PROGRAM JIWA MADANI PARLIMEN TANJONG
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KUN YEOW SEMPENA PROGRAM JIWA MADANI PARLIMEN TANJONG
05 SEPTEMPER 2024 (SABTU) | 2.30 PM
SMKA (P) ALMASHOOR
SALUTASI
Salam Sejahtera, Salam Penang203 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan perasaan syukur di atas kesempatan untuk kita bersama-sama berkumpul bagi bersama-sama meraikan Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) MADANI Parlimen Tanjong pada petang yang berbahagia ini.
Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Kementerian Komunikasi melalui Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) selaku jabatan yang melaksanakan program berimpak besar ini. Saya yakin program ini akan terus menjadi sumber informasi kepada jabatan atau kementerian dalam menyemarakkan penyebaran maklumat Kerajaan Persekutuan dan Negeri, amnya kepada penduduk dan komuniti di negeri ini.
Pada kesempatan ini juga, saya mengucapkan selamat datang ke Pulau Pinang kepada Yang Berhormat Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi atas kesudian mengadakan lawatan ke negeri ini walau dengan jadual beliau yang padat.
Yang Berbahagia Dato’, Datin serta hadirin yang dihormati sekalian.
Melalui program-program seperti ini, saya percaya kerjasama erat dan komunikasi antara agensi kerajaan dengan rakyat akan lebih jelas khususnya dalam aspek penyebaran maklumat, pembangunan ekonomi, keselamatan serta kenegaraan.
Ditambah pula dengan adanya penubuhan Komuniti MADANI, penglibatan ini mampu menjadi jalinan informasi yang kukuh, bukan sehaja dalam menyebarkan maklumat dan dasar kerajaan daripada pucuk pimpinan ke akar umbi, malah juga mampu menangkis segala persoalan, tanggapan atau kekeliruan yang timbul dalam setiap isu dalam kalangan masyarakat terutamanya dengan berita-berita yang disebarkan secara tidak terkawal khususnya dalam penggunaan media sosial.
Sejak saya dilantik sebagai ADUN kawasan pada tahun 1990, harus saya akui bahawa komuniti adalah key communicator dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan yang dilantik dapat membantu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, dalam menyampaikan maklumat yang sahih, malah menjadi tabung informasi kerajaan dalam membina jaringan komunikasi ke arah melahirkan sebuah komuniti bermaklumat selaras slogan Komuniti MADANI iaitu “Penggerak Komuniti Berinformasi”.
Malah, sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, besar juga harapan saya untuk melahirkan sebuah komuniti berilmu, seperti yang saya pernah katakan sebelum ini bahawa harapan saya adalah untuk melihat Pulau Pinang menjadi ‘Tanah Ilmu’ di samping menjadi negeri penyumbang utama ekonomi negara.
Saya percaya, dalam usaha melahirkan masyarakat yang berilmu, mendidik masyarakat untuk berkongsi maklumat sahih serta berfikiran kritis dalam menilai sesuatu isu juga penting dalam mencapai hasrat tersebut. Justeru, saya berharap pihak Kementerian Komunikasi sudi menjalinkan kerjasama yang erat bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam mencapai hasrat ini demi pembangunan bangsa yang lebih berilmu dan mampan.
Hadirin yang dirahmati,
Pada kesempatan ini juga, saya berharap dengan kehadiran Yang Berhormat Menteri Komunikasi, ia dapat membuka pintu-pintu khabar gembira buat seluruh Komuniti MADANI di Pulau Pinang serta rakyat Pulau Pinang secara amnya, sama ada dari segi penyaluran peruntukan, kemudahan atau bantuan-bantuan yang bersesuaian bagi memaksimumkan usaha-usaha komunikasi dan ketercapaian yang lebih efisien dalam negeri ini
Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi mengucapkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis pada petang ini. Semoga majlis ini dapat memberikan manfaat terutamanya dalam mencapai matlamat yang disasarkan. Tidak lupa, Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua.
Sekian, terima kasih.