MAJLIS PERASMIAN PEMBINAAN STRUKTUR BERBUMBUNG GELANGGANG BOLA KERANJANG DAN KERJA BERKAITAN DI TAMAN GAMELAN INDAH

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN PEMBINAAN STRUKTUR BERBUMBUNG GELANGGANG BOLA KERANJANG DAN KERJA BERKAITAN DI TAMAN GAMELAN INDAH

3 MEI 2024 (JUMAAT) | 9 PAGI

GELANGGANG BOLA KERANJANG, TAMAN GAMELAN INDAH

[Salutasi]

Salam sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya amat berbesar hati apabila menerima jemputan menghadiri Perasmian Pembinaan Struktur Berbumbung Gelanggang Bola Keranjang Dan Kerja Berkaitan Di Taman Gamelan Indah pada hari ini. Terima kasih saya ucapkan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) terutamanya Datuk Bandar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun di atas jemputan ini.

Sekalung penghargaan juga kepada Setiausaha Bandaraya, semua Ahli-Ahli Majlis, Ketua-Ketua Jabatan, barisan pegawai MBSP serta hadirin yang hadir pada majlis ini.

Hadirin sekalian,

Dalam memastikan Visi Penang2030 untuk melahirkan Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara menjadi satu kenyataan, usaha meningkatkan daya huni bagi menambah baik kualiti hidup warga negeri Pulau Pinang merupakan antara aspek paling penting yang perlu diberikan perhatian khusus. Penyediaan kemudahan rekreasi dan sukan secara tidak langsung mampu melahirkan sebuah komuniti yang sihat, mampan serta bahagia. Maka, pembinaan struktur berbumbung gelanggang bola keranjang ini adalah bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri dan hasrat penduduk setempat di sini.

Seperti yang telah dikatakan oleh YBhg. Datuk Bandar sebentar tadi, idea pembinaan struktur berbumbung ini mula dibangkitkan oleh penduduk setempat ketika lawatan saya dalam siri jelajah ‘LovePENANG’ lalu. Alangkah gembiranya saya pada hari ini melihatkan pembinaan ini telah siap 90 peratus, dan dijangka siap sepenuhnya pada 26 Mei ini.

Justeru, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak MBSP, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) dan semua pihak yang terlibat kerana berjaya merealisasikan permintaan rakyat di kawasan ini serta dua lagi projek setara di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) sebagaimana diumumkan oleh Datuk Bandar sebentar tadi.

Sebanyak RM528,957 telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk pelaksanaan projek ini. Saya berharap kemudahan ini dapat digunakan dan dipelihara dengan baik oleh penduduk setempat dalam menjalani sebarang aktiviti masyarakat atau rekreasi. Semoga kemudahan ini juga dapat memberi manfaat kepada seluruh warga di sini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,
Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa mengutamakan pembangunan sosial dan ekonomi secara sama rata di negeri ini tanpa mengira kawasan serta lokaliti. Pelbagai usaha telah, sedang malah akan dirancang bagi meningkatkan keselamatan, daya huni serta keselesaan rakyat dalam kawasan perumahan di seluruh bertepatan dengan Tema D iaitu ‘melabur dalam persekitaran fizikal bagi meningkatkan daya tahan’ menerusi inisiatif strategik D1 iaitu ‘menyeimbangkan pembangunan melalui perancangan kegunaan ruang yang efektif’.

Malah, Kerajaan Negeri melalui Manifesto Perpaduan 2023 juga dalam usaha untuk merealisasikan rancangan untuk mewujudkan Akademi e-Sports di setiap daerah manakala Gimnasium Rakyat dan Pusat Belia di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di Pulau Pinang. Dengan pembangunan struktur ini berserta perancangan Kerajaan Negeri secara umumnya diharapkan mendapat sokongan berterusan daripada rakyat supaya kerja-kerja pelaksanaan ini dipermudahkan demi masa depan yang lebih baik.

Saya dengan ini tidak ingin memanjangkan lagi ucapan pada hari ini. Sekali lagi, terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan projek ini terutamanya pihak MBSP. Dengan ini, saya sukacitanya merasmikan Pembinaan Struktur Berbumbung Gelanggang Bola Keranjang Dan Kerja Berkaitan Di Taman Gamelan Indah. Tahniah dan Syabas diucapkan kepada semua.

Sekian terima kasih

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang