MAJLIS PERASMIAN DEWAN SMK VALDOR  

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PERASMIAN DEWAN SMK VALDOR

 

9 DISEMBER 2023 (SABTU) | 9.30 PAGI

 

SMK VALDOR

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Sebagai pembuka kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput saya bagi menghadiri acara yang bermakna pada hari ini. Saya berasa sungguh gembira kerana dijemput sekali lagi ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Valdor dalam rangka kerja melihat kemajuan dalam Kawasan Parlimen Batu Kawan amnya serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tambun khususnya.

Hadirin sekalian,

Kita berkumpul bersama-sama di SMK Valdor pada hari ini adalah untuk mencakna kebajikan para pelajar demi kelangsungan dan kelestarian anak-anak kita untuk menuntut ilmu dalam keadaan kondusif serta selesa. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan dan pihak pentadbir untuk memastikan keadaan ini berterusan demi pembangunan akademik anak-anak kita.

Seperti yang sedia maklum, sekolah merupakan sebuah platform penting dalam pembentukan akademik serta sahsiah para pelajar. Oleh sebab itu, adalah penting bagi segala prasarana dan kemudahan di sekolah sentiasa dipelihara serta dibaiki dengan segera supaya ia dapat membantu dalam aspek pembangunan pelajar secara keseluruhan. Pendekatan ini adalah selaras dengan aspirasi Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang prihatin dengan keadaan kemudahan di sekolah terutamanya tandas-tandas sekolah. Justeru, sejumlah RM70,000 diperuntukkan kepada setiap sekolah bagi memastikan hasrat berkaitan tercapai.

Dengan semangat cakna terhadap kebajikan dan pembangunan masyarakat Madani, saya juga bersetuju untuk meluluskan peruntukan berjumlah RM100,000 untuk menaik taraf kemudahan dewan di sekolah ini apabila pengetua sekolah pada masa itu memohon kelulusan tersebut ketika saya hadir merasmikan Program EcoSchool Vocational Training pada 22 Julai 2023 yang lalu.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,

Ingin saya tegaskan bahawa pembinaan dewan ini bukan hanya pembinaan sebuah bangunan, tetapi ianya merupakan lambang komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap pembangunan Pendidikan negeri ini. Semoga ruang ini menjadi tempat pertemuan untuk menuntut ilmu, mengilhamkan idea yang bernas dan memupuk semangat untuk mencapai kecemerlangan dalam pelbagai aspek.

Selain daripada penyaluran peruntukan tahunan dan one-off demi penyediaan infrastruktur di sekolah, Kerajaan Negeri juga komited dalam mempelbagaikan serta mentransformasikan bidang pendidikan selaras dengan keperluan pasaran global. Contohnya, Kerajaan Negeri memberikan penekanan terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pelbagai program, pendedahan lepasan sekolah kepada program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), menyalurkan bantuan kewangan pendidikan kepada anak-anak yang berjaya memasuki institusi pendidikan tinggi (IPT) terpilih dan banyak lagi.

Terkini, sebagaimana dinyatakan di dalam Manifesto Perpaduan 2023, sumbangan komputer riba percuma kepada pelajar dari golongan B40 yang memperoleh tawaran ke institusi pendidikan tinggi (IPTA) juga dalam perancangan untuk dilaksanakan. Adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya anak-anak di negeri ini terus menjadi sebuah masyarakat yang berilmu dan kompeten demi pembangunan bangsa di negara ini.

Selaras dengan gagasan Visi Penang2030, usaha berterusan daripada pihak Kerajaan Negeri telah membuktikan bahawa pentadbiran hari ini tidak pernah leka dan tidak pernah meminggirkan mana-mana individu terutamanya generasi muda yang menjadi intipati penting dalam inisiatif pembangunan Pulau Pinang. Lazimnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada hari ini senantiasa memastikan setiap daripada rakyat Pulau Pinang sentiasa terbuka kepada peluang serta ruang untuk menuntut ilmu sekaligus membantu negara mencapai tahap sifar keciciran.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Kembali kepada rencana kita pada hari ini, jika berlaku kejadian yang tidak diingini seperti banjir yang berpanjangan, dewan ini juga boleh dijadikan tempat penempatan sementara oleh penduduk di kawasan ini. Sehingga kini, saya bersyukur kerana Pulau Pinang amat bernasib baik kerana walaupun dalam musim tengkujuh pada kali ini, negeri ini masih dipelihara daripada kejadian banjir yang teruk walaupun mengalami hujan hampir setiap hari.

Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat dalam pembinaan dewan ini. Maka dengan itu saya dengan rendah diri merasmikan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Valdor pada hari ini.

Sekian, terima kasih.

BATU KAWAN, valdor

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang