelbagai.

Para hadirin sekalian,
Tema Sambutan Krismas tahun ini iaitu “Season of Hope” menekankan betapa pentingnya nilai harapan untuk manusia. Musim perayaan khususnya seperti Krismas adalah musim yang mana kita saling berkongsi kebaikan dan harapan bersama masyarakat sekeliling supaya keharmonian yang wujud akan terus berkekalan.
Buat julung kalinya, sambutan Hari Krismas Peringkat Negeri Pulau Pinang diadakan di dalam pusat membeli-belah iaitu di The TOP, Komtar berlainan dari tahun-tahun sebelumnya yang dianjurkan di kawasan terbuka seperti di Padang Kota Lama dan lain-lain lokasi. Perubahan ini dilakukan dengan harapan ia dapat memeriahkan suasana Komtar dengan kehadiran orang ramai sama ada masyarakat tempatan mahupun pelancong luar.

Selain hadir untuk bersama-sama meraikan sambutan ini, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai tarikan dan aktiviti sedia ada di The TOP yang sesuai untuk seisi keluarga.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Tan Sri Dato’ Richard Koh iaitu Pengasas Only World Group (OWG) Holdings Berhad kerana telah menawarkan lokasi ini untuk sambutan Krismas kali ini.
Mengambil peluang ini, saya juga mengucapkan tahniah dan ribuan terima kasih kepada pihak-pihak penganjur iaitu HARMONICO dan CFM Penang kerana telah bertungkus-lumus menjayakan penganjuran ini. Saya percaya bahawa komitmen serta usaha ketiga-tiga organisasi ini untuk menyemarakkan sambutan Hari Krismas pada tahun ini dapat membuahkan hasil atau impak positif kepada masyarakat setempat.
Umpama seikat bagai sirih, serumpun bagai serai, ayuhlah bersama-sama kita bersatu padu secara sehati sejiwa untuk mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan sedia ada ini.

Sebagai penutup kata, saya ingin mengakhiri ucapan saya dengan mengucapkan selamat menyambut hari Krismas dan Tahun Baru 2024 kepada anda semua khasnya rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi. Semoga semua dapat menikmati sambutan yang indah bersama-sama orang tersayang. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Sambutan Hari Krismas Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2023.

Sekian, terima kasih.

Christmas

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang