MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA STAYFITISSUNNAH 2024 ANJURAN STAY FIT SUNNAH SPORTS CLUB
NOTA UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA STAYFITISSUNNAH 2024 ANJURAN STAY FIT SUNNAH SPORTS CLUB
30 APRIL 2024 (SELASA) | 8 MALAM
DEWAN SERBAGUNA PERSATUAN MUSLIM BERSATU (UMA)
Terima kasih saudara pengacara majlis.
Yang Berhormat Teh Lai Heng
ADUN Komtar
Yang Berbahagia Dato’ Ir. Rajendran a/l P. Anthony Datuk Bandar MBPP
Barisan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang
Yang Berusaha Encik Ahmed Faisal bin Mohd. Lazim
Pengerusi Stay Fit Sunnah Sports Club
Yang Berusaha Encik Mohamed Basir bin Haja Mydin Timbalan Pengerusi Stay Fit Sunnah Sports Club
Yang Berusaha Encik Mohamad Ashraf
CEO MDI Fortune
Yang Berbahagia Tan Sri / Puan Sri / Dato’-Dato’ / Datin-Datin; Yang Dihormati Barisan Presiden Persatuan-Persatuan
Dif-Dif Kehormat, Ahli-ahli Persatuan, Rakan-rakan Media, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
>> Terlebih dahulu, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Stay Fit Sunnah Sports Penang kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan Majlis Sambutan Hari Raya Stay Fit Sunnah 2024 pada hari yang berbahagia ini.
>> Setinggi-tinggi penghargaan juga saya ucapkan kepada pihak penganjur yang telah bertungkus-lumus memastikan majlis sambutan hari raya pada malam ini dapat dijalankan dengan jayanya, dan terima kasih kepada semua yang turut hadir memeriahkan majlis pada hari yang berbahagia ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
>> Sejak saya diberikan kesempatan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan sehinggalah diamanahkan untuk memikul jawatan sebagai Ketua Menteri, memenuhi jemputan untuk berbuka puasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri merupakan antara acara yang paling saya nanti-nantikan kerana ianya merupakan salah satu bukti utuhnya perpaduan di negeri ini.
>> Sekali lagi, sekalung penghargaan saya ucapkan kepada pihak kelab dan lain-lain persatuan kerana telah menjemput pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang untuk merayakan rumah terbuka Aidilfitri yang telah dianjurkan sejak turun temurun, yang mana ia akan mengukuhkan nilai-nilai silaturahim, saling hormat-menghormati dan berkasih sayang sesama kita.
>> Dalam keasyikan kita menikmati juadah hari raya, saya ingin mengingatkan semua pihak agar menjaga kesihatan masing-masing seperti yang sering diketengahkan oleh Stay Fit Sunnah Sports Club dalam bersama-sama menyahut seruan Kerajaan Negeri untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan mampan.
>> Saya sedia maklum bahawa pihak penganjur secara konsisten menganjurkan aktiviti-aktiviti mingguan seperti indoor cycling pada setiap hari Rabu dan Jumaat di Bangunan Persatuan Hidayatul Islam.
>> Selain itu, saya juga difahamkan bahawa aktiviti Jalan Santai-Santai Pekena Kopi ‘O’ setiap Sabtu di Taman Areca dan aktiviti mendaki pada setiap Ahad juga masih diteruskan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara ahli dengan masyarakat Pulau Pinang secara keseluruhan.
>> Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya mengucapkan terima kasih atas segala inisiatif yang dilakukan kerana ianya secara tidak langsung membantu Kerajaan Negeri dalam menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat di negeri ini.
Hadirin sekalian,
>> Dalam usaha Kerajaan Negeri mengejar pembangunan ekonomi dan menarik masuk pelaburan dalam negeri, aspek pembangunan sosial dan kebajikan tidak pernah dilupakan, malah ia menjadi prioriti dalam usaha untuk membina negeri ini mengikut landasan yang telah dirangkakan dalam Visi Penang2030.
>> Harapan saya adalah semua hadirin di sini serta seluruh rakyat Pulau Pinang untuk bersabar bersama Kerajaan Negeri dalam usaha mencapai lebih banyak lagi kejayaan-kejayaan terutamanya ketika ini Pulau Pinang sedang menjalankan projek-projek mega malah, Projek Pakej 2 Jalan Pintasan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Ayer Itam yang kini telah mencapai lebih daripada 50 peratus sehingga siap sepenuhnya sebelum dibuka kepada umum.
>> Sebagai penutup kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan syabas kepada Stay Fit Sunnah Sports Club Penang berhubung penganjuran majlis ini. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Sambutan Hari Raya Stay Fit Sunnah 2024. Sekian terima Kasih.