JELAJAH SAYA DIGITAL@PULAU PINANG

UCAPAN PERASMIAN OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA
JELAJAH SAYA DIGITAL@PULAU PINANG

10 MAC 2024 (AHAD) | 3 PETANG

KOMPLEKS BUKIT JAMBUL, PULAU PINANG

___________________________________________

YB Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong
Timbalan Menteri Digital

YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh
Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)

Ahli – Ahli Jawatankuasa Eksekutif MDEC

Ketua-ketua Jabatan Agensi Kerajaan dan Swasta

Rakan - rakan strategik, rakan-rakan media serta Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

Salam sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong, Timbalan Menteri Digital kerana sudi berkunjung ke Pulau Pinang bagi menjayakan majlis hari ini.

Tidak lupa juga untuk saya mengucapkan ribuan terima kasih serta tahniah kepada Yang Berhormat Tuan Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bersama pasukannya yang berjaya menganjurkan Jelajah Saya Digital @ Pulau Pinang di Kompleks Bukit Jambul pada hari ini.

YB Timbalan Menteri dan hadirin yang dihormati sekalian,

Umumnya, kita semua telah didedahkan dengan teknologi digital dan walaupun penggunaan ia sebenarnya memudahkan urusan kerajaan, sektor swasta, penyedia pelbagai perkhidmatan dan pengguna seharian, namun, masih ada lagi jurang digital yang menyebabkan kumpulan tertentu ketinggalan dengan perubahan teknologi moden, termasuk rakyat di negeri ini.

Jurang pengaplikasian teknologi moden bukan saja melibatkan akses kepada peranti digital dan rangkaian internet, tetapi juga termasuk kemahiran serta pengetahuan untuk mengguna pakai teknologi digital secara efektif. Inilah merupakan salah satu faktor yang menyebabkan ada golongan yang kurang mendapat pendedahan dalam sektor ekonomi, pendidikan dan kesihatan.

Saudara dan Saudari sekalian,

Kerajaan Negeri Pulau Pinang lazimnya telah mengenal pasti permasalahan tersebut dan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan setiap rakyat di negeri ini didedahkan dengan ilmu serta kemahiran penggunaan teknologi tidak kira dalam penggunaan peranti atau aplikasi dalam talian supaya jurang ini boleh dikecilkan dalam tempoh saya berkhidmat sebagai Ketua Menteri di negeri ini.

Dengan ini, saya menyeru, sebagai sebuah Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu bersama-sama berganding bahu dalam memastikan setiap individu dan rakyat mempunyai akses sama kepada perkembangan teknologi digital. Ini termasuklah usaha-usaha penyediaan infrastruktur digital yang mencukupi, memberikan latihan dan pendidikan digital kepada golongan memerlukan serta memastikan bahawa teknologi digunakan secara menyeluruh untuk kepentingan semua lapisan masyarakat.

Dengan inisiatif MDEC untuk mengatasi jurang digital, kita bukan sahaja dapat memastikan kesaksamaan akses kepada peluang dan maklumat, tetapi juga membuka pintu kepada pembangunan mampan dan inklusif selari dengan Visi Penang2030 yang beraspirasi melahirkan sebuah Negeri yang Pintar dan Hijau, Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Seperti yang diketahui umum, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan agensi Digital Penang untuk meningkatkan inisiatif pendigitalan dalam negeri. Selain daripada menganjurkan bengkel dan kelas-kelas dalam usaha mendedahkan masyarakat berhubung penggunaan aplikasi teknologi komunikasi dan media sosial, Digital Penang juga berperanan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membangunkan keusahawan digital (startups) serta membimbing perniaga kecil dan sederhana untuk menggunakan teknologi digital terkini bagi menaik taraf kegiatan komersial mereka.

Malah, melalui usaha Digital Penang, baru-baru ini Pulau Pinang telah memenangi pengiktirafan StartupBlink (iaitu sebuah pusat penyelidikan startups di Switzerland), sebagai “Outstanding Ecosystem among Medium-Sized Population Cities in Southeast Asia 2023”.

YB Timbalan Menteri dan hadirin yang dihormati,

Menerusi Kempen Saya Digital MDEC, saya berasa bangga untuk berkongsi kisah kejayaan dua anak jati Pulau Pinang yang telah mengikuti program – program anjuran MDEC. Kisah ini boleh dijadikan contoh kerana mereka telah berjaya menggapai kejayaan hasil daripada keazaman mereka untuk menimba ilmu digital.

Kisah pertama adalah saudari Hanna Hang Cheok Ai iaitu seorang anak jati kelahiran Bukit Mertajam yang memiliki perniagaan produk berasaskan rotan secara dalam talian sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020. Selepas menyertai program eUsahawan pada tahun 2023, saudari Hannah Hang telah mempelajari dengan lebih mendalam tentang penggunaan platform digital. Usahanya telah membuahkan hasil apabila jualan barangan jenama ‘The Rattan House’ miliknya menerusi platform digital telah menunjukkan peningkatan sehingga 48 peratus.

Dalam pada itu, Saudari Hanna Hang turut berjaya menarik minat agensi-agensi korporat untuk mempromosikan jenamanya sehingga menembusi ke pasaran antarabangsa seperti Singapura dan United Kingdom. Syabas!

Kisah yang kedua pula ialah Saudari Agnes Chin yang berasal dari Air Itam, Pulau Pinang. Saudari Agnes Chin telah mengikuti program ‘GLOW’ iaitu GLOBAL ONLINE WORKFOCE. Program ini bertujuan untuk mengasah bakat, kemahiran dan pengetahuan peserta hingga berjaya menjadi freelancer digital. Beliau menyertai program GLOW dan telah menawarkan beberapa kepakarannya dalam perkhidmatan transkripsi, penulisan akademik, penyelidikan, penulisan laporan malah beliau turut mahir dalam bidang rekaan grafik.

Sejak menyertai GLOW pada Oktober 2020, beliau telah berjaya meraih purata pendapatan antara RM3,000 sehingga RM5,000 sebulan, dengan hanya bekerja dari rumah. Kedua-dua wanita hebat ini wajar dijadikan contoh kepada semua yang ingin meraih pendapatan tambahan, dengan hanya menyertai program-program anjuran MDEC bersesuaian dengan minat masing-masing.

Sebelum mengakhiri ucapan, saya mengambil peluang ini untuk menggalakkan agar lebih ramai rakyat Pulau Pinang mengambil peluang dengan menyertai program, ‘Saya Digital’ ini kerana ia terbukti dapat membantu para usahawan khususnya untuk mengembangkan perniagaan serta menambah pendapatan melalui platform-platform digital yang disediakan oleh MDEC khususnya.

Sekali lagi, saya ucapkan terima kasih atas kesudian YB timbalan menteri bertandang ke negeri ini, dan sekalung penghargaan diucapkan kepada Kementerian Digital dan MDEC atas penganjuran Program Jelajah Saya Digital @ Pulau Pinang pada hari ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang