MAJLIS RUMAH TERBUKA HARI RAYA AIDILFITRI AHLI PARLIMEN TANJONG

NOTA PERCAKAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS RUMAH TERBUKA HARI RAYA AIDILFITRI AHLI PARLIMEN TANJONG

21 APRIL 2024 (AHAD) | 8.00 MALAM

LOT 33, PRANGIN MALL

(SALTUASI)

Rakan-rakan media; Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

Salam sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

>> Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Tanjong, YB Lim Hui Ying selaku tuan rumah serta jawatankuasa penganjur yang telah memastikan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Peringkat Parlimen Tanjong diadakan dengan begitu meriah dan penuh warna-warni.

>> Sememangnya, platform majlis sebegini merupakan wadah terbaik dalam usaha kita untuk membina hubungan dua (2) hala antara pemimpin dan rakyat yang mana dalam suasana perayaan seperti hari ini, saya dapat mendekati masyarakat serta bersama-sama merayakan hari istimewa ini.

>> Malah, saya juga dapat melihat keeratan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini merayakan Hari Raya Aidilfitri sambil menikmati juadah yang disediakan. Kemesraan dalam kepelbagaian budaya dan agama inilah yang menjadikan kita unik. Justeru, kita hendaklah sentiasa menghormati dan berusaha mengukuhkan iltizam perpaduan sesama kita.

>> Malah, dalam kita meraikan ‘hari kemenangan’ ini, marilah kita bersama-sama mengorak langkah ke arah kesejahteraan dan kehormonian agar Pulau Pinang terus membangun, maju dan makmur. Bersama-sama kita berganding bahu menjayakan segala dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan baik pada peringkat Persekutuan mahupun Negeri Pulau Pinang demi memastikan kesinambungan perancangan pembangunan dapat direalisasikan dengan baik.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

>> Seiring dengn hasrat yang dizahirkan oleh Perdana Menteri pada peringkat Persekutuan melalui agenda Malaysia Madani, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga mengambil inisiatif memastikan Visi Penang2030 adalah seiring dengan menitikberatkan nilai-nilai manusiawi dalam penggubalan dasar.

>> Inisiatif ini termasuklah usaha memperkasakan rakyat bagi meningkatkan penyertaan masyarakat; menaik taraf ekonomi bagi meningkatkan pendapatan isi rumah; meningkat daya huni bagi menambah baik kualiti hidup rakyat dan melabur dalam persekitaran fizikal bagi meningkatkan daya tahan negeri.

>> Selain itu, pimpinan Kerajaan Negeri juga akan sentiasa memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat diberikan dengan lebih baik. Oleh itu, saya amat berharap agar program-program yang diadakan oleh pimpinan kerajaan seperti malam ini dapat menjadi interaksi rakyat berbilang kaum.

>> Memegang prinsip sebagai negeri berkebajikan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited untuk terus memastikan seluruh rakyat negeri ini turut berkongsi segala impak pembangunan ekonomi tanpa mana-mana pihak dipinggirkan.

Saudara dan Saudari yang saya hormati sekalian,

Menyentuh mengenai beberapa kelulusan projek-projek mega yang diumumkan baru-baru ini. Saya bersyukur dan amat berterima kasih dengan perhatian yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim kepada negeri Pulau Pinang.

>> Lanjutan daripada itu, kita masih menyimpan harapan agar beberapa lagi projek-projek mendesak antaranya penyuraian kesesakan di Juru – Sungai Dua di Seberang Perai dan Projek Air Perak – Pulau Pinang sebagai jaminan pembekalan air di wilayah utara Semenanjung turut memperoleh perhatian khas daripada pihak Kerajaan Persekutuan.

>> Saya tidak bercadang untuk berucap dengan lebih panjang, mengambil kesempatan ini, sekalung penghargaan diucapkan kepada YB Lim Hui Ying atas pelbagai bantuan, inisiatif, peruntukan pembangunan serta usaha-usaha penaiktarafan fasiliti-fasiliti sekitar Parlimen Tanjong yang dilaksanakan demi kebajikan komuniti di sini. Tahniah juga kepada pasukan kerja, rakan-rakan di jabatan serta agensi lain yang turut sama menjalinkan kerjasama baik dalam memastikan segala keperluan dipenuhi dari semasa ke semasa.

>> Semoga bulan Syawal ini memberi sinar kepada kita semua untuk sama-sama terus maju membangun, makmur dan sejahtera. Dengan ini, saya akhiri ucapan pada hari ini dengan serangkap pantun sebagai perkongsian bersama.

Susur sungai berhari-hari,
Singgah di pinggir menangkap pelata,
Rendah hati menyusun jari,
Salah silap maaf dipinta.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang