MAJLIS PERASMIANPERTANDINGAN BACAAN THIRUMURAI KE-45

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIANPERTANDINGAN BACAAN THIRUMURAI KE-45

ANJURAN MALAYSIAN HINDU SANGAM (MHS) BATU KAWAN LOCAL COUNCIL BERSAMA SJK(T) LADANG VALDOR

15 JULAI 2023 (SABTU)

DEWAN SJK(T) LADANG VALDOR

Saudara Goh Choon Aik

Mantan Ahli Dewan UndanganNegeri Bukit Tambun

 

Yang Berusaha Encik R. Santarasegaran

Pengerusi, Malaysian Hindu Sangam (MHS) Penang State Council

 

Yang Berusaha Encik A.Tharman

Naib Pengerusi, Malaysian Hindu Sangam (MHS) Penang State Council

 

Yang Berusaha Puan P. Saroja

Pengerusi, MHS Batu Kawan Local Council

 

Yang Berusaha Dr. Lalitha Ramasamy

Setiausaha, MHS Batu Kawan Local Council              

                                                                                  

Yang Berusaha Pn. B. Sasirekah

Pengerusi Pertandingan Bacaan Thirumurai ke-45

 

Encik P. Devandran

Guru Besar, SJK(T) Ladang Valdor

 

Puan G. Kavitha

Guru Besar, SJK(T) Ladang Batu Kawan

 

Puan V. Shanti

Guru Besar, Tadika Pavitra

 

Encik Thiagaraja

Pengerusi, Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS), SJK(T) Ladang Valdor

 

Encik S. Vivegananthar

Pengerusi, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), SJK(T) Ladang Valdor

 

Encik Murugesan

Pengerusi, Kuil Dewi Sri Karumariannan, Ladang Valdor

 

Encik Alagesan Ayaru

Pengerusi, Persatuan Kebajikan Asas Pulau Pinang

 

Jawatankuasa Penganjur

Para Peserta

Rakan-Rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dikasihi sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan ke Majlis Perasmian  “Pertandingan Bacaan Thirumurai Ke-45” pada petang yang berbahagia ini.

Memasuki tahun ke-45 penganjuran, pujian harus diberikan kepada Malaysian Hindu Sangam (MHS) Penang, khususnya jawatankuasa MHS Cawangan Batu Kawan Local Council atas komitmen dan dedikasi yang berterusan dalam merealisasikan program yang amat bermanfaat ini.

Sepertimana yang dimaklumkan, seramai  130 peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, bermula dari 4 hingga 35 tahun telah mengambil bahagian dalam acara ini, yang kesemuanya terdiri dalam kalangan para pelajar dari SJK(T) Ladang Valdor, SJK(T) Ladang Batu Kawan, Tadika Pavitra, Institut Pengajian Tuanku Bainun (IPG), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan juga Sekolah-Sekolah Menengah sekitar Batu Kawan dan Simpang Ampat.

Terima kasih atas penyertaan anda semua.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Dalam mendepani cabaran dan konflik era tanpa sempadan pada masa kini, pembangunan sosial adalah antara aspek yang telah menerima kesan dan tempias yang sangat mendalam.

Golongan remaja dan belia merupakan generasi yang dikaitkan dengan situasi ini, melibatkan masalah kesejahteraan mental, pergaulan bebas yang tidak sihat, masalah keluarga dan peperangan siber.

Namun begitu, kita percaya apa jua permasalahan yang wujud mampu ditangani apabila perkara asas diberikan pertimbangan sewajarnya dan bergerak seiring dengan usaha menanganinya secara holistik dan menyeluruh.

Di sinilah pegangan dan pendidikan asas agama mengikut kepercayaan masing-masing menjadi kekuatan dan sumber rujukan utama yang dilihat dapat mengimbangi tahap sosial golongan yang terkesan ini.

Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri amat menghargai komitmen dan memberikan sokongan sewajarnya kepada MHS dan semua pihak berkepentingan untuk bersama-sama berganding bahu dalam meneruskan inisiatif yang bukan sahaja mendekatkan golongan muda dengan ilmu keagamaan, tetapi juga sangat membantu dalam aspek pembinaan jati diri yang mampan dan teguh.

Bersesuaian dengan penekanan pembangunan keluarga dalam aspirasi Visi Penang2030, kita berharap usaha-usaha pembangunan golongan belia dapat  dilaksanakan secara agresif dan inklusif agar bekalan modal insan yang bermutu tinggi dapat terus dilahirkan di negeri ini.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada MHS Cawangan Batu Kawan Local Council selaku penganjur utama, dan SJKT Ladang Valdor yang menjadi tuan rumah kepada penganjuran acara ini.

Semoga inisiatif penganjuran program-program seperti ini dapat terus diberikan perhatian sewajarnya dan berjaya menarik golongan sasaran.

Dengan ini, saya merasmikan “Pertandingan Bacaan Thirumurai Ke-45”.

Sekian, terima kasih.

MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PAJAKAN BAGI PROJEK ‘WORKERS VILLAGE’ DI BATU KAWAN INDUSTRIAL PARK 3 (BKIP3)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA

MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PAJAKAN BAGI PROJEK ‘WORKERS VILLAGE’ DI BATU KAWAN INDUSTRIAL PARK 3 (BKIP3)

 

6 DISEMBER 2023 (RABU) | 12.30 TENGAH HARI

JEN HOTEL PENANG

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Sebagai pembuka kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) kerana sudi menjemput saya untuk menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Perjanjian Pajakan Bagi Projek ‘Worker Village’ Di Batu Kawan Industrial Park 3 (BKIP3) pada tengah hari yang mulia ini.

Hari ini merupakan hari yang amat penting PDC dan MY EG Lodging (NC) kerana ia menandakan permulaan kerjasama yang progresif bagi kedua-dua pihak dan secara tidak langsung mampu memberi manfaat kepada rakyat di negeri Pulau Pinang secara keseluruhan.

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

Seperti mana yang semua sedia maklum, PDC sebagai agensi pelaksana Kerajaan Negeri sejak tahun 1969 merupakan nadi dalam mentransformasikan ekonomi negeri daripada berasaskan pertanian kepada perindustrian dan perdagangan. Saya percaya, PDC tidak mungkin mampu mengukir kejayaan demi kejayaan tanpa sokongan dan kerjasama erat daripada semua pihak.

Setelah 54 tahun penubuhan, PDC telah membuktikan kejayaan dengan menjadi tongak utama agensi Kerajaan Negeri yang berperanan dalam merealisasikan hasrat dan matlamat dalam pemacu pembangunan Negeri Pulau Pinang.

Seiring dengan pembangunan sektor perindustrian ini, lebih 250,000 peluang pekerjaan sama ada dalam industri pelabur tempatan mahupun pelabur-pelabur luar telah berjaya diwujudkan. Lebih membanggakan, para pelabur yang terdiri daripada syarikat-syarikat “Fortune 500” seperti Robert Bosch, Lam Research, Osram dan sebagainya telah berjaya ditarik untuk bertapak di Pulau Pinang.

Pembangunan sektor perindustrian yang pesat ini bukan sahaja telah menjana hasil berterusan berganda kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Indah Water Konsortium (IWK) dan sebagainya, malah para pemaju hartanah swasta juga memperoleh manfaat besar seiring permintaan yang tinggi dalam sektor hartanah.

Hadirin sekalian,

Bagi meningkatkan daya saing atau competitive edge, adalah sangat kritikal pada masa ini untuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang menawarkan produk terbaik kepada para pelabur yang tidak mungkin dapat diperoleh di mana-mana negeri lain di Malaysia atau negara jiran.

Inisiatif utama pajakan ini adalah untuk membangunkan asrama pekerja dan fasiliti yang berkaitan di BKIP 3 seluas anggaran 8.3943 ekar (Plot 1). Pembinaan fasiliti ini merupakan satu keperluan ekoran pertumbuhan sektor perindustrian yang secara tidak langsung membawa kepada permintaan penyediaan penempatan pekerja.

Pembangunan asrama pekerja secara berpusat, terkawal dan terancang berkenaan menandakan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menyokong kadar pertumbuhan pesat pembangunan perindustrian di negeri Pulau Pinang di samping membantu Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah yang dihadapi seperti:

  1. Aduan umum mengenai kebanjiran warga asing yang mendiami skim perumahan sedia ada yang secara tidak langsung dipercayai menimbulkan isu keselamatan dan keselesaan penduduk tempatan;
  1. Menangani isu susut nilai hartanah apabila terdapat pekerja asing di sesuatu kawasan kediaman; dan
  • Kedatangan warga asing yang tidak berdaftar.

 

Justeru, bagi memastikan Pulau Pinang kekal sebagai hab pelaburan tempatan dan antarabangsa, Kerajaan Negeri sentiasa memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pelaburan di negeri ini.

Malah, terdapat pelbagai perancangan oleh Kerajaan Negeri untuk menarik lebih banyak pelabur dan mengekalkan syarikat yang telah melabur di Pulau Pinang. Antara usaha-usaha tersebut adalah membangunkan taman-taman perindustrian baharu bertaraf antarabangsa melalui PDC. Pembangunan taman-taman perindustrian baharu seperti Taman Teknologi Bandar Cassia (Bandar Cassia Technology Park), Batu Kawan Timur (East Batu Kawan),  Taman Perindustrian Batu Kawan 2 (Batu Kawan Industrial Park 2) dan Taman Sains Pulau Pinang Selatan (Penang Science Park South) sedang giat dirancang, dibangunkan malah dipercepatkan pembinaannya demi memastikan Pulau Pinang mempunyai tanah perindustrian yang mencukupi bagi menampung permintaan para pelabur.

Taman Teknologi Bandar Cassia bakal menawarkan sebanyak 250 ekar tanah perindustrian baharu dan para pelabur dijangka dapat memulakan projek pembinaan kilang mereka di taman perindustrian tersebut dari tempoh 2023 hingga 2025. Taman-taman perindustrian baharu ini akan meningkatkan jumlah kawasan perindustrian melebihi 800 ekar bagi menampung jumlah permintaan tanah perindustrian yang tinggi oleh pelabur asing dan tempatan.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Kembali kepada intipati majlis pada hari ini, PDC telah mengiklankan RFP ini selama dua (2) bulan, iaitu dari 29 September 2022 hingga 29 November 2022. Pada tarikh tutup, PDC telah menerima tawaran daripada tiga (3) buah syarikat dan tawaran-tawaran tersebut telah dibentangkan kepada Lembaga Tawaran PDC dan juga Lembaga PDC.  Akhirnya, tawaran pajakan daripada MY EG Lodging (NC) Sdn. Bhd. diterima dengan syarat-syarat yang disebut oleh Dato’ Aziz sebentar tadi.

Dengan ini, saya berharap bahawa projek ini bukan sahaja dapat membantu dalam pertumbuhan ekonomi negara amnya dan negeri khususnya, tetapi juga dapat menyelesaikan masalah sosial, pencemaran serta budaya kepada penduduk sekitar.

Sebagai penutup kata, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat bagi merealisasikan Projek ‘Worker Village’ ini di BKIP3 dan juga semua yang berusaha untuk menjayakan majlis pada hari ini.

Sekian, terima kasih.

MAJLIS PERASMIAN DEWAN SMK VALDOR  

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PERASMIAN DEWAN SMK VALDOR

 

9 DISEMBER 2023 (SABTU) | 9.30 PAGI

 

SMK VALDOR

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Sebagai pembuka kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput saya bagi menghadiri acara yang bermakna pada hari ini. Saya berasa sungguh gembira kerana dijemput sekali lagi ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Valdor dalam rangka kerja melihat kemajuan dalam Kawasan Parlimen Batu Kawan amnya serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tambun khususnya.

Hadirin sekalian,

Kita berkumpul bersama-sama di SMK Valdor pada hari ini adalah untuk mencakna kebajikan para pelajar demi kelangsungan dan kelestarian anak-anak kita untuk menuntut ilmu dalam keadaan kondusif serta selesa. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan dan pihak pentadbir untuk memastikan keadaan ini berterusan demi pembangunan akademik anak-anak kita.

Seperti yang sedia maklum, sekolah merupakan sebuah platform penting dalam pembentukan akademik serta sahsiah para pelajar. Oleh sebab itu, adalah penting bagi segala prasarana dan kemudahan di sekolah sentiasa dipelihara serta dibaiki dengan segera supaya ia dapat membantu dalam aspek pembangunan pelajar secara keseluruhan. Pendekatan ini adalah selaras dengan aspirasi Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang prihatin dengan keadaan kemudahan di sekolah terutamanya tandas-tandas sekolah. Justeru, sejumlah RM70,000 diperuntukkan kepada setiap sekolah bagi memastikan hasrat berkaitan tercapai.

Dengan semangat cakna terhadap kebajikan dan pembangunan masyarakat Madani, saya juga bersetuju untuk meluluskan peruntukan berjumlah RM100,000 untuk menaik taraf kemudahan dewan di sekolah ini apabila pengetua sekolah pada masa itu memohon kelulusan tersebut ketika saya hadir merasmikan Program EcoSchool Vocational Training pada 22 Julai 2023 yang lalu.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,

Ingin saya tegaskan bahawa pembinaan dewan ini bukan hanya pembinaan sebuah bangunan, tetapi ianya merupakan lambang komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap pembangunan Pendidikan negeri ini. Semoga ruang ini menjadi tempat pertemuan untuk menuntut ilmu, mengilhamkan idea yang bernas dan memupuk semangat untuk mencapai kecemerlangan dalam pelbagai aspek.

Selain daripada penyaluran peruntukan tahunan dan one-off demi penyediaan infrastruktur di sekolah, Kerajaan Negeri juga komited dalam mempelbagaikan serta mentransformasikan bidang pendidikan selaras dengan keperluan pasaran global. Contohnya, Kerajaan Negeri memberikan penekanan terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pelbagai program, pendedahan lepasan sekolah kepada program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), menyalurkan bantuan kewangan pendidikan kepada anak-anak yang berjaya memasuki institusi pendidikan tinggi (IPT) terpilih dan banyak lagi.

Terkini, sebagaimana dinyatakan di dalam Manifesto Perpaduan 2023, sumbangan komputer riba percuma kepada pelajar dari golongan B40 yang memperoleh tawaran ke institusi pendidikan tinggi (IPTA) juga dalam perancangan untuk dilaksanakan. Adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya anak-anak di negeri ini terus menjadi sebuah masyarakat yang berilmu dan kompeten demi pembangunan bangsa di negara ini.

Selaras dengan gagasan Visi Penang2030, usaha berterusan daripada pihak Kerajaan Negeri telah membuktikan bahawa pentadbiran hari ini tidak pernah leka dan tidak pernah meminggirkan mana-mana individu terutamanya generasi muda yang menjadi intipati penting dalam inisiatif pembangunan Pulau Pinang. Lazimnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada hari ini senantiasa memastikan setiap daripada rakyat Pulau Pinang sentiasa terbuka kepada peluang serta ruang untuk menuntut ilmu sekaligus membantu negara mencapai tahap sifar keciciran.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Kembali kepada rencana kita pada hari ini, jika berlaku kejadian yang tidak diingini seperti banjir yang berpanjangan, dewan ini juga boleh dijadikan tempat penempatan sementara oleh penduduk di kawasan ini. Sehingga kini, saya bersyukur kerana Pulau Pinang amat bernasib baik kerana walaupun dalam musim tengkujuh pada kali ini, negeri ini masih dipelihara daripada kejadian banjir yang teruk walaupun mengalami hujan hampir setiap hari.

Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat dalam pembinaan dewan ini. Maka dengan itu saya dengan rendah diri merasmikan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Valdor pada hari ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang