MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN JAWATANKUASA PEMBANGUNAN WANITA DAN KELUARGA & JAWATANKUASA BELIA PULAU PINANG

UCAPAN PERASMIAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA
MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN JAWATANKUASA PEMBANGUNAN WANITA DAN KELUARGA & JAWATANKUASA BELIA PULAU PINANG

3 MAC 2024, AHAD | 2.00 PETANG |
WAWASAN OPEN UNIVERSITY (WOU)

(SALUTASI)

Selamat petang, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur ekoran kejayaan menganjurkan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) dan Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) secara serentak pada hari yang berbahagia ini.

Dalam pada itu, saya juga berasa berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) yang turut hadir memberi sokongan kepada JPWK dan JBPP bagi kawasan mereka masing-masing. Sesungguhnya, kehadiran dan sokongan padu daripada pihak-pihak berkaitan membuktikan kesungguhan kita semua seiring dengan Tema C Visi Penang2030 iaitu ‘Memperkasakan rakyat bagi meningkatkan penyertaan masyarakat’ sekali gus mendokong aspirasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Hari ini, seramai 556 ahli jawatankuasa JPWK dan JBPP (379) bakal menerima watikah pelantikan masing-masing dan secara rasmi berkuat kuasa mulai bulan ini sehingga Disember 2025. Syabas dan tahniah kepada ahli jawatankuasa baharu dilantik dan selamat kembali menjalankan tugas diamanatkan bagi mereka yang pernah mencurah bakti sebagai ahli jawatankuasa sebelum ini. Inilah semangat yang diperlukan dalam memberi khidmat bakti demi manfaat bersama, terutama pada peringkat komuniti setempat. Anda semua merupakan teladan yang baik dalam menggerakkan kepimpinan wanita serta belia ke peringkat yang seterusnya agar keterangkuman dapat dicapai.

Puan-puan dan Tuan-tuan sekalian,

Secara umumnya, sejak diwujudkan pada tahun 2019, peranan JPWK dalam membantu komuniti tidak hanya terhad untuk menyediakan program dan aktiviti semata-mata, tetapi merangkumi peranan yang lebih besar untuk menambat hati, pemikiran serta keterlibatan masyarakat setempat dalam pembangunan wanita dan keluarga. Program serta aktiviti yang dikelolakan oleh JPWK berjaya meningkatkan kapasiti serta kesedaran komuniti tentang sifat keibubapaan, kewangan, kesihatan, ekonomi, keusahawanan, hak asasi kemanusiaan dan sebagainya seterusnya pemerkasaan secara menyeluruh demi kesejahteraan semua.

Manakala untuk JBPP, melalui penubuhan jawatankuasa ini, pembangunan diri secara positif terus dipertingkatkan terutamanya dari segi sahsiah, insaniah, daya saing dan kompeten dan pada masa sama turut memperkasakan komuniti belia setempat. JBPP turut berfungsi sebagai mekanisme formal yang menjadi pemangkin untuk menggerakkan usaha dan inisiatif pembangunan belia di setiap KADUN, termasuklah aspek pendidikan, kemahiran, kepimpinan, keusahawanan, kesukarelawanan, seni dan budaya, gaya hidup sihat serta pemupukan kesejahteraan sejagat yang menginspirasikan penyertaan belia, dari komuniti dan untuk komuniti.

Penubuhan kedua-dua jawatankuasa ini juga adalah selaras dengan gagasan Visi Penang 2030 iaitu “Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara” yang mana baik JPWK mahupun JBPP, kedua-duanya merupakan model yang signifikan dalam pembangunan Pulau Pinang sehingga kini. Teras-teras yang digagaskan dalam visi ini adalah sangat holistik dengan menitikberatkan penambahbaikan dalam pelbagai aspek terutamanya dalam institusi kekeluargaan yang merupakan unit asas dalam masyarakat.

Puan-puan dan Tuan-tuan yang dihormati sekalian,

Kesungguhan dalam memastikan tiada yang terpinggir telah mencetus semangat untuk JPWK dan JBPP melaksanakan pelbagai program pada peringkat akar umbi. Saya difahamkan bahawa lebih daripada 200 program dianjurkan dan lebih 60,000 individu menerima manfaat daripada penganjuran program-program ini.

Malah, tahun lepas, kejayaan demi kejayaan berjaya dikecapi dengan sokongan dari JPWK sebagai contoh rekod melalui ‘Malaysian Book of Records’ (MBOR) untuk pencapaian peserta teramai berzumba pada satu-satu masa. Pencapaian ini bukan sekadar rekod, malah juga membuktikan bahawa wanita berkeyakinan dan berani untuk tampil ke depan dalam khalayak yang dianggarkan kira-kira 10,000 orang. Selain itu, saya turut berbangga dengan iltizam ahli-ahli JPWK yang mana telah merekrut 5,000 peserta untuk menjayakan program ini. Tahniah JPWK!

Saudara dan saudari sekalian,

Mengambil kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan sekalung penghargaan kepada semua yang turut memastikan JPWK dan JBPP terus mengorak langkah dan kekal relevan sehingga ke hari ini. Ini termasuk kepada:-

  • Saudari Lim Siew Khim, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam merangkap ADUN Sungai Pinang yang menjadi pengemudi utama dalam menetapkan hala tuju JPWK;
  • Saudara Gooi Zi Sen, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan yang juga ADUN Padang Lalang sebagai peneraju utama JBPP ke arah pembangunan generasi belia yang dapat memenuhi keperluan semasa;
  • Barisan ADUN dan Penyelaras KADUN yang telah mencalonkan ahli dan sentiasa menyokong pelaksanaan program serta insiaitif Kerajaan Negeri melalui agen pelaksana seperti Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC);
  • Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Pejabat-pejabat Daerah dan jabatan-jabatan berkaitan sebagai jentera pentadbiran serta,
  • PWDC dan PYDC yang mengurus, memantau dan menyelia JPWK dan JBPP.

Sekali lagi, syabas kepada semua ahli jawatankuasa JPWK dan JBPP yang telah dilantik. Semoga tuan-tuan dan puan-puan dapat melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan penuh dedikasi untuk terus menginspirasikan negara. Usaha ini membuktikan semangat kebersamaan kita untuk membawa transformasi ke arah kesejahteraan dan kemakmuran negeri serta rakyat Pulau Pinang.

‘Masyarakat sejahtera dan Makmur, Pulau Pinang Berjaya.
Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang