MAJLIS PEMBUKAAN BAZAR RAMADAN ANJURAN LIGA MUSLIM PULAU PINANG
\
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PEMBUKAAN BAZAR RAMADAN ANJURAN
LIGA MUSLIM PULAU PINANG
12 MAC 2024 (SELASA) | 6 PETANG
LEBUH QUEEN, GEORGE TOWN
YBhg. Dato' Haja Najmudeen Kader
Presiden Liga Muslim Pulau Pinang
YBhg. Dato’ Dr. Shahul Hamid
Timbalan Liga Muslim Pulau Pinang
Saudara Jamil Ghani
Pengerusi Bazaar Ramadhan merangkap ketua pemuda Liga Muslim Pulau Pinang
Saudara Md. Nor
Setiausaha Kehormat Liga Muslim Pulau Pinang
Para peniaga, rakan-rakan media serta hadirin yang dihormati sekalian.
Salam Sejahtera, Salam Penang 2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Liga Muslim Pulau Pinang kerana menjemput saya untuk bersama-sama hadir pada hari ini. Boleh dikatakan, Majlis Pembukaan Bazar Ramadan anjuran Liga Muslim Pulau Pinang merupakan acara tradisi yang wajib saya hadiri pada hari pertama di bulan Ramadan setiap tahun sepanjang saya berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota di negeri ini.
Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada pertubuhan berkaitan kerana kali ini merupakan tahun ke-20 penganjuran Bazar Ramadan di Lebuh Queen. Saya dimaklumkan bahawa bazar ini dapat diadakan dengan mengumpulkan peniaga-peniaga makanan serta para pengusaha restoran yang ikonik dengan budaya dan tarikan grastronomi di Pulau Pinang, khususnya mereka yang menjalankan perniagaan di kawasan sekitar Padang Kota ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Suka untuk saya umumkan bahawa bazar ini akan beroperasi sepanjang bulan Ramadan bermula pada jam 2 petang sehingga 8 malam dengan 25 gerai yang menawarkan pelbagai makanan seperti murtabak, kuih-muih tradisional, manisan, lauk-pauk dan bermacam lagi aneka juadah yang mampu membuka selera para pengunjung yang bertandang.
Dengan lokasi Lebuh Queen yang strategik, dibuktikan dengan limpahan pelancong dari dalam dan luar negara, pelaksanaan Bazar Ramadan ini juga merupakan salah satu cara untuk mempromosikan sektor pelancongan di negeri ini. Kawasan ini terkenal dengan kebanjiran pelancong untuk menikmati kekayaan budaya tidak terhad kepada seni bina bangunan serta tradisi, malah juga kepelbagaian makanan yang dinikmati oleh masyarakat Pulau Pinang. Bazar Ramadan yang berlangsung ini sekaligus mampu membuka peluang perniagaan tambahan kepada para pengusaha khususnya pengusaha makanan yang ada di sekitar kawasan ini.
Sebagai ADUN kawasan dan juga Ketua Menteri, saya amat berbangga dengan segala inisiatif dan usaha yang dilaksanakan oleh Liga Mulim Pulau Pinang dalam membantu Kerajaan Negeri memperkasakan rakyat di negeri ini sama ada dalam sektor ekonomi, pendidikan mahupun sosial. Saya berharap lebih banyak pertubuhan tampil ke hadapan untuk bersama-sama Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan pembangunan negeri yang seimbang.
Dengan ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada para peniaga supaya menjalankan perniagaan dengan jujur, amanah dan sentiasa mengutamakan kebersihan demi keselamatan bersama. Kepada para pengunjung, saya ingin mengingatkan supaya tidak terlalu mengikut nafsu dan boros dalam perbelanjaan kerana khuatir ianya akan berakhir dengan pembaziran makanan.
Saya tidak berhasrat untuk berucap dengan lebih panjang, dengan ini saya sukacitanya merasmikan Bazar Ramadan Liga Muslim Pulau Pinang Ke-20 dan Salam Ramadan al-Mubarak daripada saya dan juga barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Sekian, terima kasih.