PERASMIAN BAZAAR RAMADAN PRANGIN MALL 2024

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA PERASMIAN BAZAAR RAMADAN PRANGIN MALL 2024

 

15 MAC 2024 (JUMAAT) | 4.30PM

 

PRANGIN MALL

 

 

Terima kasih saudara/i Pengacara Majlis

YBrs. Encik Uu Ban Lee

Pengerusi Penganjur Bazaar Ramadan Prangin Mall

YB Teh Lai Heng

ADUN Komtar

YBrs. Encik Chan Chun Keat

Pengurus Besar ADABI

Encik Aznan bin Haji Abdul Mutaliff

Pengerusi Masjid Jamek Perangin

Para peniaga Bazar Ramadan, rakan-rakan media serta Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Salam Ramadan Al Mubarak kepada semua.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Prangin Mall – JMB atas jemputan sempena Majlis Pelancaran Bazaar Ramadan Tahun 2024 yang dianjurkan buat tahun ketiga pada petang yang berbahagia ini.

Mengambil kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pengerusi penganjur, Encik Uu Ban Lee bersama-sama pasukan beliau di Prangin Mall yang telah memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan bazar Ramadan terbesar di George Town pada tahun ini dapat diadakan dengan jayanya. Usaha gigih ini bukan sahaja membuktikan semangat keusahawanan, malah juga intipati perpaduan yang utuh dalam kalangan masyarakat di Pulau Pinang.

Hadirin yang dihormati,

Saya dimaklumkan bahawa bazar Ramadan yang terletak di konkos Prangin Mall ini menempatkan keseluruhan 80 gerai yang menjual pelbagai jenis makanan untuk umat Islam berbuka puasa antaranya pelbagai aneka lauk pauk, kuih-muih tradisio­nal dan moden serta pelbagai lagi jenis makanan dan minuman yang meriah dipromosikan.

Seperti semua sedia maklum juga, bazar Ramadan merupakan satu tradisi unik yang hanya dianjurkan pada bulan mulia ini sahaja. Selain menjual pelbagai juadah, ia juga memberi peluang kepada pelbagai kaum yang ada di negara kita serta pelancong luar untuk sama-sama mengenali budaya dan cara hidup bermasyarakat di sini.  Ini terbukti apabila kita dapati ramai orang bukan Islam termasuk pelancong asing turut mengunjungi dan memeriahkan bazar-bazar Ramadan yang terdapat di Malaysia.

Umumnya, bulan Ramadan merupakan salah satu tonggak penting dalam usaha mengeratkan hubungan silaturrahim dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama khususnya di Pulau Pinang yang secara tidak langsung boleh menjernihkan isu-isu sensitiviti kaum serta agama.

Jalinan kesemua faktor ini adalah amat penting bagi menjamin hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke arah Visi Penang2030 yang mementingkan nilai kekeluargaan di samping membangunkan negeri ini sebagai sebuah negeri yang pintar dan hijau serta memberikan inspirasi kepada negara.

Oleh yang demikian, saya amat berharap agar semua pihak sama ada penganjur, peniaga mahupun pembeli dapat memberikan kerjasama untuk mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi memastikan kesihatan awam terus diberikan keutamaan.

Sebagai penutup kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada Prangin Mall dan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran bazaar Ramadan pada tahun ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang