MAJLIS TAKLIMAT UNTUK PENIAGA DI FESTIVAL RAMADAN 2024 DAN MAJLIS PENYERAHAN APRON UNTUK PENIAGA

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA
MAJLIS TAKLIMAT UNTUK PENIAGA DI FESTIVAL RAMADAN 2024 DAN MAJLIS PENYERAHAN APRON UNTUK PENIAGA DI FESTIVAL RAMADAN PULAU PINANG 2024

10 MAC 2024 (AHAD) | 5 PETANG

DEWAN SERBAGUNA TAPAK PESTA SUNGAI NIBONG

[Salutasi]

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pihak penganjur iaitu Rizunads Creative Production dengan kerjasama pejabat Exco Perdagangan, Keusahawanan dan Pembangunan Luar bandar, Penang Halal International (PHI), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), jabatan-jabatan serta agensi-agensi kerajaan terlibat atas kejayaan menganjurkan Majlis Taklimat Untuk Peniaga Dan Majlis Penyerahan Apron Kepada Peniaga Di Festival Ramadan Pulau Pinang 2024 pada petang yang berbahagia ini.

Umumnya, acara ini dianjurkan tepat pada masanya khususnya dalam menyalurkan maklumat berharga kepada peniaga yang mengambil bahagian dalam festival ini. Dalam pada itu, ia juga merupakan platform bertepatan untuk para peniaga membina hubungan baik serta dapat meluaskan rangkaian dalam komuniti perniagaan.

Sebagai makluman semua, Kerajaan Negeri melalui gagasan Visi Penang 2030 senantiasa memberi tumpuan kepada pembangunan negeri secara keseluruhan. Ini termasuk memastikan kesejahteraan dan peningkatan kualiti hidup rakyat Pulau Pinang secara keseluruhan. Selain daripada membantu memperkasakan rakyat dalam bidang ekonomi dan keusahawanan, Kerajaan Negeri tidak pernah berhenti dalam menyalurkan bantuan kepada pihak-pihak yang memerlukan.

Demi pembangunan umat Islam di negeri ini, Kerajaan Negeri melalui program Nur Ramadan Zakat Pulau Pinang berjaya mengumpulkan kutipan berjumlah RM4,473,200. Daripada jumlah tersebut, RM2,907,800 bantuan tunai telah disumbangkan dan juga sumbangan hamper bernilai RM1,565,400 turut diserahkan kepada mereka yang layak serta memerlukan. Ini termasuk menyantuni seramai 4,154 penerima dalam kalangan asnaf fakir dan miskin.

Hadirin yang saya hormati,

Festival Ramadan Pulau Pinang 2024 yang dianjurkan buat julung kalinya ini diadakan di lokasi yang begitu selesa, terkenal dan strategik untuk para peniaga mencari rezeki sesuai dengan ketibaan Bulan Suci Ramadan al-Mubarak. Lazimnya, Kerajaan Negeri komited menyuntik sokongan untuk pelaksanaan aktiviti-aktiviti yang membawa impak positif kepada pembangunan rohani serta ekonomi yang akan melimpahkan kesejahteraan kepada seluruh rakyat negeri ini khasnya. Oleh itu, saya menyeru supaya kita terus bekerjasama ke arah membina masa depan yang makmur dan mampan bagi melahirkan masyarakat Madani di negeri Pulau Pinang.

Besarlah harapan Kerajaan Negeri dan saya percaya, bersama rakyat Pulau Pinang untuk melihat pelaksanaan festival Ramadan ini mendapat sambutan yang positif. Saya percaya bahawa sambutan bulan Ramadan pada tahun ini akan lebih bermakna dengan kemeriahan Festival Ramadan Pulau Pinang 2024, seperti bazar Ramadan di seluruh Negeri Pulau Pinang yang akan dikunjungi oleh ribuan pengunjung yang ingin mendapatkan hidangan iftar menarik, dan juga persiapan awal untuk sambutan Hari Raya AidilFitri kelak.

Sudah tentu, Festival Ramadan Pulau Pinang 2024 di Tapak Pesta Sungai Nibong akan menjadi tumpuan utama pengunjung bagi rakyat Pulau Pinang tahun ini, dan dengan sejumlah 150 gerai menjual pelbagai juadah makanan, minuman serta barangan pakaian, ia pasti akan mendapat tempat di hati rakyat Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri cuma berharap agar semua pihak sama ada penganjur, peniaga atau pembeli dapat memberikan kerjasama untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh MBPP bagi memastikan keselamatan serta kesihatan awam terus diberi keutamaan. Semoga para peniaga dapat menjalankan perniagaan dengan jujur dan amanah demi kebaikan semua pihak.

Sebagai penutup kata, sekali lagi tahniah diucapkan kepada penganjur dan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran Festival Ramadan 2024. Semoga usaha murni ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang demi kepentingan dan pembangunan bersama.

‘Selamat Menyambut Bulan Ramadan dan Selamat Menjalani Ibadah Puasa’

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang