MAJLIS PENYERAHAN REPLIKA CEK KEPADA PENERIMA INSENTIF PEMBAIKAN BANGUNAN WARISAN KATEGORI I DALAM TAPAK WARISAN DUNIA UNESCO GEORGE TOWN
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN REPLIKA CEK KEPADA PENERIMA INSENTIF PEMBAIKAN BANGUNAN WARISAN KATEGORI I DALAM TAPAK WARISAN DUNIA UNESCO GEORGE TOWN
29 APRIL 2024 (ISNIN) | 9.00 PAGI
AUDITORIUM C, TINGKAT 5 KOMTAR,
Yang Berhormat Dato’ Haji Rosli bin Isa
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Yang Berhormat Tuan Teh Lai Heng
ADUN KOMTAR
Yang Berhormat Tuan Wong Yuee Harng
ADUN Pengkalan Kota
Yang Berhormat Dato’ Zabidah binti Safar
Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang
Yang Berbahagia Dato’ Ir. Rajendran a/l P. Anthony
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
Yang Berusaha Dr. Ang Ming Chee
Pengurus Besar Perbadanan Warisan Dunia Georgetown (GTWHI)
Yang Berbahagia Datin Bharathi a/p Suppiah
Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI)
Saudara Manpal Singh
Wakil kepada Yang Berhormat Puan Lim Hui Ying
Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong
Ahli-ahli Jawatankuasa Geran, Jawatankuasa Penilaian Teknikal dan Harga; wakil dari Jabatan Warisan Negara;
Rakan-rakan media; para penerima insentif; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Perbadanan Warisan Dunia Georgetown (GTWHI) selaku pihak penganjur majlis pada pagi ini memandangkan majlis ini mempunyai signifikan yang amat besar kepada usaha pemuliharaan dan pemeliharaan warisan di bandar bersejarah George Town.
Seperti yang semua sedia maklum, George Town merupakan salah sebuah bandar bersejarah yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO berdasarkan nilai keunggulan sejagat yang mempamerkan kepelbagaian budaya yang sebati dalam warisan hidup serta warisan binaan.
Pemberian Insentif Pembaikan Bangunan Warisan Kategori I Dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town ini adalah selaras dengan matlamat peruntukan geran Inisiatif Pemuliharaan dan Pemeliharaan Tapak Warisan Dunia yang berjumlah RM25 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2023. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengamanahkan GTWHI, selaku Pengurus Tapak Warisan Dunia George Town dalam melaksanakan program insentif yang bersesuaian, melalui pelan tindakan serta mekanisme pemuliharaan warisan bersepadu dan melibatkan kesemua pemegang taruh.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Saya dimaklumkan bahawa sebanyak 76 permohonan telah diterima bagi Insentif Bangunan Warisan Kategori I, dan sebanyak 437 permohonan telah diterima bagi Insentif Bangunan Warisan Kategori II sepanjang tempoh permohonan dari 8 Januari hingga 8 Mac 2024.
Berdasarkan jumlah permohonan, jelas ia merupakan cerminan kepada tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat mengenai perlindungan warisan di George Town. Pada masa sama, ianya juga menunjukkan konsep insentif pembaikan bangunan warisan yang berasaskan komuniti adalah lebih bersesuaian untuk negeri tercinta ini.
Saya amat menghargai sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuk pihak awam, swasta dan juga profesional yang telah membantu dalam proses penyediaan serta pelaksanaan projek-projek ini. Sukacita dimaklumkan bahawa selepas proses pertimbangan dan penilaian oleh Jawatankuasa Geran, Jawatankuasa Penilaian Teknikal dan Harga bersama-sama pasukan urus setia GTWHI, seramai 47 permohonan telah diluluskan dengan jumlah keseluruhan pemberian Insentif Pembaikan Bangunan Warisan Kategori I bernilai RM6,498,131.
Justeru, semua pemohon yang berjaya akan menerima replika cek pada pagi ini berserta satu salinan surat tawaran rasmi. Tahniah saya ucapkan kepada semua pemohon yang telah berjaya.
Selain itu, keputusan permohonan bagi Insentif Pembaikan
Bangunan Warisan Kategori II telahpun dijadualkan dan akan diumumkan secara berperingkat pada pertengahan Mei 2024. Pemberian insentif secara berperingkat bagi Pembaikan Bangunan Warisan Kategori II berkaitan adalah bertujuan memastikan para penerima insentif menerima sokongan teknikal serta perundingan yang sewajarnya sepanjang tempoh pembaikan berjalan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Atas kesedaran untuk memastikan kerja-kerja pembaikan menepati piawaian yang telah ditetapkan dalam Rancangan Kawasan Khas Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, sukacita dimaklumkan bahawa GTWHI akan menganjurkan kursus latihan mengenai kaedah kerja pemuliharaan secara percuma kepada para kontraktor serta pemilik bangunan warisan yang terlibat. Penganjuran kursus wajib ini adalah penting untuk pendedahan kepada pihak kontraktor dan pemilik bangunan warisan terhadap kaedah pemuliharaan serta pengurusan bangunan warisan yang betul. Lazimnya, usaha ini dilaksanakan bertujuan memelihara integriti bangunan warisan yang terbabit sepanjang kerja-kerja pembaikan berlangsung.
Dengan ini, saya mewakili Kerajaan Pulau Pinang sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para penerima Insentif Pembaikan Bangunan Warisan Kategori I. Saya berharap agar insentif yang diterima ini akan dimanfaatkan dengan sebaiknya bagi tujuan pemuliharaan agar keunikan Warisan Kebudayaan Ketara yang menjadi kebanggaan kita sehingga kini dapat terus dinikmati oleh generasi akan datang.
Sekian, terima kasih.