MAJLIS PERASMIAN ‘PERARAKAN CHINGAY KE-13’ TAHUN 2023
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YANG AMAT BERHORMAT TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PERASMIAN ‘PERARAKAN CHINGAY KE-13’ TAHUN 2023
23 DISEMBER 2023 (SABTU) | 7.15 PETANG
PADANG MBSP, BUTTERWORTH
Terima kasih kepada saudara/i Pengacara Majlis.
YB Wong Hon Wai
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif
Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
YBrs. Saudara Lay Hock Peng
Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri
Barisan media; Tuan-tuan dan Puan-puan dan hadirin yang dihormati sekalian,
Terlebih dahulu, saya ingin mengajak semua memanjatkan rasa syukur kerana diberikan kesempatan untuk kita berkumpul bersama-sama pada hari yang berbahagia ini. Seperti tahun sebelum ini, saya amat berbesar hati kerana berpeluang merasmikan Perarakan Chingay Ke-13 pada tahun ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Walaupun sambutan ini asalnya diraikan oleh masyarakat berketurunan Cina, namun saya percaya bahawa keraian ini merupakan antara hari yang kita semua nanti-nantikan tanpa mengira bangsa dan agama kerana warna-warni kemeriahan serta keunikan perarakan Chingay telah menarik perhatian bukan hanya rakyat Malaysia malah juga pelancong dari luar negara secara keseluruhan.
Ingin saya kongsikan bahawa saya berasa amat bangga memerhatikan nilai perpaduan, hormat-menghormati dan semangat Malaysia Madani yang ditonjolkan oleh rakyat Pulau Pinang dalam meraikan kepelbagaian perayaan daripada pelbagai latar belakang budaya. Saya percaya, dengan penganjuran majlis-majlis seperti ini, ia bukan sahaja dapat memanfaatkan rakyat dalam aspek perkongsian budaya, malah sekaligus dapat menjadi titik semangat toleransi dalam usaha melahirkan sebuah tamadun yang berminda kelas pertama. Inilah antara salah satu matlamat tersirat yang boleh diperoleh melalui penganjuran acara pada malam ini.
Tanpa sedar, tahun ini merupakan tahun ke-104 Perarakan Chingay telah berlangsung di Pulau Pinang. Berdasarkan data dari Pemetaan Budaya oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perarakan Chingay yang pertama di Pulau Pinang adalah pada tahun 1919 dan ianya menjadi satu keistimewaan kepada negeri ini.
Sebagai Ketua Menteri, saya amat bersyukur dan berbangga apabila menyaksikan sambutan seperti ini masih diamalkan malah dipromosikan saban tahun oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di samping usaha-usaha yang berterusan daripada pihak swasta dan badan bukan Kerajaan (NGO). Terima kasih dan syabas saya ucapkan.
Hadirin yang dikasihi,
Kita amat bertuah kerana Penganjuran Perarakan Chingay pada tahun ini disertai oleh 32 pasukan yang terdiri daripada lebih 1,000 individu yang akan berarak sepanjang 4.6 kilometer (km). Saya difahamkan bahawa perarakan membawa bendera yang berwarna-warni akan bermula daripada Padang Pemuda Merdeka ini sehingga ke Kuil Tow Boo Kong. Saya percaya perarakan ini akan menarik perhatian penduduk setempat serta para pelancong lebih-lebih lagi apabila musim cuti sekolah telah bermula, dan Pulau Pinang sudah menerima kebanjiran pelancong sejak bermulanya musim cuti sekolah ini.
Saya tidak berhasrat untuk berucap dengan lebih Panjang kerana saya juga teruja untuk menyaksikan perarakan ini. Sebagai penutup kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pejabat PETACE di bawah seliaan YB Wong Hon Wai serta semua yang telah menyumbang tenaga, masa dan idea dalam menganjurkan Perarakan Chingay pada tahun ini. Semoga budaya ini terus dipelihara bak peribahasa Melayu, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Perarakan Perayaan Chingay Ke-13 Tahun 2023.
Sekian, terima kasih.