‘OBS BALIK KAMPUNG RUN 2024”

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA
‘OBS BALIK KAMPUNG RUN 2024”

21 APRIL 2024 (AHAD) ; 7 PAGI
LEBUH PANTAI
________________________________________

(SALUTASI)

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Pagi ini, saya amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama anda semua berkumpul di sini bersempena penganjuran ‘OBS Balik Kampung Run 2024’.

Mewakili seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’ kepada semua. Malah, mengambil kesempatan ini juga, sekalung penghargaan dan ucapan tahniah kepada 1,500 peserta yang turut serta dalam acara yang cukup istimewa ini. Terima kasih atas sokongan memberangsangkan ini!

Hadirin sekalian,

Sukan adalah sebahagian daripada agenda negeri dalam merealisasikan Visi Penang2030. Oleh itu, saya memuji usaha dan komitmen semua pihak termasuk pihak penganjur dalam menjayakan acara larian pada pagi ini. Bukan sahaja dapat menyemarakkan perpaduan dalam kalangan peserta tetapi juga menjadi wadah penting dalam usaha membentuk sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Marilah sama-sama kita jadikan acara sukan berkonsepkan kekeluargaan ini sebagai medan untuk kita saling mengenali, hormat menghormati dan perkukuhkan keharmonian sepertimana teguhnya Jambatan Pulau Pinang. Sematkan semangat ‘LOVEPenang’ di dada agar kita sama-sama dapat mengharungi pelbagai cabaran demi membina negeri Pulau Pinang yang berdaya tahan, maju serta progresif, diadun pula dengan citra masyarakatnya yang penyayang.

Selaras dengan Visi Penang2030 juga, saya percaya acara ‘OBS Balik Kampung Run 2024’ ini bakal menawarkan peluang serta pengalaman kepada anda semua untuk menikmati suasana hujung minggu dengan aktiviti santai di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town. Diharapkan juga acara ini dapat memperkenalkan keindahan Pulau Pinang kepada pelancong luar khasnya dalam merancakkan lagi industri pelancongan negeri.

Saudara dan saudari sekalian,

Berbekalkan semangat Hari Raya Aidilfitri yang memasuki hari ke-12 hari ini, saya berharap aktiviti fizikal seperti acara larian sebegini menyerlahkan lagi komitmen kita semua untuk menjalani gaya hidup aktif dan sihat. Kajian National Health & Morbidity Survey (NHMS) pada 2019 melaporkan satu dalam setiap dua orang dewasa berumur 18 tahun ke atas di Pulau Pinang mengalami sama ada masalah berlebihan berat badan atau obesiti yang mana sebanyak 24.7 peratus wanita mengalami obesiti berbanding lelaki (15.3 peratus). Laporan NHMS bagi tahun 2022 pula, mendapati satu daripada empat wanita di Pulau Pinang mengalami diabetes semasa hamil. Oleh itu, perubahan gaya hidup yang sihat adalah amat penting agar kita kekal sihat, aktif dan mampu menjalani rutin harian dengan lebih baik.

Hadirin sekalian,

Sebagai penutup kata, mengambil kesempatan ini juga, suka saya mengingatkan kepada semua peserta untuk sentiasa peka akan persekitaran dan sentiasa mengutamakan keselamatan diri masing-masing untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak terduga berlaku semasa larian. Kepada ibu bapa yang membawa anak-anak kecil, awasilah pergerakan anak-anak setiap masa dan sentiasa memastikan mereka selamat.


Marilah sama-sama kita jadikan acara ‘OBS Balik Kampung Run 2024’ sebagai lembaran baharu untuk kita menjalani kehidupan yang lebih aktif. Ayuh, jadikan Pulau Pinang yang lebih sihat, mampan, saksama dan inklusif berasaskan nilai kekeluargaan dan juga keharmonian.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang