MAJLIS SAMBUTAN RAYA AIDILFITRI 2024 CONSORTIUM ZENITH CONSTRUCTION SDN. BHD.
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN RAYA AIDILFITRI 2024 CONSORTIUM ZENITH CONSTRUCTION SDN. BHD.
29 APRIL 2024 (ISNIN) | 12.50 PM
ARAS 5, THE TOP, KOMTAR
_______________________________________________
Terima kasih Pengerusi Majlis.
Yang Berhormat Zairil Khir Johari
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital
Yang Berhormat Joseph Ng Soon Siang
ADUN Air Itam
YBhg. Dato' Lim Hock Seng
Ketua Seksyen Pengangkutan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN)
YBhg. Dato' Seri Farizan bin Darus
Ketua Pegawai Eksekutif, Penang Infrastructure Corporation (PIC)
YBrs. Ir. Nasfiza binti Mokhtar
Pengarah Projek Pakej 2
YBhg. Tan Sri Dato’ Dr. Khor Eng Chuen
Pengarah Urusan, Consortium Zenith Construction (CZC)
Ketua-ketua jabatan; pegawai-pegawai; rakan-rakan media; Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua hadirin, mohon maaf zahir dan batin. Terima kasih diucapkan kepada pihak Consortium Zenith Construction (CZC) yang telah menganjurkan rumah terbuka ini sekaligus memberikan kesempatan untuk kita bersama-sama memeriahkan majlis pada hari ini.
Penganjuran majlis pada hari ini sekaligus membuka ruang kepada kita semua untuk mengeratkan dan merapatkan silaturahim, membuka ruang interaksi serta kerjasama dalam mencapai kemajuan di samping menikmati pelbagai juadah yang telah disediakan.
Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,
Kerjasama kukuh antara semua pihak khususnya yang hadir pada hari ini adalah penting untuk memastikan projek pembangunan dan infrastruktur yang dirancang dilaksanakan mengikut garis masa telah ditetapkan.
Dalam usaha meningkatkan pembangunan negeri ini, beberapa projek mega sudah dirancang dan dilaksanakan dalam tempoh terdekat, antaranya projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, Kereta Kabel Bukit Bendera, teksi air dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).
Manakala bagi Projek Pakej 2, kita dapat melihat kemajuan kerja yang dilaksanakan di tapak telah mencapai lebih daripada 50 peratus. Sepertimana diumumkan sebelum ini, lebuh raya bebas tol ini kelak dapat mengurangkan tempoh perjalanan dari Lebuhraya Tun. Dr. Lim Chong Eu ke Ayer Itam dari 40 minit kepada 5 minit sahaja.
Dengan ini, saya di sini ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Exco Pengangkutan, Infrastruktur dan Digital, YB Zairil Khir Johari bersama-sama pasukannya dari Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Penang Infrastructure Corporation (PIC), khususnya Pengarah Projek YBrs. Ir. Nasfiza serta lain-lain agensi terlibat yang tidak pernah berputus asa merealisasikan projek ini walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.
Hasil tungkus lumus semua pihak, semua isu berkaitan pengambilan tanah persendirian serta tanah Persekutuan telah dapat diselesaikan dengan baik di antara agensi Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan terutamanya melibatkan keselamatan serta faktor alam sekitar.
Dalam pada itu, kita semua sedia maklum bahawa dalam tempoh pembinaan pasti akan menimbulkan ketidakselesaan dan kerumitan orang awam dalam menjalani aktiviti harian. Namun, saya percaya pihak pasukan projek akan sentiasa berusaha mencari kaedah terbaik untuk mengurangkan impak sosial serta alam sekitar dalam menyiapkan projek ini.
Justeru, diharapkan semua warga Pulau Pinang dapat bersabar dan bekerjasama dalam tempoh pembinaan ini demi kemajuan infrastruktur di negeri ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menggesa pihak kontraktor CZC agar melaksanakan kerja bukan sahaja dengan pantas dan cekap, malah juga penuh teliti serta mematuhi segala piawaian yang telah ditetapkan bagi pembangunan lestari selaras dengan agenda Visi Penang2030.
Saya berharap agar projek ini akan menjadi satu lagi kayu pengukur kepada rakyat dalam usaha Kerajaan Negeri membawa Pulau Pinang sebagai negeri contoh kepada negeri-negeri lain serta menaikkan lagi nama negara Malaysia di mata dunia.
Sebelum mengakhiri ucapan saya ini, sekali lagi, setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang telah berjaya menganjurkan majlis pada hari ini. Sebagai penutup kata, saya amat berharap agar projek ini dapat disiapkan dengan jayanya bagi manfaat seluruh rakyat Pulau Pinang.
Sekian, terima kasih.