MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI ANJURAN MPKK LEBUH PASAR
NOTA PERCAKAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI ANJURAN MPKK LEBUH PASAR
4 MEI 2024 (SABTU)
DEWAN BELIA, LEBUH ACHEH
__________________________________________
YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid
Timbalan Ketua Menteri I
YB Teh Lai Heng
ADUN Komtar
Encik Shafiz bin Rahim Raja
Pengerusi MPKK Lebuh Pasar
Seluruh jawatankuasa MPKK Lebuh Pasar
Para jemputan; Rakan-rakan media; Tuan-tuan dan Puan-puan yang dikasihi sekalian.
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
NOTA PERCAKAPAN:
>> Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pimpinan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lebuh Pasar kerana menjemput saya untuk bersama-sama meraikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada petang ini.
>> Saya merasakan masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Seamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua yang hadir pada majlis yang penuh rasa muhibah dan mesra ini.
>> Adalah menjadi harapan saya agar majlis ini membuka peluang kepada semua untuk merapatkan silaturrahim sambil menikmati juadah yang disediakan. Secara tidak langsung, ia akan mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin di samping mewujudkan semangat perpaduan dan kekeluargaan seiring dengan Visi Penang2030, iaitu ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
>> Kepelbagaian perayaan yang disambut bukan sahaja menjadikan kita rakyat Malaysia yang unik tetapi juga memberi peluang kepada kita semua untuk saling kenal mengenali antara satu sama lain tanpa mengira warna kulit mahupun latar belakang. Maka, gunakanlah kesempatan semasa perayaan ini untuk menyuburkan semula amalan mengunjungi rakan-rakan kita supaya keharmonian di negeri ini terus diperkukuhkan.
>> Dalam kita bergembira hari ini, janganlah kita lupa pada yang kurang berkemampuan. Raikan bersama-sama, semarakkan sikap kasih sayang dalam setiap jiwa kita. Hanya melalui perpaduan dan keharmonian yang membolehkan Pulau Pinang membangun menjadi negara maju, rakyat dapat keselesaan serta pembangunan dapat dilaksanakan sebaiknya. Sama-sama kita sematkan bait-bait lagu Untuk Negeri Kita untuk membentuk rakyat Pulau Pinang yang benar-benar bersatu padu.
Hadirin yang dihormati sekalian,
>> Pagi tadi, saya telah mengadakan lawatan khas meninjau perkembangan Fasa 2 projek Gurney Bay yang kini menjadi ikon terkini kepada negeri Pulau Pinang. Indah sungguh panorama terbitnya sang matahari di depan mata. Selain menjadi tumpuan pengayuh basikal, promenade tersebut telah menjadi salah satu lokasi rekreasi kepada penduduk lokal yang mana ia selaras dengan misi negeri Pulau Pinang dalam melahirkan rakyat yang sihat fizikal juga mental.
>> Berlandaskan ini, saya sekali lagi menekankan bahawa Kerajaan Negeri akan terus membawa percambahan pembangunan, kepesatan sosioekonomi dan kelengkapan infrastruktur demi kepentingan seluruh rakyat negeri yang kita cintai ini. Tiada pihak yang akan terpinggir ataupun dipinggirkan.
>> Satu lagi yang saya ingin kongsikan di sini yang mana, esok negeri kita sekali lagi menjadi tumpuan dengan kehadiran YAB Perdana Menteri kita. Penganjuran Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara yang diadakan serentak dengan sambutan Aidilfitri Madani akan terus menaikkan nama Pulau Pinang ke seluruh negara. Ayuh, kita bersama-sama memeriahkan penganjurannya di Tapak Pesta Sungai Nibong. Pelbagai pameran agensi-agensi sama ada pihak kementerian, jabatan negeri serta Persekutuan, pasukan keselamatan dan perkhidmatan akan berhimpun di sana. Jangan lepas peluang ini, JOM!
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
>> Saya tidak bercadang untuk bercakap panjang, memandangkan juadah di depan mata sudah terhidang untuk kita semua. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, sekali lagi terima kasih kepada pihak penganjur terutama kepada Pengerusi MPKK Lebuh Pasar, Encik Shafiz kerana berjaya menganjurkan majlis ini saban tahun. Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran majlis ini.
>> Sekian, terima kasih.