MAJLIS RUMAH TERBUKA HARI RAYA AIDILFITRI ANJURAN MASJID JAMEK AL MARJAN

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA
MAJLIS RUMAH TERBUKA HARI RAYA AIDILFITRI ANJURAN MASJID JAMEK AL MARJAN,
TAMAN MANGGIS JALAN ZAINAL ABIDIN

21 APRIL 2024 (AHAD) ; 5.15 PETANG
MASJID JAMEK AL MARJAN
_________________________________________________

(SALUTASI)

Selamat petang, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.


Setinggi-tinggi kesyukuran kerana dengan izin dan kesempatan yang diberikan, dapat kita berkumpul pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Masjid Jamek Al Marjan, Taman Manggis Jalan Zainal Abidin pada hari ini.


Tahniah saya ucapkan kepada seluruh ahli jawatankuasa penganjur kerana dapat menjayakan program ini yang penuh bermakna buat kita semua. Program seumpama ini sudah pastinya dapat menyatukan kepelbagaian agama dan budaya, menunjukkan keharmonian berbilang latar belakang kaum serta kepercayaan, yang akhirnya mencetuskan kesatuan dan muhibah dalam kalangan masyarakat.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Saya dimaklumkan bahawa banyak aktiviti kemasyarakatan sedang dirangka dan juga telah dilaksanakan oleh pihak masjid. Justeru, saya berharap agar pihak berkaitan terus memainkan peranan untuk masyarakat Islam di Pulau Pinang dengan menjalankan lebih banyak usaha untuk meningkatkan pendidikan, kebajikan dan juga sosial ekonomi komuniti di sini.

Kerajaan Negeri lazimnya memuji inisiatif yang diambil oleh pihak kariah yang juga tidak melepaskan peluang untuk menganjurkan pelbagai program berbentuk kemasyarakatan ini, yang pastinya amat membantu Kerajaan Negeri dalam merealisasikan Visi Penang2030 iaitu sebuah visi bersama untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.


Malah, secara tidak langsung, ia juga mampu menyuntik nilai perpaduan dalam kalangan rakyat ke arah merealisasikan intipati Malaysia Madani yang digagaskan oleh Kerajaan Persekutuan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Mengimbau pengalaman dan perjalanan saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota selama 16 tahun, pelbagai pengalaman pahit manis telah kita lalui bersama melibatkan semua penduduk di PPR Taman Manggis ini.

Berkat daripada kebijaksanaan dan kerjasama jitu yang ditunjukkan oleh para penduduk di sini, segala permasalahan khasnya telah berjaya kita tangani secara aman dan harmoni.

Lebih menggembirakan lagi adalah pada bulan April tahun lepas, saya turut berpeluang menyaksikan Surau Al Marjan diberikan tauliah oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) untuk membenarkan ahli kariah mengadakan Solat Jumaat di surau sini. Usaha ini sudah pastinya dapat memudahkan ahli kariah di sini menunaikan solat Jumaat.

Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam mematarbatkan syiar Islam di negeri ini yang bukan hanya membabitkan peruntukan pembaikan masjid serta surau-surau di negeri ini, malah juga pada aspek pendidikan kepada sekolah agama rakyat (SAR) dan lain-lain berkaitan.

Hadirin sekalian,

Saya tidak lagi ingin memanjangkan ucapan pada hari ini, pada kesempatan ini, tahniah dan syabas sekali lagi kepada jawatankuasa pengelola yang telah menjayakan majlis pada hari ini. Semoga gerak kerja amal dan semangat kerjasama ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

Dalam pada itu, sekalung penghargaan juga diucapkan atas usaha sama pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Transfer / Jalan Argyll yang turut menyumbangkan sumbangan bagi hadiah cabutan bertuah bagi memeriahkan lagi penganjuran majlis pada petang ini.

Dengan ini, saya mewakili seluruh barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengucapkan Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan semoga semua bergembira menyambut bulan Syawal yang penuh bermakna ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang