MAJLIS PENYAMPAIAN BAUCAR PROGRAM CERIA KE SEKOLAH TNB BERSAMA ADUN PADANG KOTA

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN BAUCAR PROGRAM CERIA KE SEKOLAH TNB
BERSAMA ADUN PADANG KOTA

2 MAC 2024 (SABTU) | 11 PAGI |
LEE SIH CHONG SOO @ LEE KONGSI
---------------------------------------------------------------------

Encik Lau Keng Ee,
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang

Dato Ismail Lathifi bin Teh
Pengurus Besar TNB Pulau Pinang

Ir. Anan a/l Eyam
Ketua Zon Aset TNB Pulau Pinang

Datin Ratnawati Bt. Mat Jusuk
Pengurus Kanan TNB Pulau Pinang

Benji Ang Ming Quan
Ahli Majlis MBPP

Datuk Haji Abdul Razak Bin Abdul Rahman
Ahli Majlis MBPP

Selamat pagi, Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua yang menghadiri Majlis Penyampaian Baucar Program Ceria Ke Sekolah TNB Bersama ADUN Padang Kota pada pagi yang mulia ini.

Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana berjaya menyambung tradisi secara konsisten untuk menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat melalui pelbagai bentuk program yang telah dan bakal dilaksanakan.

Saya dimaklumkan bahawa sejak lapan tahun lalu, TNB tanpa gagal telah menceriakan anak-anak sekolah menerusi sumbangan pelbagai peralatan persekolahan menerusi Program Ceria Ke Sekolah yang secara tidak langsung turut membuktikan pihak berkaitan adalah seiringan dengan Kerajaan Negeri ke arah merealisasikan gagasan Visi Penang2030 sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Sebagaimana diketahui umum, Kerajaan Negeri senantiasa prihatin terhadap bidang pendidikan demi memperkasakan pembangunan modal insan di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri sedar bahawa modal insan bukan sahaja menjadi aset penting kepada negeri Pulau Pinang malah juga untuk pembangunan negara secara keseluruhannya. Oleh itu, anak-anak muda kita perlu dimantapkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta nilai-nilai keinsanan. Bagi maksud tersebut, Kerajaan Negeri tidak pernah alpa dalam memberi sokongan dan menyalurkan peruntukan tahunan kepada Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Mubaligh, Sekolah Cina dan Sekolah Tamil di seluruh negeri ini.

Malah, sebagaimana dinyatakan di dalam Manifesto Perpaduan 2023, Kerajaan Negeri akan memastikan percambahan modal insan di Pulau Pinang terus diperkasa menerusi:-

>> Peruntukan RM60 juta untuk sekolah bantuan menjelang tahun 2030;

>> Penyaluran bantuan kewangan dan biasiswa kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA dan IPTS);

>> Mewujudkan tuisyen percuma kepada 1,500 pelajar setiap tahun dengan tumpuan diberikan kepada golongan B40;- serta

>> menyumbangkan komputer riba percuma kepada pelajar dari golongan B40 yang memperoleh tawaran ke IPTA.

Para hadirin sekalian,

Kerajaan Negeri umumnya sedar bahawa terdapat sebahagian masyarakat yang kurang berkemampuan dalam menyediakan kemudahan kepada anak-anak untuk ke sekolah. Namun, hal ini tidak boleh dijadikan alasan untuk kita mengabaikan pendidikan anak-anak muda kita. Oleh itu, usaha perlu dipergiatkan lagi menerusi kerjasama pelbagai pihak dalam menyediakan akses pendidikan serta penyediaan bantuan kepada anak-anak muda.

Demi meringankan beban golongan yang memerlukan di kawasan Padang Kota pula, Pusat Khidmat ADUN Padang Kota bersama TNB mengambil inisiatif ini bagi membantu kira-kira 100 pelajar menerusi pemberian baucar bernilai RM200 untuk membeli kelengkapan sekolah sebagai persiapan memulakan sesi persekolahan tahun 2024/2025.

Saya difahamkan bahawa program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB yang sebelum ini dikenali sebagai ‘Back To School’ menyasarkan untuk menghulurkan bantuan kepada golongan B40 di seluruh negara.

Di sini, saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Dato’ Haji Ismail Lathifi bin Teh, Pengurus Besar TNB Pulau Pinang atas tajaan ikhlas bersempena program pada hari ini dan juga komitmen TNB untuk terus aktif dalam melaksakan CSR.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Kita harus percaya bahawa pendidikan bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan seseorang, tetapi ia juga dapat membantu kita untuk meningkatkan keyakinan diri serta bersifat kompetitif bagi menghadapi cabaran pada masa hadapan.

Adalah menjadi harapan saya untuk melihat anak-anak negeri Pulau Pinang pada satu masa nanti mejadi pelapis pimpinan berkaliber dan boleh menyumbang kembali kepada keluarga dan komuniti masing-masing.

Sebagai penutup kata, saya ucapkan tahniah dan selamat kembali ke sekolah kepada semua pelajar. Semoga sesi persekolahan baru ini membawa pengalaman yang menarik serta dipenuhi kebahagiaan, keberhasilan dan inspirasi.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang