MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI 2024 KADUN BUKIT TAMBUN
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI 2024
KADUN BUKIT TAMBUN
20 APRIL 2024 (SABTU) | 10.45 PAGI
JETI BATU MUSANG,
BATU KAWAN
Terima kasih saudara/i pengacara majlis.
Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak
Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang
Yang Berhormat Goh Choon Aik
ADUN Bukit Tambun merangkap tuan rumah majlis pada hari ini
Yang Berbahagia Dato’ Seri Sr. Rozali Mohamud
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal TYT Pulau Pinang
Yang Berbahagia Dato’ Seri-Dato’ Seri / Datin Seri-Datin Seri / Dato’-Dato’ dan Datin-Datin
Yang Berusaha barisan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Seberang Perai
Yang Berusaha Khairulnizam Hashim
Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Seberang Perai Selatan
Yang Berusaha barisan Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kerajaan
Rakan-rakan media, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
Salam Sejahtera, Salam Penang 2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Pulau Pinang secara umumnya dan para hadirin di sini khasnya di hari Syawal yang ke-11 ini.
Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak kerana sudi untuk bersama-sama kita dalam majlis pada hari ini. Sesungguhnya, kami amat hargai dan bersyukur dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun untuk bersama-sama rakyat jelata di Parlimen Batu Kawan dan secara spesifik, DUN Bukit Tambun pada hari ini.
Tuan Yang Terutama Tun serta sidang hadirin yang saya hormati,
Setelah sebulan berpuasa, umat Islam akhirnya menyambut hari kemenangan apabila gema takbir berkumandang yang menandakan tibanya 1 Syawal. Saya sendiri berkesempatan untuk merasai pengalaman di bulan Ramadan dengan menghadiri program-program berbuka puasa, memasak serta mengedar bubur lambuk dan sebagainya, malah tidak ketinggalan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama para pemimpin dan rakyat jelata sehingga ke hari ini.
Jujurnya, saya amat bersyukur dan terharu menyaksikan betapa rakyat di Pulau Pinang menjunjung semangat perpaduan dan kasih sayang dengan menyambut pelbagai perayaan bersama-sama tanpa mengira latar belakang kaum serta agama. Selain janji saya sebagai seorang Ketua Menteri untuk memastikan seluruh rakyat Pulau Pinang hidup dalam keadaan yang selesa, adalah menjadi harapan saya juga supaya negeri ini menjadi contoh terbaik dalam mengaspirasikan semangat perpaduan, toleransi, hormat-menghormati dan mengutamakan nilai kekeluargaan sebagaimana digariskan dalam Visi Penang2030
Tuan Yang Terutama Tun serta sidang hadirin yang saya sayangi,
Hari ini, kita berada di Jeti Batu Musang yang menjadi jeti penghubung antara Pulau Aman dan tanah besar. Malah, saya difahamkan terdapat nelayan-nelayan dari Pulau Aman menjalankan aktiviti menangkap ikan dan menjual hasil kepada peraih yang bertapak di Bukit Tambun. Daerah Seberang Perai Selatan secara umumnya merupakan lokasi industri akuakultur terbesar yang menyumbangkan sebanyak 65 peratus hasil laut di Pulau Pinang.
Pada tahun lalu, seramai 309 penternak ikan dan udang dari daerah Seberang Perai Selatan telah mencatatkan nilai ternakan sebanyak 39,364 metrik tan yang bernilai lebih RM654 juta. Saya memuji usaha-usaha para nelayan serta pengusaha yang mencari alternatif baharu dalam usaha meningkatkan hasil laut yang merupakan salah satu aspek amat penting dalam menangani isu keterjaminan makanan yang kini menjadi kerisauan sehingga di peringkat global.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang memandang serius isu ini, maka melalui Manifesto Perpaduan 2023, Kerajaan Negeri dalam perancangan untuk mewujudkan zon akuakultur baharu bagi menggalakkan penternakan kerang, ikan, ketam nipah dan tiram dalam usaha mempelbagaikan sumber pendapatan kepada golongan nelayan. Saya pasti, Exco yang bertanggungjawab iaitu YB Fahmi Zainol kini sedang bekerjasama dengan agensi-agensi yang terlibat bagi memastikan manifesto ini menjadi kenyataan demi kemakmuran rakyat di Pulau Pinang.
Saya berharap dengan berbaki beberapa tahun saya menjadi nakhoda kepada pentadbiran negeri ini, usaha ini dapat membawa impak positif kepada pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat Pulau Pinang secara keseluruhannya, sama ada dalam jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang.
Saya tidak merancang untuk berucap lebih panjang, namun izinkan saya mengakhiri ucapan ini dengan serangkap pantun.
Menyambut raya di Jeti Batu Musang,
Menyambung silaturahim, bertegur sapa,
Enak sungguh ketupat dan rendang,
Puasa enam jangan dilupa.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Sekian, terima kasih.