MAJLIS MAKAN MALAM PDC 2024
TEKS UCAPAN PERASMIAN
KETUA MENTERI PULAU PINANG
YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS MAKAN MALAM PDC 2024
2 FEBRUARI 2024 (JUMAAT) | 7.40 PM
SPICE CONVENTION CENTRE
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan jawatankuasa yang terlibat dalam memastikan kelancaran Majlis Makan Malam PDC 2024 pada malam yang bahagia ini.
Pada malam ini, secara peribadinya saya berasa amat terharu dan sukacita kerana berpeluang untuk bersama-sama dengan keluarga besar PDC bagi meraikan pencapaian cemerlang yang telah dikecapi dalam tahun 2023.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Seperti semua sedia maklum, Pulau Pinang telah mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan yang amat membanggakan iaitu sebanyak RM44.9 bilion merentasi pelbagai sektor merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama setakat suku ketiga iaitu dari Januari hingga September bagi tahun 2023.
Malah, Pulau Pinang sekali lagi membuktikan peranannya sebagai sebuah negeri yang mampu menarik minat pelabur sama ada yang baharu atau sedia ada dengan aliran masuk pelaburan sebanyak RM34.6 bilion daripada sektor pembuatan bersamaan peningkatan sebanyak 421 peratus. Pertumbuhan luar biasa itu didorong terutama oleh pelaburan langsung asing yang menyumbang sebanyak RM33 bilion atau 95 peratus daripada aliran masuk pelaburan pembuatan di Pulau Pinang.
Mengambil kesempatan ini, saya ingin mengimbas kembali pencapaian Pelan Strategik lima (5) tahun PDC yang bermula dari tahun 2019 sehingga tahun 2023 dengan skor keseluruhan tercatat 91.52 peratus yang meliputi sebanyak 118 projek.
Melangkah ke hadapan, saya sedia maklum bahawa PDC juga telah merangka pelan strategik baharu dari tahun 2024 sehingga tahun 2028 iaitu fokus utama teras strategik yang bakal diberi perhatian adalah berpaksikan LABS (Land Innovation, Asset Innovation, Business Sustainability dan Smart Professional). Ia akan menjadi panduan serta hala tuju PDC bagi tempoh lima (5) tahun akan datang.
PDC LABS terdiri daripada empat (4) teras utama dan 15 strategi yang mana implimentasi strategi dirangka diyakini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri Pulau Pinang yang lestari dan pembangunan fizikal mampan ke arah mencapai gagasan Visi Penang 2030.
Di bawah teras Land Innovation, fokus utama PDC adalah bagi meningkatkan bilangan bank tanah dan meneroka tanah strategik baharu bagi tujuan perindustrian, komersial dan kediaman yang disokong oleh infrastruktur berkualiti tinggi serta ekosistem rancangan induk mampan. Dalam pada itu, teras Asset Innovation pula memfokuskan kepada peningkatan hartanah PDC bagi memastikan pendapatan berterusan kepada PDC.
Bagi Business Sustainability, PDC dalam usaha memastikan perniagaan dijalankan dengan mampan dan lestari. Ia melibatkan pengurusan sumber daya dengan teliti supaya perniagaan dapat terus berkembang dan menyumbang kepada keuntungan kewangan serta memberi kesan positif kepada peningkatan ekonomi, tanggungjawab sosial dan alam sekitar. Yang terakhir iaitu di bawah teras Smart Professional, aspek pembangunan modal insan dititikberatkan dengan memastikan setiap warga PDC mempunyai kombinasi kecerdasan, kebolehan, ketekunan dan profesionalisme dalam bidang kerja atau kepakaran serta pelaksanaan proses dengan menitikberatkan komponen Sustainable Development Goals dan ESG.
Hadirin sekalian,
Pada tahun 2023, PDC telah mencapai prestasi yang sangat cemerlang iaitu 95.7 peratus dan prestasi perbelanjaan pada kadar 86 peratus dengan surplus sebenar sejumlah RM67 juta berbanding surplus bajet sejumlah RM15 juta. Pencapaian PDC telah melebihi sasaran ditetapkan pada 85 peratus malah telah mencapai markah prestasi pada 95.77 peratus bagi tahun 2023.
Dengan ini, adalah menjadi harapan saya agar PDC terus memainkan peranannya sebagai ‘game changer’ di Pulau Pinang dengan menerajui pembangunan sosio-ekonomi negeri secara menyeluruh meliputi aspek pelaburan, perindustrian, pembangunan tanah, rumah mampu milik dan juga tanggungjawab sosial dalam memastikan tiada pihak yang tertinggal dalam arus pembangunan negeri.
Hadirin sekalian,
Sebelum mengakhiri ucapan pada petang ini, saya berharap seluruh warga kerja PDC dapat terus mengekalkan ikatan kerjasama dan keharmonian dalam organisasi dengan baik. Bulatkan tekad serta iltizam untuk terus memperkasakan komitmen demi memacu kecemerlangan PDC sebagai sebuah organisasi yang disegani bukan sahaja di Pulau Pinang malah di seluruh Malaysia.
Sekalung penghargaan di atas komitmen dan titik peluh yang dicurahkan sepanjang tahun 2023. Jasa anda adalah tidak ternilai harganya kepada saya dan juga Pulau Pinang. Bersama-sama kita bergerak seiringan demi memantapkan lagi kedudukan PDC ke arah kegemilangan.
Sekali lagi, tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa Majlis Makan Malam PDC 2024 serta semua yang terlibat. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Makan Malam PDC 2024 yang bertemakan Oscar Night dengan tangline Vogue & Vibrant!
Sekian, terima kasih.